Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUALA LUMPUR, 7 MEI 2018: Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa telah telah menyampaikan amanat beliau pada Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara bersama Warga Kementerian Kerja Raya di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid, Kementerian Kerja Raya.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan kata aluan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya YBhg. Dato Sri Zohari Akob yang berkisar kepada peranan penjawat awam dalam melaksanakan dasar kerajaan serta insentif kerajaan dalam membela nasib penjawat awam.

Aturcara majlis diteruskan dengan acara utama iaitu sesi amanat bersama Ketua Setiausaha Negara YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa. Intipati amanat tertumpu kepada Dasar TN50 yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dan peranan KKR dan agensi dalam melaksanakan dasar tersebut. Tambahan pula, KSN juga menerangkan lima prinsip pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri iaitu Ekonomi, Global, Berwawasan, Rakyat di hati dan Penyampaian.

Beliau juga menerangkan mengenai kemaraan China sebagai sebuah kuasa ekonomi baru dunia dan manfaat terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia serta penjawat awam digalakkan untuk menggunakan media sosial untuk menjelaskan dasar- dasar kerajaan disamping menjadi penghubung denyut nadi antara rakyat dan kerajaan.

Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab warga dan sesi bergambar. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), YBhg. Dato’ Abdul Razak bin Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Datuk Haji Sarani bin Dollah, Ketua Pengarah Kerja Raya Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia YBhg. Dato’ Ir. Haji Ismail bin Md Salleh, dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Asri bin Abdul Hamid.

1

KUALA LUMPUR, 4 MEI 2018: Program kesedaran dan pelancaran pelaksanaan Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling, BIM) untuk projek penswastaan lebuh raya telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Ybhg. Dato' Seri Zohari Akob di Dewan Serbaguna Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling, BIM) merupakan sebuah model digital 3D sesuatu bangunan atau struktur yang mengandungi pelbagai maklumat geometri dan parameter yang dihasilkan melalui beberapa perisian. Model BIM boleh digunakan untuk melihat kitaran hidup sesebuah struktur yang akan dibina daripada peringkat perancangan sehinggalah penyelenggaraannya apabila siap.

Penggunaan BIM di dalam projek-projek pembinaan merupakan inisiatif penting untuk mempertingkatkan produktiviti sektor ini sejajar dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (Construction Industry Transformation Programme, CITP) 2016-2020.

Lembaga Lebuhraya Malaysia telah menyahut cabaran Ybhg Dato' Sri Zohari Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dalam melaksanakan BIM dalam industri lebuh raya. Oleh yang demikian, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan berusaha untuk merealisasikan pelaksanaan transformasi proses kerja yang berkaitan dengan perancangan, rekabentuk, pembinaan serta penyenggaraan rangkaian lebuh raya.

Selaras dengan perkembangan teknologi terkini, aplikasi "Building Information Modelling" (BIM) dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2020 di semua lebuh raya bertol baru di bawah seliaan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Majlis hari ini dimulai dengan ucapan aluan daripada YBhg. Datuk Ir Hj Ismail Md. Salleh, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia dan seterusnya disempurnakan pelancarannya oleh YBhg Dato' Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

1

KUALA LUMPUR, 3 MEI 2018:  Kementerian Kerja Raya, Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. dan MRT Corporation telah menandatangani perjanjian perpindahan  Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKR WPKL) dan Unit Perunding Inspektorat Kejuruteraan Elektrik, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (UPIKE CKE) dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Seroja, Kementerian Kerja Raya. 

Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato' Seri Zohari Akob manakala Lebuhraya DUKE Fasa 3 Sdn. Bhd. pula diwakili oleh YBhg. Tan Sri Lim Keng dan Wakil daripada pihak MRT Corp.

1

KUCHING, 27 APRIL 2018: Menteri Kerja Raya YB Dato' Seri Haji Fadillah Bin Haji Yusof telah merasmikan pembukaan Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Construction Industry Development Board, CIDB) Sarawak di Kompleks CIDB Kuching.

Pembinaan Fasa satu Kompleks CIDB yang telah siap meliputi Pusat Konvensyen, bangunan asrama, kemudahan riadah dan sukan manakala kemudahan asrama yang lebih besar dan bengkel-bengkel latihan masih dalam perancangan pihak CIDB. 

Pembinaan pusat konvensyen ini adalah usaha pemantapan infra bagi Pendidikan Dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (Technical and Vocational Education and Training, TVET) yang telah menjadi antara teras penting dalam pembangunan modal insan yang setaraf dengan pencapaian akademik.

 CIDB melalui Akademi Binaan Malaysia telah memberi latihan kepada belia- belia Malaysia untuk meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang berkaitan industri pembinaan. Di Sarawak, ABM telah melahirkan belia yang berkemahiran dalam pengendalian jentera berat yang mempunyai pemintaan dalam industri. 

Ia bertepatan dengan salah satu inisiatif dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (Construction Industry Transformation Programme, CITP) iaitu dengan meletakkan sasaran produktiviti kepada RM62,000 perkapita menjelang tahun 2020 berbanding hanya RM22, 464 pada tahun 2011. 

Antara usaha yang telah dijalankan oleh pihak CIDB temasuklah dengan memulakan program perintisan atau apprenticeship dengan meletakkan pelatih- pelatih ini untuk mendapatkan pengalaman dan kemahiran di syarikat- syarikat industri pembinaan. 

Melalui program ini, CIDB telah membelanjakan RM6.3 juta untuk melatih 1800 pelatih dengan usahasama dan kerjasama organisasi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB),  Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), MRT Corporation, MMC-Gamuda, PETRONAS Chemicals Groups serta Lendlease.

Menteri Kerja Raya. dalam ucapannya berkata Fasiliti serta kemudahan yang disediakan di ABM ini sememangnya mencerminkan betapa pentingnya pembangunan Kompetensi Kemahiran di dalam Pembinaan ini kepada kita.   Dengan kemudahan yang cantik, moden dan lengkap, ia pasti akan meningkatkan lagi imej Kementerian Kerja Raya dan CIDB sebagai peneraju industri pembinaan negara.

1

BAGAN DATUK, 26 APRIL 2018: Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Laluan FT069 dari Jalan Simpang Empat Hutan Melintang Ke Parit 19 Bagan Datuk telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Diraja Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan UMNO Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak.

Projek yang dilaksanakan ini merupakan satu lagi projek pembangunan infrastruktur yang  dijalankan oleh kerajaan persekutuan ini bukan sahaja akan memberi impak terhadap penduduk Bagan Datuk tetapi kepada rakyat Perak kerana laluan ini menjadi alternatif kepada pengguna jalan raya sekaligus dapat menjana pertumbuhan ekonomi melalui wujudnya peluang perniagaan yang terdapat disini.

Sehingga kini, sebanyak 23 projek berimpak tinggi berjumlah RM4.7 bilion telah diluluskan melalui Rancangan Malaysia Ke- 11 (RMK11) sekaligus menunjukkan bahawa Bagan Datuk sentiasa mendapat perhatian kerajaan persekutuan dalam usaha menjadikan Daerah ini sebagai sebuah daerah yang maju dan berdaya saing seiring dengan daerah- daerah yang lain seiring dengan arus permodenan yang dikecapi.

Di dalam 23 projek tersebut, sebanyak 10 projek sedang dilaksanakan di negeri Perak di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya melibatkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.  Untuk Bagan Datuk, sejumlah RM1.29 bilion diperuntukan melibatkan projek Membina Jambatan Bagan Datuk Ke Kg. Sejagop (RM447 juta), projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat (Flyover) Dari FT005 Ke FT069 (RM202 juta), projek Menaiktaraf FT069 Dari Parit 19 Ke Pekan Bagan Datuk (RM529 juta) dan projek Menaiktaraf FT069 Dari Simpang Empat Hutan Melintang Ke Parit 19 Bagan Datuk (RM111 juta).

