Langkau ke kandungan utama
0

Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan Inisiatif JKR Malaysia Demi Memastikan Projek Fasiliti Kesihatan Yang Berkualiti.

ALOR GAJAH, MELAKA, 29 MEI 2023 – Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman bin Mohamad, telah merasmikan Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan, anjuran    Jabatan Kerja Raya Malaysia mewakili Menteri Kerja Raya Yang Berhormat Dato Seri Alexander Nanta Linggi. Kursus yang dilaksanakan buat julung kalinya ini melibatkan seramai 35 Syarikat Kontraktor Gred G7 yang telah lulus penetapan prasyarat Kementerian Kewangan Malaysia. Pada masa yang sama ia mewujudkan satu kriteria yang lebih ketat dan menyeluruh bagi pelantikan kontraktor projek-projek pembinaan hospital.

Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan yang berlangsung selama lima (5) hari ini merangkumi modul pembelajaran meliputi keseluruhan aspek teknikal, pengurusan dan pentadbiran yang menjurus kepada pelaksanaan projek fasiliti kesihatan. Selain itu, kursus ini juga memberikan pendedahan kepada pihak kontraktor berkenaan tanggungjawab dan peranan mereka dalam komunikasi bersama sub-kontraktor, perunding, pembekal serta pihak berkuasa tempatan bagi mencapai objektif kursus dalam mewujudkan kumpulan kontraktor yang berkeupayaan dan berdaya saing.

Berkuatkuasa Januari 2024, Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan menjadi syarat wajib bagi semua kontraktor yang ingin menyertai tender projek fasiliti kesihatan di bawah seliaan JKR Malaysia. Kursus ini dibangunkan khas bagi mewujudkan syarikat kontraktor yang berkepakaran dan berkeupayaan dalam melaksanakan projek pembinaan fasiliti kesihatan di samping mengurangkan masalah pelaksanaan projek, seterusnya mengurangkan risiko kepada kelewatan penyiapan projek.

Melalui inisiatif ini, ia dapat mengukuhkan keupayaan sistem kesihatan awam dari aspek pembangunan infrastruktur dan merealisasikan hasrat Kerajaan dengan menyediakan fasiliti kesihatan yang terbaik untuk rakyat. JKR Malaysia sentiasa berusaha ke arah pencapaian projek yang optimum demi merealisasikan harapan kerajaan untuk membentuk negara MADANI.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita