Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2013

SERDANG, 23 Januari – Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) 2013 telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia hari ini bertempat di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

 

MATEPM merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada pemenang terbaik keseluruhan di Pertandingan Kemahiran Malaysia (PKM) dan Myskills 2013 bagi 22 bidang yang dipertandingkan.  Daripada 22 bidang itu, sembilan bidang di bawah tanggungjawab Kementerian Kerja Raya (KKR) dan 13 bidang di bawah tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2013 bagi kategori pengajar Pertandingan MySkills dimenangi oleh Muhammad Hafiz Brahim dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi Melaka manakala bagi kategori pelatih (PKM) ia dimenangi oleh Muhammad Izzat Sulaiman dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara Rembau. Mereka turut memenangi Pingat Emas dengan masing-masing menerima piala, sijil serta RM7,000 dan RM5,000.

Pada majlis itu juga, YAB Perdana Menteri telah melancarkan WorldSkills Malaysia dan Projek Road to WorldSkills Competition (WSC) Sao Paulo 2015.  Turut hadir ialah YB Datuk Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya serta Timbalannya, YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem dan Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Datuk Himmat Singh.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita