Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Perasmian Pusat “myBIM”

KUALA LUMPUR, 20 November 2017: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melancarkan "myBIM Center" pusat sehenti pertama negara berfungsi sebagai pusat sumber untuk mempromosikan dan meningkatkan penggunaan Building Information Modelling (BIM) di kalangan penggiat industri pembinaan.

BIM ditubuhkan oleh CIDB Malaysia untuk manfaat penggiat industri dengan pelaburan permulaan sebanyak RM3 juta, myBIM Centre telah dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Kerja Raya, Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof. Pusat ini membolehkan para penggiat industri pembinaan untuk memodelkan dan memvisualisasikan projek bangunan dalam persekitaran simulasi dengan menggunakan BIM - teknologi pemodelan untuk menghasilkan, berkomunikasi dan menganalisis model maklumat digital sepanjang kitaran hayat projek pembinaan.

Diiktiraf sebagai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang canggih, BIM membolehkan pengguna untuk merekabentuk, memvisualisasikan, mensimulasikan dan menganalisis ciri-ciri fizikal dan fungsi utama setiap elemen dalam projek hampir dan sebelum pembinaan bermula. Ini memungkinkan untuk mengenal pasti dan membetulkan isu-isu yang berpotensi pada peringkat awal. Lebih-lebih lagi, model digital pintar yang memudahkan penyelarasan, komunikasi, analisis, pengurusan projek, dan juga pengurusan aset dijangka mendatangkan banyak manfaat kepada industri.

Penubuhan Pusat MyBIM adalah tepat pada masanya kerana industri pembinaan perlu membuat perubahan besar dalam meningkatkan tahap produktiviti. Menurut Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), industri pembinaan mengalami tahap produktiviti terendah sebanyak RM40,018 seorang pekerja pada tahun 2016. Berbanding dengan sektor pertanian sebanyak RM55,485 bagi setiap pekerja, sektor perkhidmatan pada RM68,166 seorang pekerja , manakala pengilangan kekal sebagai sektor dengan tahap produktiviti tertinggi pada RM106,647 setiap pekerja.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Dato’ Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid berkata kelebihan perlaksanaan BIM dalam projek pembinaan adalah pelbagai dan meliputi seluruh rantaian nilai industri pembinaan. Dengan penggunaan BIM, ia dapat menganalisis ciri-ciri fizikal dan fungsian utama setiap elemen sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan, bahkan ia juga membantu meningkatkan kecekapan, kualiti, dan yang paling penting ialah produktiviti keseluruhan proses pembinaan.

Pelaksanaan BIM adalah sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dalam industri, selaras dengan teras Strategi Produktiviti Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP). Pada masa ini, penggunaan BIM di Malaysia masih rendah iaitu 17 peratus berbanding dengan negara maju seperti Amerika Syarikat pada 71 peratus dan United Kingdom pada 54 peratus.

Antara projek di Malaysia yang telah dibina melalui penggunaan BIM seperti Institut Kanser Kebangsaan di Putrajaya, Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Shah Alam, Educity Sports Complex di Nusajaya, Johor dan Hotel Ancasa di Pekan, Pahang.

Dengan pelancaran myBIM Center, program latihan perisian dan kemahiran BIM akan ditawarkan, melengkapi penggunaan portal Perpustakaan BIM Nasional. Sehingga kini, 1,300 kakitangan BIM telah dilatih oleh CIDB. Pusat ini juga mempunyai kemudahan yang canggih, termasuk studio yang boleh disewa untuk semua penggiat BIM, sebuah makmal, bilik seminar dan ruang pameran.

Tarikh Dan Waktu Acara