Langkau ke kandungan utama
0

KKR Berjaya Mencapai Kategori Platinum Dan Menerima Sijil Penarafan MyGPI Tahun 2022 Kluster Kementerian Dan Kluster Agensi Pusat Dan Jabatan Utama (APJU)

KUALA LUMPUR, 28 MEI 2023 – Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Penarafan Malaysian Government Performance Index (MyGPI) Tahun 2022 melibatkan kluster Kementerian dan kluster Agensi Pusat dan Jabatan Utama (APJU) di Dewan Sri Baiduri, INTAN Bukit Kiara yang telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara pada hari ini.

MyGPI merupakan satu program untuk menilai prestasi agensi sektor awam yang memberi fokus kepada dua (2) dimensi iaitu dimensi pengurusan organisasi dan dimensi pendigitalan perkhidmatan melalui tadbir urus yang baik ke arah reformasi sektor awam. Program MyGPI ini turut menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara di peringkat global melalui pengukuhan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat dan komuniti perniagaan. Rakan strategik MAMPU ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (UPP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara (JAN), Agensi Keselamatan Siber (NACSA) dan Biro Pengaduan Awam (BPA).

Dalam majlis ini, Sijil Penarafan MyGPI telah disampaikan kepada 26 kementerian, lima (5) Agensi Pusat dan Jabatan Utama serta Jabatan Wilayah Persekutuan (sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan). Sebanyak empat (4) agensi iaitu Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kerja Raya berjaya mencapai kategori Platinum dengan skor markah 90 peratus dan ke atas yang merupakan kategori penarafan tertinggi.

Adalah diharapkan dengan adanya program MyGPI ini, agensi sektor awam dapat meningkatkan lagi usaha-usaha penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam yang memenuhi ekspektasi stakeholders – rakyat, komuniti bisnes dan pengurusan tertinggi.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita