Langkau ke kandungan utama
0

Inovasi Penyelesaian Untuk Cabaran Pengurusan Fasiliti Melalui Kemajuan Digital

Kuala Lumpur, 21 Februari 2024 – Persatuan Pengurusan Fasiliti Malaysia (MAFM) telah menganjurkan Perjumpaan Umum bertemakan "tren semasa industri pengurusan fasiliti dan hala tuju masa depan" bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan MAFM ke-17 yang diadakan di UTM Hotel and Residence Kuala Lumpur. Acara itu dihadiri oleh 120 pemimpin industri yang terdiri daripada pemilik aset, penyedia perkhidmatan, badan kawal selia, ahli akademik dan pembekal yang berkaitan dengan industri pengurusan fasiliti di Malaysia. Dalam konteks yang sebenar, industri pengurusan fasilti di Malaysia dikawal selia dibawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520).

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia. Hadir sama Dato' Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Kerja Raya (KKR), Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, ahli akademik dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan pasukan pengurusan kanan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Mengikut  perangkaan  Jabatan  Statistik  Malaysia,  industri  pembinaan  mempunyai  nilai keluaran  tahunan  purata  berjumlah  RM138.44  bilion  pada    tahun  2022  dan  sektor pengurusan fasiliti terus berkembang dengan baik pada kadar purata RM25 bilion dalam tahun 2022. Jesteru itu, profesion FM perlu lebih dinamik dengan membuat transformasi dalam aspek pendigitalan dan kelestarian.  Dari segi sumbangan     sosial ekonomi, pengurusan fasiliti dilihat sebagai satu cara untuk menguruskan aset dengan lebih baik melalui   pengurangan   kos, meningkatkan   fleksibiliti, membolehkan   penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan responsif  serta  mewujudkan  persekitaran  yang lebih baik dan selamat."

Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad bin Maslan menegaskan bahawa "Pengurus Fasiliti perlu menambah pengetahuan dan meningkatkan amalan kerja mereka untuk kekal relevan, seiring dengan perkembangan industri pengurusan fasiliti di seluruh dunia". Dalam konteks industri pembinaan Malaysia, seiring dengan semangat Dasar Pembinaan Negara yang dibangunkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia pada tahun 2023.

“Dalam memperkasa industri pembinaan Malaysia kepada sektor yang sangat produktif dan mampan menjelang tahun 2030, profesional industri kita mesti bersedia untuk menjadi setanding dengan pemain global lain dari segi kapasiti, komponen dan keupayaan untuk meningkatkan produktiviti industri pembinaan Malaysia. Ini akan membantu pihak Kerajaan menyelesaikan masalah bajet dan kesukaran dalam menguruskan aset utama bangunan dan infrastruktur Kerajaan seperti sekolah, hospital, lebuh raya dan jalan luar bandar dan bandar” tambah Datuk Seri Ahmad bin Maslan.

KKR sentiasa komited dalam memastikan industri pembinaan Malaysia sentiasa produktif dan mampan dalam menghadapi cabaran global bagi memastikan persekitaran kondusif dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Tarikh Dan Waktu Acara