Cetusan inovasi teknologi pembinaan Jambatan Batu 6, Gerik, cipta rekod Malaysia
GERIK, 2 Julai 2015 – Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengambil langkah proaktif dalam pembinaan Jambatan Batu 6, Gerik, apabila mengaplikasikan inovasi dan kreativiti yang berteraskan teknologi terkini dan mesra alam.
Projek pembinaan dibawah peruntukkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ini menggunakan kaedah pembinaan teknologi konkrit iaitu Teknologi Ultra High Performance Concrete’ (UHPC) yang sesuai dibina di lokasi-lokasi yang strategik kerana tidak memerlukan tiang di dalam sungai sekaligus mampu mengurangkan risiko pelanggaran sampah sarap seperti kayu balak terutamanya semasa banjir besar.
Jambatan yang siap dibina pada 17 Jun 2015 ini dibina dengan panjang 100 meter dan lebar 5 meter menyeberangi Sungai Perak. Berat jambatan konkrit UHPC telah berkurangan 50% berbanding penggunaan kaedah konvensional selain mempunyai 40% kesan karbon yang rendah, menjadikannya mesra alam.
Jambatan bernilai RM6.3 juta ini telah dinobatkan sebagai jambatan konkrit satu rentang yang terpanjang di Malaysia menggunakan UHPC oleh ’The Malaysia Book Of Records’ dan upacara penyerahan sijil telah diadakan di tapak pembinaan jambatan ini dengan YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya telah menerima sijil tersebut.
- Log in to post comments