Langkau ke kandungan utama
0

Dua Projek Infrastruktur Utama di Langkawi Dijangka Siap Ikut Masa pada Januari 2025

Langkawi, 10 Mac 2024 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengadakan lawatan kerja sehari ke Pulau Peranginan Langkawi pada hari ini.

Antara tujuan lawatan adalah untuk menyerahkan Jambatan Sungai Perangin yang baharu siap dibina menggantikan jambatan sedia ada yang dikenali sebagai Jambatan Sungai Perangin, Oriental Village di Pulau Langkawi kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Acara penyerahan itu telah dilaksanakan di Perkarangan Panorama Langkawi, Oriental Village tidak jauh dari jambatan tersebut. Projek Membina Jambatan Sungai Perangin yang baharu ini mula dilaksanakan pada 30 Oktober 2020 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merupakan Agensi Pelanggan bagi projek ini. Projek ini telah siap sepenuhnya pada 24 Januari 2024 dengan anggaran kos projek berjumlah RM 7.877 juta.

Hadir sama ialah Pengarah Kanan Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Haji Ibrahim bin Esa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pembangunan), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), YBrs. Tuan Wan Kamarul Faisal Bin Wan Kamardin, Pengarah JKR Negeri Kedah, YBrs. Mohd Fisal bin Ismail, Jurutera Daerah JKR Langkawi, YBrs. Ir. Ts. Khairul Azlan Bin Abdullah serta Pengarah Urusan Cakra Makota Sdn. Bhd. selaku Kontraktor Utama, YBrs. Tuan Mohd Shahlan bin Ramli.

Sempena Majlis Penyerahan tersebut, Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengambil kesempatan untuk melawat dan meninjau kemajuan dua (2) projek infrastruktur utama di Langkawi.

Projek-projek tersebut adalah Pembinaan Kuarters Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bohor Jaya, Langkawi.

Pembinaan Kuarters Kakitangan (KKM) dengan kos yang berjumlah RM 88.755 juta yang dijangka siap 25 Januari 2025 akan mengandungi tiga (3) blok iaitu dua (2) blok sepuluh (10) tingkat, satu (1) blok tujuh (7) tingkat yang berjumlah 180unit dan berkeluasan 1,200 kaki per segi. Kuarters ini bila siap kelak dilengkapi dengan satu (1) unit surau, satu (1) unit taska dan dewan serbaguna akan memudahkan penempatan kakitangan KKM di Langkawi yang mana terkenal dengan harga sewa yang mahal.

Dalam tinjauan hari ini, YB Timbalan Menteri Kerja Raya diberi taklimat bahawa projek penyiapan projek ini mengikut jadual walaupun tergendala kerana penularan Covid-19 pada tahun 2021. Projek kedua yang telah ditinjau adalah Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bohor Jaya, Langkawi yang berjumlah RM 48.946 juta. Projek ini bermula pada 21 Julai 2022 dan dimaklumkan bahawa projek ini tiada permohonan lanjutan masa dan dijangka siap pada 29 Januari 2025. Projek pembinaan ini melibatkan 30 bilik darjah yang dapat menampung 900 pelajar dan dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan sekolah, gelanggang sukan, padang bola sepak, perpustakaan, kantin dan lain-lain kemudahan.

Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya sentiasa komited dalam menyediakan prasarana terbaik demi kemudahan rakyat seluruhnya.

Tarikh Dan Waktu Acara