Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

KUCHING, 9 JULAI 2018: Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah membuat lawatan rasmi ke Jabatan Kerja Raya Negeri Sarawak di Wisma Saberkas, Kuching. 

Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama YB Menteri Kerja Raya di Sarawak sejak dilantik menjawat jawatan Menteri Kerja Raya. 

Ketibaan YB Menteri disambut oleh Pengarah JKR Sarawak, Datu Ir.Zuraimi Bin Hj.Sabki dan pengurusan atasan JKR Sarawak sebelum dibawa untuk mendengar taklimat mengenai fungsi dan tugas JKR Sarawak serta perkembangan semasa berkaitan projek-projek yang sedang dilaksanakan khususnya di Negeri Sarawak.

Sesi lawatan YB Menteri diakhiri dengan satu sidang media bersama- sama pengamal media tempatan.  Hadir sama ialah YBhg.Dato' Seri Zohari Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.

1

KUCHING, 9 JULAI 2018: Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah menerima kunjungan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya, Kuching. 

Lawatan ini dilakukan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18 dimana YB Tuan Baru Bian juga merupakan ADUN bagi kawasan Ba'kelalan. 

Perjumpaan selama 30 minit ini banyak menyentuh isu berkaitan dengan pembangunan infrastruktur di Negeri Sarawak disamping berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi keselesaan rakyat. 

Turut hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg.Dato' Seri Zohari Akob, dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak YAB Tan Sri James Jemut Masing.

1

ALOR SETAR, 7 JULAI 2018: Kementerian Kerja Raya telah mengadakan Persidangan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Kerja Raya dan Agensi pada 6 hingga 9 Julai 2018 bertempat di Hotel TH, Alor Setar. 

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, Tuan Baru Bian. Program ini mengumpulkan seramai 378 orang peserta yang terdiri dari Pegawai-pegawai Kanan JKR dari pelbagai Cawangan, Negeri, Daerah serta Kementerian lain. Sebanyak lapan kertas kerja berkaitan industri pembinaan telah dibentangkan sepanjang berlangsungnya persidangan ini. Selain itu peserta program telah dibawa melawat beberapa lokasi teknikal sekitar negeri Kedah untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan pengalaman.

Aturcara Majlis termasuklah gimik dan montaj perasmian, pelancaran sistem JTruss, pelancaran Lagu, Misi dan Tudung baru JKR sebelum diakhiri dengan upacara perasmian dewan pameran dan lawatan oleh YB Menteri Kerja Raya.

Turut berlangsung pada hari yang sama iaitu Majlis Makan Malam Negeri anjuran Kerajaan Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Mukhriz Bin Tun Dr. Mahathir. 

Turut hadir termasuklah Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Ketua Setiausaha Kementerian YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Ir. Dr. Roslan Md Taha. dan Pengarah JKR Kedah Ir. Haji Wan Muhamad Hilmi Bin Wan Mahmud

1

ALOR SETAR, 7 Julai 2018: Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah mengadakan lawatan ke tapak projek Membina Jalan Baru Lencongan Timur Dari Persimpangan Alor Mengkudu (K138) Ke Persimpangan Jalan Tun Razak (K8/K368), Alor Setar, Kedah (Fasa 2A).

YB Menteri telah diberi taklimat berkenaan projek oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kedah, Tuan Ir. Hj. Wan Mohamad Hilmi bin Wan Mahmud dan kemudiannya dibawa melihat sekitar tapak projek pembinaan. 

Projek pembinaan jalan ini merupakan sebahagian daripada projek pembangunan di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang bertujuan menyuraikan aliran trafik serta memberi akses yang lebih lancar untuk bahagian Timur Bandaraya Alor Setar.   

Skop projek jalan ini termasuklah menaiktaraf jalanraya sediada sepanjang dua kilometer(km) dan membina jalan baharu sepanjang enam kilometer. Selain itu, turut termasuk dalam skop kerja adalah pembinaan jambatan baharu merentasi Sungai Pendang sepanjang 180 meter dan pembinaan jambatan merentasi parit monsun Jabatan Pengairan Saliran (JPS). 

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir dan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg.Dato' Seri Ir. Roslan Md Taha.

1

BATU MAUNG, 6 JULAI 2018:  Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Projek P-10 Flyover Daripada Batu Maung Ke Jalan Sultan Azlan Shah, Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian di Batu Maung, Pulau Pinang. 

Pembukaan jalan ini bertujuan untuk melancarkan perjalanan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan dari Jambatan Sultan Azlan Shah ke Lapangan Terbang Bayan Lepas dan sebaliknya. Selain itu ia juga dapat menyediakan rangkaian jalan raya yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat disamping dapat menampung jumlah kenderaan yang semakin meningkat.

Projek menaiktaraf ini telah dimulakan pada awal Januari tahun 2015 dan telah siap sepenuhnya pada 29 Jun 2018 serta menelan kos sebanyak RM125 Juta.

Skop projek termasuklah pelebaran jalan sepanjang 1.25 kilometer, Elevated Structure sepanjang 650 meter, sebuah jejantas pejalan kaki, dua buah pondok bas dan kerja- kerja berkaitan penambahbaikan jalan.

Penaiktarafan jalan ini merupakan antara usaha dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam proses menyediakan infrastruktur terbaik untuk keselesaan rakyat khususnya rakyat Pulau Pinang.

1

KUALA LUMPUR, 5 JULAI 2018: Satu lawatan kerja ke  Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Construction Industry Development Board, CIDB) telah dilakukan oleh Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian di Menara Sunway Putra, Kuala Lumpur. 

Ini merupakan antara lawatan terawal YB Tuan Baru Bian sejak menjawat jawatan sebagai Menteri Kerja Raya pada 2 Julai 2018. Ketibaan YB Menteri telah disambut oleh Pengurusan atasan CIDB.
 
Agenda lawatan YB Menteri Kerja Raya termasuklah sesi perbentangan mengenai program- program yang dijalankan serta pencapaian yang telah dikecapi sepanjang penubuhan CIDB sebelum dibawa melawat ke Pusat Permodelan Bangunan Bermaklumat (Building Information Modeling Centre, BIM Centre).

Turut serta dalam lawatan termasuklah Timbalan Menteri Kerja Raya YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, dan Ketua Setiausaha Kementerian YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob.

1

KUALA LUMPUR, 3 JULAI 2018: Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian dan Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Kerja Raya Kuala Lumpur dan ketibaan mereka pada jam 9 pagi disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob dan pegawai- pegawai kanan Kementerian dan agensi.

YB Menteri dan YB Timbalan Menteri dibawa ke pejabat masing- masing sebelum ke Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya untuk sesi taklimat bersama pihak pengurusan atasan kementerian dan agensi.

Majlis diteruskan dengan sidang media sebelum diakhiri dengan Majlis Serah - Terima Tugas daripada Mantan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Bin Haji Yusof kepada Menteri Kerja Raya YB Tuan Baru Bian.

YB Tuan Baru Bian dan YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir merupakan antara barisan kabinet Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri YAB Tun Dr. Mahthir Mohamad yang mengangkat sumpah di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 2 Julai 2018.

1

KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2018: YB Tuan Baru Bian telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu bagi menggantikan Dato’ Sri Fadillah Bin Haji Yusof yang telah berkhidmat dari tahun 2013 hingga 2018 dalam satu Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammand V di Istana Negara Kuala Lumpur.

Istiadat angkat sumpah ini turut disaksikan oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail sekaligus melengkapkan senarai kabinet menteri dan timbalan menteri dibawah kerajaan pimpinan beliau.

YB Tuan Baru Bian Merupakan Ahli Parlimen Selangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan serta merupakan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak. Beliau merupakan pemengang Ijazah Undang- Undang (LL.B) di Melbourne University, Australia.

Turut mengangkat sumpah YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir yang menjawat jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya. Beliau merupakan Ahli Parlimen Temerloh merangkap Setiausaha Agung Parti Amanah Negara.

1

KUALA LUMPUR, 5 JUN 2018: Program Nilai- Nilai Murni Bersama Pengurusan Atasan Kementerian Kerja Raya telah berlangsung sempena dengan sambutan Bulan Ramadan di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kementerian Kerja Raya. 

Agenda majlis dimulakan dengan tazkirah bertajuk zakat dan fidyah yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Haziq bin Mohd Sis sebelum diteruskan dengan majlis berbuka puasa. Turut berlangsung sesi Solat Maghrib dan Isyak berjemaah dan diteruskan dengan solat tarawih sebelum diakhiri dengan sesi jamuan moreh. 

Turut hadir memeriahkan majlis Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya YBhg. Dato’ Seri Zohari Bin Haji Akob, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR, YBhg. Datuk Sarani Bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) YBhg. Dato’ Abdul Razak Bin Jaafar, Ketua Pengarah Kerja Raya YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md. Taha, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) YBhg. Dato' Ir. Haji Ismail bin Md. Salleh, Ketua Eksekutif CIDB  Dato' Ir. Ahmad Asri Bin Abdul Hamid, pegawai dan warga KKR serta agensi.

1

KUALA LUMPUR, 15 MEI 2018: Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya YBhg. Dato' Sri Zohari Bin Haji Akob telah merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Antara Bahagian Kementerian Kerja Raya 2018 anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Kementerian Kerja Raya (KSKKKR)  dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Tanjung, Kementerian Kerja Raya.

Dalam Majlis ini, Pasukan Paver telah menjadi juara keseluruhan mengatasi Pasukan Grader, Excavator Dan Roller. Kejohanan sukan ini telah berlangsung dari 10 Mac 2018 Hingga 27 April 2018 yang merangkumi 19 acara sukan.

Turut hadir dan bersama- sama menyampaikan hadiah kepada pemenang acara sukan yang dipertandingkan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) YBhg. Datuk Haji Sarani Bin Dollah, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar&Pembangunan) YBhg. Dato' Abdul Razak Bin Jaafar.