Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Perasmian Projek Persimpangan Bertingkat Sungai Buaya, Lebuhraya Utara Selatan

SUNGAI BUAYA, SELANGOR, 9 Januari -  YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia hari ini telah merasmikan Persimpangan Bertingkat Sungai Buaya, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).  Projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat Sungai Buaya ini telah dimulakan pada Jun 2011 dan telah siap dalam tempoh 30 bulan dengan kos pembinaan sebanyak RM87 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh pihak PLUS Berhad.

Persimpangan Bertingkat Sungai Buaya ini terletak di antara Persimpangan Bertingkat Bukit Beruntung dan Persimpangan Bertingkat Rawang iaitu di KM434.7, Lebuhraya Utara Selatan.  Pembinaan persimpangan bertingkat ini adalah cetusan idea oleh YAB Perdana Menteri semasa lawatan beliau ke Kampung Sungai Buaya pada 23 April 2010.

Dengan wujudnya persimpangan bertingkat ini, ia dijangka akan dapat memendekkan tempoh perjalanan antara  40 minit hingga 1 jam dengan jarak perjalanan 24 kilometer dari Bandar Sungai Buaya ke Persimpangan Bertingkat Bukit Beruntung dan  32 kilometer dari Bandar Sungai Buaya ke Persimpangan Bertingkat Rawang.

Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya serta timbalannya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Pendidikan II, YB P. Kamalanathan dan Pengerusi Majlis Tindakan Kerajaan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita