Langkau ke kandungan utama
0

KKR Peneraju Kajian Skim Perkhidmatan Kluster Teknikal

Kuala Lumpur, 2 Ogos 2023 – Telah berlangsung Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Peringkat Kementerian Kerja Raya yang diterajui Dato’ Seri Haji Hasnol Zam Zam Bin Haji Ahmad di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya (KKR). Sesi ini telah berlangsung dari 8:30 pagi sehingga 12:30 tengahari dan dianggarkan seramai 700 peserta bagi Skim Perkhidmatan Kluster Teknikal yang terdiri daripada pelbagai Skim dan Gred Jawatan seperti Skim Perkhidmatan A (Pengangkutan), Skim Perkhidmatan H (Kemahiran) dan Skim Perkhidmatan (Kejuruteraan).

Turut hadir bersama-sama di dalam sesi ini ialah Timbalan Ketua Satiausaha (Pengurusan) KKR Ybhg. Datuk Ahmad Nadzri Embong serta Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool. Sesi taklimat juga telah disampaikan oleh Puan Nuraida Binti Manap, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri semasa Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Tahun 2023 pada 1 Mei 2023 yang lalu, satu mesyuarat penyelarasan khas berkaitan Bengkel Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam telah diadakan pada 25 Julai 2023. Terdapat keperluan untuk kajian semula bagi Sistem Saraan kerana terakhir kajian ini dilakukan adalah pada tahun 2002 (Sistem Saraan Malaysia).

Bagi tujuan ini, pihak JPA akan melaksanakan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam untuk mengumpulkan input dan maklumat daripada pelbagai pihak, terutamanya daripada semua Kementerian dan Agensi Kerajaan. Pihak JPA telah menetapkan enam kluster Skim Perkhidmatan dan Kementerian Kerja Raya telah dilantik sebagai peneraju bagi kajian skim perkhidmatan kluster teknikal. Ketua Setiausaha KKR juga dilantik sebagai Ketua Kluster Teknikal bagi tujuan kajian ini.

Antara objektif Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam ini adalah:

  1. Peningkatan efisiensi agensi/pegawai awam;
  2. Pengoptimum kos pengurusan agensi Kerajaan;
  3. Peningkatan produktiviti perkhidmatan awam; dan
  4. Peningkatan kesejahteraan pegawai awam.

Sebagai langkah awal bagi memastikan pengumpulan input teratur dan bersifat terangkum, kesemua wakil kluster disarankan untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan mengikut 3 skop utama yang telah ditetapkan iaitu: Perjawatan & Organisasi; Gaji & Elaun; dan Pengurusan Bakat. Hasil daripada input yang diperolehi daripada bengkel mampu menjadi input yang komprehensif yang bersifat objektif, inklusif dan relevan untuk diperhalusi oleh pihak JPA sebagai penambahbaikan serta pemantapan sistem saran perkhidmatan awam untuk masa akan datang.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita