Langkau ke kandungan utama
0

Lawatan Kerja Pertama Timbalan Menteri Kerja Raya Ke Jabatan Kerja Raya Malaysia

Kuala Lumpur, 20 Disember 2023 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengadakan lawatan kerja pertamanya ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. YB Timbalan Menteri telah diberikan taklimat berkaitan fungsi, peranan dan hala tuju jabatan oleh barisan Pengurusan Tertinggi JKR Malaysia, diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBhg. Datuk Sr Hj. Amran Hj. Mohd Majid.

Sebelum sesi taklimat berlangsung, YB Datuk Seri Ahmad Maslan menyempurnakan sesi tandatangan buku pelawat serta menerima vest dan topi keselamatan, Buku Statistik Jalan Edisi 2023 serta baju korporat JKR.

JKR Malaysia telah ditubuhkan sejak tahun 1872 dan berfungsi sebagai sebuah agensi teknikal kepada Kerajaan Malaysia. JKR berperanan melaksanakan projek-projek pembangunan dan penyenggaraan infrastruktur serta aset kerajaan kepada pelbagai kementerian, jabatan, badan berkanun dan kerajaan negeri. Selain itu, JKR Malaysia berfungsi sebagai rakan kongsi strategik kepada pelanggan dalam mencapai keberhasilan polisi kerajaan, menjadi peneraju di dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek & kecemerlangan kejuruteraan untuk negara dan bertanggungjawab dalam pembangunan infrastruktur negara.

Intipati taklimat kepada YB Timbalan Menteri Kerja Raya antara lain turut menyentuh berkenaan:

i. Peranan JKR Malaysia sebagai agensi teknikal negara

ii. Status pelaksanaan projek semasa termasuk Projek Berimpak Tinggi dan Projek Luar Negara

iii. Inovasi – inovasi jabatan seperti Sistem Permohonan Sijil Kompetensi Kontraktor Kesihatan (SKKK), Sistem JKR E-Tender (JET), Building Information Modelling (BIM), Pre-Approved Plan (PAP); dan

iv. Pencapaian serta Anugerah yang diterima oleh JKR Malaysia seperti Pensijilan Green Building Index (GBI) Platinum, Anugerah Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2022 Kategori Perkhidmatan Awam Dan Pihak Berkuasa Tempatan dan Anugerah Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2022 Kategori Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KKP Sektor Awam.

Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama JKR Malaysia sentiasa komited dan berusaha untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang optimum serta menyediakan infrastruktur yang berkualiti demi keselesaan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara