Langkau ke kandungan utama
0

Jalan Persekutuan FT 237 Chukai Dinaiktaraf untuk Atasi Masalah Banjir.

Chukai, Terengganu, 19 Julai 2023 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah meninjau sendiri kerja-kerja naiktaraf yang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna laluan terjamin semasa beliau hadir bagi menyempurnakan penyerahan projek menaiktaraf jalan sedia ada FT237. Setelah Jalan Persekutuan FT237 yang menghubungkan Chukai ke Air Putih dinaiktaraf Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui agensi Jabatan Kerja Raya (JKR), masalah yang dihadapi pengguna jalan raya di Chukai yang terganggu kelancarannya setiap kali banjir kini berjaya diatasi.

Projek ini melibatkan skop menaiktaraf jalan sedia ada FT237 sepanjang 11.4 kilometer (km) yang merupakan jalan tunggal dua lorong dari piawaian R3 kepada R5. Ia melibatkan kos sebanyak RM 192.8 juta dan telah mula dibina pada 2 Mei 2017 dan siap sepenuhnya pada 13 April 2023. Selain itu, projek ini turut melibatkan skop menaiktaraf lima (5) persimpangan utama, pemasangan lampu isyarat baharu di persimpangan Jalan Pengkalan Binjai dan persimpangan Jalan T126, pemasangan lampu jalan jenis LED serta kerja-kerja pengalihan / pengukuhan utiliti.

Bagi mengatasi masalah laluan yang tidak dapat dilalui / terputus akibat banjir , aras jalan raya ini dinaikkan lebih kurang 2 meter tinggi sepanjang 3.1km di lokasi kerap berlaku banjir.  Turut dibina ialah jambatan tebatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sepanjang 313 m dengan menggunakan Jambatan Lengkung Pratuang (Precast Arch Structure). Keistimewaan jenis jambatan ini ianya dapat mempercepatkan proses pembinaan dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Pada majlis ini, turut diadakan penyampaian Sijil Kontraktor Penyiap KKR kepada lapan syarikat kontraktor dari Negeri Terengganu yang telah berjaya melepasi tiga (3) peringkat saringan dan dinilai berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.  Kontraktor Penyiap telah diperkenalkan melalui Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PK 4.5 – Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap berkuat kuasa mulai 29 Jun 2018. Syarikat yang diiktiraf sebagai Kontraktor Penyiap berpeluang untuk menyertai projek menyiapkan baki kerja bagi projek-projek kerajaan yang telah ditamatkan.

Sepanjang tahun 2022 sebanyak 17 projek di bawah seliaan JKR Malaysia terlibat dengan penamatan projek dan telah dikenakan tindakan penggantungan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) atas kesalahan gagal mematuhi obligasi kontrak. Kementerian Kerja Raya sentiasa memantau prestasi Kontraktor Penyiap melalui pematuhan kriteria yang ditetapkan selain bebas daripada sebarang projek sakit dan tindakan tatatertib. Sijil pengiktirafan yang diberikan kepada kontraktor terbabit akan ditarik balik serta-merta sekiranya didapati melanggar peraturan yang ditetapkan bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan demi ke arah kesejahteraan rakyat.

Tarikh Dan Waktu Acara