Pembinaan jalan di Malaysia ini dilaksanakan melalui kaedah pembinaan baru menggunakan getah sebagai bahan utama iaitu kaedah Cup Lumps Asphalt (CMA). Turut hadir Menteri Besar Perak YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Ybhg. Dato’ Sri Zohari bin Haji Akob dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha.

1

LIPIS, 25 April 2018: Majlis Perasmian Pembukaan Central Spine Road (CSR) Seksyen 3E2: Merapoh ke Kampung Kubang Rusa, Lipis telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak di tapak perasmian projek di Lipis, Pahang.

Pembukaan jalan ini merupakan antara inisiatif kerajaan Persekutuan dalam menyediakan laluan baru menghubungkan Pantai Timur dan Pantai Barat disamping dapat mengurangkan kesesakan terutamanya ketika musim perayaan serta dapat membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di negeri- negeri Pantai Timur.

Projek pembinaan jalan sepanjang 14 Kilometer (KM) ini sebahagian daripada enam pakej keseluruhan sepanjang 461 KM meliputi Kota Bharu, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang.

Lebuhraya CSR yang dibina juga merupakan projek yang berkualiti tinggi dan telah menerima banyak anugerah atas pencapaian yang diperolehi antaranya termasuklah penjimatan kos sebanyak RM 35 Juta dan siap lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan. Projek ini juga telah mendapat pengiktirafan SIRIM kerana memenuhi kriteria 5S yang telah ditatapkan serta menerima anugerah inovasi atas pemasangan Non Woven Geotekstil pada Culvert dan blok konkrit pada jambatan.

Projek yang mula dilaksanakan para tahun 2015 ini dibina berasaskan pembinaan jalan empat lorong dua hala mengikut piawaian JKR R5 dan telah siap sepenuhnya pada 14 Mac 2018.

Infrastruktur yang dibina termasuklah satu persimpangan selaras, dua jambatan merentasi sungai, enam vehicular box culvert  dan dua smart vehicular box culvert.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, YAB Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Sri Zohari bin Haji Akob dan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg Dato' Sri Ir. Roslan bin Taha.

1

KUALA LUMPUR, 24 APRIL 2018: Menteri Kerja Raya YB Dato' Seri Haji Fadillah Bin Haji Yusof telah mengetuai satu lawatan dan pemeriksaan mengejut untuk melihat kerja-kerja pembinaan jejambat motorsikal 'overhead motorcycle bridge' dan menaiktaraf sistem perparitan di Lebuhraya Persekutuan FT2. 

Pemeriksaan mengejut ini dilakukan untuk memastikan bahawa pembinaan (overhead motorcycle bridge) ini disiapkan mengikut masa dan spesifikasi keselamatan yang ditetapkan. Pemeriksaan juga dilakukan terhadap lorong motorsikal yang terdapat di kawasan berhampiran. 

Pembinaan jejambat motorsiikal ini diharap dapat mengatasi masalah utama banjir dalam terowong motorsikal disamping dapat meningkatkan aspek keselamatan pengguna lebuhraya yang keluar/masuk ke laluan. 

Turut hadir mengiringi YB Menteri Kerja Raya, Pengarah Kanan Cawangan Jalan Jabatan Kerja Raya Malaysia, Ir. Hj. Zulakmal bin Hj. Sufian. 

1

TANAH MERAH, KELANTAN, 23 APRIL 2018: Pembangunan infrastruktur yang signifikan kepada Rakyat Negeri Kelantan diteruskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Tanah Merah yang mampu memberi faedah kepada 387,881 penduduk sekitar Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Jeli.

Majlis permulaan kerja projek ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya bertempat di tapak projek Lot PT 9200, Mukim Maka, Jajahan Tanah Merah, Kelantan.

Cadangan pembinaan ini melibatkan penambahan bilangan katil sebanyak 124 katil, pembinaan klinik pakar dan sokongan klinikal seperti Specialist Clinic, Daycare Services, Patient’s Ward, Intensive Care Unit, Coronary Care Unit, High Dependency Ward, Isolation Rooms / Security Rooms, Operating Theatre, Radiology Unit, Stat Lab, Pharmacy, Catering Department, Seminar/Conference room dan Staff facilities.

Turut termasuk dalam skop projek adalah pembinaan 300 ruang letak kenderaan dan penggantian jalan masuk ke taman perumahan berdekatan. Cadangan ini juga bertujuan menaiktaraf infrastruktur hospital bagi persediaan menampung peningkatan kepakaran daripada minor ke major. Selain itu ia juga mampu meningkatkan perkhidmatan kepakaran perubatan dan mengurangkan rujukan pesakit ke hospital berdekatan.

Setelah pembinaan bangunan tambahan ini siap kelak, ia bakal menyediakan fasiliti dan kemudahan yang lebih lengkap, selesa dan kondusif untuk pesakit, keluarga pesakit dan kakitangan hospital. Projek yang menelan kos sebanyak RM147,652,700.00 ini dijangka siap pada Oktober 2021 dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan merupakan Pengarah Projek ini manakala kontraktor utama ialah syarikat After Image Sdn. Bhd.

1

KUCHING, 19 APRIL 2018: Projek Jalan Empat Lorong dari Matang ke Stapok serta Pembinaan Jambatan Baharu merentasi Sungai Sarawak adalah satu inisiatif Kerajaan dalam menyediakan jalan alternatif bagi menyuraikan trafik yang menggunakan Jalan Satok dan Jalan Kulas dan juga Jambatan Satok yang merentasi Sungai Sarawak. Ini adalah berikutan laluan ini yang menghubungkan Bandaraya Kuching dengan Petra Jaya tidak dapat lagi menampung aliran trafik dari kawasan Matang khasnya bagi laluan menuju ke Bandaraya Kuching / Kuching International Airport / Kuching / Kuching Sentral pada waktu puncak.

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 145 juta untuk projek ini yang telah mula pembinaan pada bulan April 2015 dan dirasmikan pada hari yang bersejarah ini oleh YAB Ketua Menteri Sarawak. Dengan siapnya jalan dan jambatan baharu ini, perjalanan dari Matang ke  Kuching International Airport / Kuching Sentral dianggarkan akan berkurang sebanyak 15 hingga 30 minit pada waktu puncak dan Level of Service (LOS) di Jambatan Satok dapat ditingkatkan daripada tahap F ke tahap C atau D. 

Skop projek ini merangkumi penaiktarafan jalan 4 lorong 2 hala sepanjang 1.5 kilometer, membina jalan baru 4 lorong 2 hala sepanjang 2.9 kilometer dan membina jambatan baru merentasi Sungai Sarawak sepanjang 320 meter.

1

SEPANG, 5 APRIL 2018: Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan Permulaan Kerja Pusat Kebangsaan untuk Keselamatan Makanan (National Centre for Food Safety, NCFS) telah dirasmikan bersama oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato' Seri Haji Fadillah Bin Haji Yusof dan Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam di tapak projek NCFS di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. 

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah meluluskan pembinaan NCFS sebagai langkah untuk menangani cabaran keselamatan makanan rakyat Malaysia sekaligus dapat meningkatkan kawalan keselamatan dan kualiti makanan negara. 

NCFS dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) yang berfungsi dalam menjalankan aktiviti utama dalam menjana data saintifik untuk memastikan kawalan keselamatan makanan yang berkesan. 

Pusat ini juga akan menempatkan Pusat Latihan Keselamatan Makanan Antarabangsa (International Food Safety Training Center, IFSTC) dan Pusat Penilaian Risiko ASEAN (ASEAN Risk Assessment Center, ARAC) dibawah BKKM.

Penyerahan SST dan Mula Kerja telah diserahkan kepada Syarikat Perwira Indah Jaya Sdn. Bhd yang merupakan kontraktor terpilih dalam menjayakan projek ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2021. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Ybhg. Dato' Seri Dr. Chen Chaw Min, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Ybhg. Dato Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md. Taha, Pengarah JKR Selangor Dato' Ir. Ruslan bin Abd Aziz, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dato' Dr. Khalid bin Ibrahim, dan ADUN Dengkil Tn. Hj. Sharum bin Hj Mohd Sharif