Langkau ke kandungan utama
0

Masjid Qariah Sungai Nibong Besar Bakal Berimarah Ogos 2023

Bayan Baru, Pulau Pinang, 27 Julai 2023 – Umat Islam di sekitar Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang bakal menerima fasiliti baharu iaitu sebuah masjid yang dinamakan Masjid Qariah yang dibina di Sungai Nibong Besar dan dijangka dapat mula diimarahkan atau beroperasi bermula Ogos 2023.

Menteri Kerja Raya (KKR), YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah meninjau kerja-kerja akhir projek ini bagi memastikan ia dapat diserahkan kepada pelanggan projek iaitu Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. Pegawai Penguasa projek ialah Pengarah JKR Negeri Pulau Pinang manakala Wakil Pegawai Penguasa ialah Jurutera Daerah JKR Daerah Timur Laut.

Masjid berkeluasan 1336 meter persegi ini mampu memuatkan seramai 1050 orang jemaah dan turut dilengkapi ruang pejabat, Bilik Imam, Bilik Jenazah, tandas serta tempat wuduk Jemaah lelaki dan wanita.

KKR sentiasa komited dalam penyediaan infrastruktur rakyat yang selesa dan selamat. Di samping itu, KKR juga sentiasa memastikan projek dapat dilaksanakan dalam tempoh waktu yang ditetapkan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan. Semoga pembinaan Masjid Qariah ini dapat memberi manfaat kepada penduduk di sekitar kawasan Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang.

Tarikh Dan Waktu Acara