Langkau ke kandungan utama
1

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Ketiga

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Ketiga

KUALA LUMPUR, 16 FEBRUARI 2019 – Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 tahun 2019 berlangsung selama tiga hari bermula pada 14hb hingga 16hb Februari 2019. Menteri Kerja Raya bersama-sama pengurusan tertinggi Kementerian telah melawat tapak kajian inovasi bahan turapan jalan sebagai salah satu agenda turun padang meninjau keadaan jalan persekutuan dan penyenggaraannya.

Teknologi turapan jalan mengalami anjakan inovasi apabila beberapa kajian pencarian bahan dan kaedah pembaikan bersesuaian terus dilakukan bagi meningkatkan daya ketahanan jalan seterusnya memanjangkan tempoh hayatnya.

Terbaharu, kajian bahan turapan jalan raya iaitu asphalt yang dicampur dengan sisa plastik dan getah asli latex oleh Makmal Penyelidikan Jalan, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE). Dua lokasi telah dipilih sebagai tapak kajian iaitu di Jalan Persekutuan FT3 di Chukai, Kemaman, Terengganu dan FT98 di Kerdau, Temerloh, Pahang.

Kaedah pembaikan di kedua-dua tapak kajian ini ialah ‘mill and pave’ iaitu membuang satu lapisan sedia ada yang rosak setebal 50 mm dan menggantikan semula dengan turapan baharu menggunakan asphalt bercampur sisa plastik dan getah asli latex. Bagi tapak kajian di Kemaman, terdapat tiga jenis bahan turapan dibuat iaitu asphalt bercampur sisa plastik (waste plastic asphalt) sepanjang 615 meter (m) selorong, getah asli latex (latex asphalt) sepanjang 990 m selorong dan juga getah asli latex (latex mastic asphalt) sepanjang 1,330 m selorong. Kesemua turapan ini siap dilaksanakan pada Oktober 2018 dan hasil kajian dijangka dapat dirumuskan selepas dua tahun pemantauan di tapak.

Manakala tapak kajian di Temerloh pula merupakan turapan yang pertama yang dicampur sisa plastik (waste plastic asphalt) di Malaysia. Ia telah diturap sepanjang 175 m selorong. Selain itu, turapan yang dicampur getah asli latex (latex asphalt) sepanjang 645 m selorong turut dilakukan di tapak ini. Kedua-dua turapan ini siap dilaksanakan pada September 2017. Hasil kajian dijangka dapat dirumuskan selepas dua tahun pemantauan di tapak.

Bahan turapan jalan iaitu asphalt, dengan campuran sisa plastik dikatakan telah digunakan untuk menurap jalan di negara India sepanjang 25,000 km sejak 15 tahun lepas. Turapan jalan itu dikatakan lebih berdaya tahan dari asphalt konvensional.

Asphalt yang terhasil itu dikatakan memiliki ikatan yang lebih kuat di antara batu-batan dan bitumen serta rintangan yang lebih tinggi terhadap air di mana bagi asphalt konvensional, air lazimnya dapat melemahkan ikatan itu dan menjadi salah satu punca.

Getah asli latex pula dikatakan akan dapat merubah dan menambah baik ciri-ciri bitumen, bahan pengikat yang digunakan di dalam asphalt. Bitumen itu akan menjadi lebih elastik, lebih sukar menjadi lembut ketika terdedah pada cuaca panas dan tidak mudah berubah bentuk apabila ditekan oleh beban trafik yang tinggi.

Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 menjelajah jalan persekutuan di tiga buah negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bermula dari Kompleks Kementerian Kerja Raya dengan jumlah jarak sepanjang 1100 kilometer.

Pasukan jelajah seramai seratus orang delegasi ini diketuai oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan disertai pengurusan tertinggi Kementerian, Rakan KKR dan pihak media. Matlamat dan objektif FTRoadPedia adalah memberi nafas baharu dan persektif positif jalan persekutuan selain menonjolkan jalan persekutuan sebagai jalan utama dan menikmati sosio budaya setempat bertemakan “Cipta Detik Indah Bersama”.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita