Langkau ke kandungan utama
1

Misi Bantuan Kemanusiaan kepada Mangsa Banjir di Pantai Timur

KUALA LUMPUR, 30 Disember - Diketahui umum, bencana banjir yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin membimbangkan. Dilaporkan pemindahan mangsa banjir kian meningkat dan kerosakan harta benda akibat banjir semakin kritikal.

Justeru, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama agensinya, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menubuhkan jawatankuasa Misi Bencana pada 28 Disember 2014 bagi turut sama membantu meringankan beban mangsa banjir yang terlibat khususnya di negeri-negeri pantai timur.

Bantuan Misi Kemanusiaan KKR dan JKR ke Pantai Timur mempunyai 8 Kumpulan Misi Bantuan yang akan menyalurkan bantuan mengikut kawasan-kawasan sasaran meliputi kawasan kritikal seperti Kuala Krai, Manek Urai, Pasir Mas, Machang, Tanah Merah, Tumpat, Dabong, Kuala Gris dan ke Jerantut, Pahang. Misi kemanusian ini akan bermula dari 28hb Disember 2014 sehingga 5hb Januari 2015.

Dalam misi ini seramai 120 orang sukarelawan dari kalangan kakitangan KKR dan JKR akan terlibat, dibantu dengan keupayaan 37 buah kenderaan pacuan 4 roda dan 11 buah lori.

Pada 29hb Disember, bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya, KKR dan JKR telah membuka kaunter penyerahan sumbangan dan bantuan dari pelbagai pihak termasuk jabatan/agensi, syarikat korporat dan juga orang awam. Kaunter ini mendapat sambutan yang sangat menggalakan dan telah menerima sumbangan seperti bahan makanan, pakaian, dan keperluan-keperluan asas yang lain. Kaunter penyerahan ini dibuka bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam.

Pada hari ini, pelepasan Misi Bencana KKR dan JKR ini akan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bersama Ahli Jawatankuasa Misi Bencana.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita