Langkau ke kandungan utama
0

Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya Malaysia Tahun 2023

Alor Gajah, 2 November 2023 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyempurnakan Majlis Penganugerahan Sijil Kompetensi Teknikal Jabatan Kerja Raya Malaysia Tahun 2023 di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) JKR pada pagi tadi.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Infra Jabatan Kerja Raya, YBhg. Datuk Dr Amran Mohd Majid serta Pengarah Kanan CREaTE Jabatan Kerja Raya (JKR), YBrs. Ir Mohd Shahrom Ahmad Saman.

Program Pensijilan Kompetensi JKR yang bertemakan “Kompetensi Teknikal Pemangkin Kecemerlangan Negara”, bertepatan dengan kepentingan peningkatan kompetensi dan daya saing modal insan dalam kalangan warga JKR agar memenuhi ekspektasi jabatan sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Ia bertujuan untuk melahirkan pakar rujuk dan khidmat nasihat dalam bidang strategik secara berperingkat dan sistematik.

Program ini terbuka kepada pegawai pengurusan dan profesional serta kumpulan pelaksana sama ada yang berkhidmat di JKR atau Agensi Kerajaan lain (Pegawai Kader). Sebanyak 600 permohonan telah diterima melibatkan 64 kompetensi dan daripada jumlah permohonan tersebut seramai 392 orang telah layak menerima sijil yang terdiri daripada pelbagai disiplin Kejuruteraan, Arkitek dan Ukur Bahan/Bangunan yang telah diperakukan penganugerahan sijil kompetensi Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Ukur Bahan, Arkitek, Pengurusan Aset, Pengangkutan Darat, Kelestarian Alam Sekitar, kompetensi Pengurus Nilai (VM), kompetensi inovasi dan kompetensi Pengurusan Projek setelah melalui beberapa proses bermula pada 1 Mac 2023 yang lalu.

Sepanjang 8 tahun program ini dijalankan, JKR telah berjaya melahirkan seramai 2,513 orang pegawai berkepakaran tinggi dalam bidang teknikal dan mensasarkan statistik tersebut meningkat tahun demi tahun. Dengan peningkatan kompetensi dalam warga JKR ia akan mewujudkan lebih ramai pakar rujuk dalam bidang teknikal sekali gus dapat membantu kepada pembangunan infrastruktur dan merealisasikan hasrat Kerajaan dengan menyediakan fasiliti yang terbaik untuk rakyat.

Tahniah diucapkan kepada semua penerima sijil. Semoga dengan pentauliahan ini dapat melestari peningkatan kompetensi dan daya saing modal insan memacu Malaysia ke arah negara progresif dan berkemahiran tinggi.

Tarikh Dan Waktu Acara