Langkau ke kandungan utama
1

Lawatan Kerja YB Menteri Kerja Raya menilai tahap keselamatan LPT2

PERASING, 28 Oktober 2015 – Bagi menilai keadaan permukaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) secara lebih dekat, YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan kerja untuk menilai sendiri jajaran LPT2 bermula hentian rehat dan rawat Perasing hingga ke persimpangan Chukai, Terengganu menggunakan jentera pengimbas permukaan jalan syarikat IKRAM.

Pihak media turut dibawa bersama dalam lawatan ini bagi mendapatkan gambaran sebenar seterusnya memperbetulkan persepsi rakyat terhadap tahap keselamatan dan keselesaan pengguna lebuhraya tersebut ekoran laporan statistik kemalangan yang tinggi sejak pembukaannya.

Satu sesi sidang media turut diadakan di akhir lawatan oleh pihak Kementerian Kerja Raya (KKR), pasukan projek LPT2 dari Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menerangkan punca-punca kemalangan yang berlaku serta langkah-langkah mitigasi dan proaktif yang telah dan sedang diambil bagi menangani punca kemalangan tersebut.

Berdasarkan kepada analisa statistik kemalangan di LPT2 bermula tarikh 1 Februari 2015 hingga 25 Oktober 2015, didapati punca utama kemalangan di LPT2 adalah faktor manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi hadlaju terutamanya di waktu hujan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan yang telah ditetapkan.

Menurut laporan statistik juga, sebanyak 717 kemalangan berlaku di jajaran LPT2 bermula dari Jabor hingga Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu antara 1 Februari 2015 hingga 25 Oktober 2015. Daripada jumlah itu, 77 peratus (551 kemalangan) berpunca daripada faktor manusia.

Faktor persekitaran pula sebanyak 14 peratus (99 kemalangan) yang melibatkan pencerobohan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau serta haiwan liar ke dalam rezab lebuhraya serta terdapat lokasi air bertakung.  Selebihnya sebanyak 9 peratus (67 kemalangan) adalah faktor kenderaan.

Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor hingga Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu pada tahun 2006 telah siap secara berperingkat dimana ia dibuka kepada trafik sepenuhnya pada 31 Januari 2015.  Jajaran LPT2 ini merupakan kesinambungan jajaran lebuhraya LPT1 bermula dari Karak hingga Jabor.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita