Langkau ke kandungan utama
0

Kesiapsiagaan Kementerian Dan Agensi Dalam Menghadapi Bencana Banjir Di Kuantan, Pahang

Kuantan, 12 Disember 2023 -YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah melakukan lawatan ke Jalan Kuantan - Chukai (FT03), Seksyen 358.0 - 359.0 di Kuantan bagi meninjau kesiapsiagaan kementerian dan agensi dalam menghadapi bencana banjir di Kuantan, Pahang pada hari Isnin 11 Disember lalu.

Jalan berkenaan berhadapan dengan situasi kerosakan iaitu mendapan dan delimination yang teruk akibat kerap berlaku banjir dan dilalui kenderaan berat lebih muatan. Cadangan pembaikan bagi menyelesaikan masalah ini adalah menerusi kaedah Partial Reconstruction (CIPR).

Menyedari masalah ini, Dato Sri Alexander telah mengumumkan kelulusan segera peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi pelaksanaan CIPR iaitu kerja-kerja meninggikan jalan dan menguatkan struktur pavemen jalan yang baru. Usaha ini dilihat dapat mengelakkan kerosakan jalan akibat banjir.

Dalam tinjauan tersebut, YB Menteri telah diberi taklimat tentang persediaan menghadapi situasi Monsun Timur Laut di negeri Pahang oleh Pengarah Kerja Raya Pahang, YH. Dato' Ir. Ts. Hafizah Binti Zakaria. Taklimat turut memperincikan kesiapsiagaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dalam menyediakan keperluan logistik dan pengangkutan bagi tujuan membaik pulih dan membersihkan lokasi banjir, menyelaras laporan berkaitan bencana dan juga memberikan khidmat nasihat teknikal sebelum dan selepas banjir serta maklumat berkenaan laluan alternatif yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya sewaktu banjir berlaku.

Manakala di peringkat ibu pejabat JKR Malaysia, Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) ini turut membuat pelaporan terkini berkenaan status bencana secara berkala ketika negara dilanda bencana Monsun Timur Laut. BiGBen merupakan pusat sehenti pengurusan maklumat bencana seperti kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh yang mana melibatkan jalan dibawah seliaan JKR yang merangkumi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri.

Selain itu, Dato Sri Alexander turut membuat tinjauan teknikal di beberapa lokasi di laluan Jalan Persekutuan yang perlu diberikan perhatian kritikal di sekitar Kuantan, iaitu Jalan Kuantan - Chukai (FT03) di Sek 361.9 (Jambatan Sg Ular) yang menghadapi situasi kerosakan pada sendi renggang. Bagi langkah kawalan segera, tindakan pembaikan jangka masa pendek telah dilaksanakan dengan membuat tampalan pada sendi renggang yang rosak. Peruntukan sebanyak RM71,000 telah dimohon menerusi Notification Of Emergency (NOE).

JKR Pahang telah memohon peruntukan menaik taraf jambatan ini di bawah Program Menggantikan Jambatan Uzur, Sempit dan Tujuan Peningkatan Had Berat Muatan Di Laluan Utama Jalan Persekutuan bagi menyediakan infrastruktur yang lebih selamat serta memenuhi keperluan semasa. Usaha ini juga dapat membantu menyuraikan masalah kesesakan trafik di laluan ini yang kerap menjadi rungutan pengguna jalan raya.

Penyelenggaraan jalan raya sentiasa diberikan keutamaan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) serta menjadi agenda utama dalam inisiatif kempen MYJalan yang merangkumi usaha untuk mengatasi pelbagai isu utama jalan raya seperti jalan rosak, masalah lampu jalan, perabot jalan dan sebagainya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita