Langkau ke kandungan utama
0

Majlis Perasmian Pemasangan Landasan Pertama ECRL Disempurnakan Oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong

Kuantan, 11 Disember 2023 - Hari ini telah berlangsung Majlis Perasmian Pemasangan Landasan Pertama ECRL yang disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah AI-Musta'in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah lskandariah Binti AI-Marhum AI-Mutawakkil Alallah Sultan lskandar AI-Haj.

YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi turut hadir memenuhi undangan Kementerian Pengangkutan bagi bersama-sama meraikan majlis perasmian ini. Dif - dif kehormat yang hadir sama adalah YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, YB Menteri Pengangkutan, Tuan Anthony Loke, YB Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) secara tidak langsung turut terlibat dalam projek ini yang melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan, penambatan, pemasangan cerucuk selain pembinaan stesen ECRL.

Jajaran ECRL ini bermula di Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang,Selangor. Projek ini menelusuri 4 negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Pembinaan projek mega ECRL ini telah mencapai kemajuan sebanyak 54.14 peratus setakat Oktober 2023 dan perkembangan ini adalah selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026.

Penyiapan jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027. Jumlah panjang jajaran ECRL yang menghubungkan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia adalah 665km.

Tahniah kepada Kementerian Pengangkutan dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek infrastruktur nasional ini dapat dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan rakyat Malaysia Madani.

Tarikh Dan Waktu Acara