Langkau ke kandungan utama
0

Majlis Amanat Tahun 2024 dan Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Kerja Raya

Kuala Lumpur, 8 Februari 2024 – Telah berlangsung Majlis Amanat Tahun 2024 serta Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) Bersama Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KKR, Tuan Mohd Sakeri Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Pembangunan, YBhg. Datuk Zahrul Hakim Abdullah serta Ketua-ketua Agensi dari Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) dan Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM).

Menteri Kerja Raya telah menyatakan bahawa sebanyak 233 projek akan dilaksanakan oleh KKR pada 2024. Projek-projek ini melibatkan 38 projek baharu, 181 projek sambungan dan 14 projek penyenggaraan.

Beliau juga memaklumkan peruntukan penyenggaraan yang diluluskan menerusi Belanjawan 2024 adalah sebanyak RM2.8bilion dan jumlah ini adalah pertambahan RM1bilion berbanding tahun lalu. Kementerian Kewangan telah meluluskan sejumlah RM30juta untuk diagihkan kepada 115 Jurutera Daerah dengan RM200ribu setiap daerah bagi menangani segera aduan kerosakan kecil dan luar jangka di Jalan Persekutuan. Selain itu, Kerajaan juga telah meluluskan sebanyak RM100juta bagi menyenggara dan menggantikan lampu jalan kepada jenis LED yang dijangka dapat memberikan penjimatan bil elektrik sebanyak 60%.

Dato Sri Alexander Nanta Linggi berhasrat untuk memperluaskan Kempen MyJalan sebagai satu program yang bersifat lebih inklusif dan akan dicerapkan ke seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Selari dengan hasrat tersebut, aplikasi aduan MyJalan turut dilancarkan sebagai platform aduan setempat dengan mendukung no wrong door policy. Setakat 2 Februari tahun ini, sejumlah 10,772 aduan telah diterima dan 8,000 atau 74.27% daripada jumlah tersebut adalah berupa aduan yang terletak pada bidang kuasa agensi lain.

Beliau juga menekankan kerja-kerja komunikasi dan hebahan penting untuk memberi informasi tepat kepada rakyat dan menyalurkan maklumat berkaitan manfaat yang dapat diterima rakyat melalui usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian dan Kerajaan. Cara penyampaian hebahan juga perlu dipelbagaikan dan mengikut arus semasa bagi memastikan informasi dapat sampai secara menyeluruh. Beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada pasukan komunikasi Kementerian dan agensi di atas usaha berterusan memantapkan kerja-kerja komunikasi dan meneruskan kerjasama baik dengan rakan media. Ucapan terima kasih juga dizahirkan kepada rakan-rakan media atas bantuan selama ini.

Menteri Kerja Raya menyatakan sepanjang musim tengkujuh sejak November tahun lalu, tiga Jambatan Bailey di tiga negeri telah dipasang iaitu di Melaka, disusuli Kelantan dan yang ketiga di Jalan Kuantan-Segamat-Pekan. Selain itu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak telah mencapai 98.91% hampir siap sepenuhnya, manakala projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A pula, hampir 87% penyiapan dicapai bagi 15 pakej kerja yang sedang berjalan. Tidak lama lagi Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Banting dan Taiping juga bakal dibuka sepenuhnya. Lebuhraya WCE ini bakal menjadi laluan alternatif kepada pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kesesakan terutamanya pada musim perayaan.

Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan daripada MyGDX di atas penyertaan dalam Ekosistem Perkongsian Data Penjawat Awam serta upacara bacaan Ikrar Bebas Rasuah diketuai oleh YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad dan acara menandatangani Ikrar Bebas Rasuah.

Akhir kata, Menteri Kerja Raya menyeru agar warga KKR dan agensi sentiasa optimis untuk kekal memberikan komitmen yang terbaik dalam apa jua tugasan yang diamanahkan.

Tarikh Dan Waktu Acara