Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

PERAK, 20 Februari 2018: Kedudukan Hospital Parit Buntar sangat strategik pembinaannya kerana terletak dalam daerah Kerian dan Parit Buntar terletak bersempadan dengan Negeri Pulau Pinang dan Kedah. Sehubungan itu, pembinaannya nanti akan memberi manfaat kepada kira-kira 120,000 orang penduduk sekitar terutamanya di Daerah Kerian. Penduduk di kawasan berkenaan tidak lagi perlu ke Ipoh untuk mendapatkan rawatan apabila ia siap dibina nanti.

Majlis Pecah Tanah Hospital Parit Buntar, Perak, disempurnakan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof pada hari ini, Selasa 20 Februari 2018.

Pembinaan hospital kini memasuki fasa 3 iaitu kerja-kerja bangunan dengan tarikh milik tapak pada 2 Januari 2018 dan dijangka akan disiapkan pada 28 Disember 2020. Antara skop kerja fasa 3 yang akan dibangunkan ialah 1 blok bangunan hospital utama, 1 blok mekanikal dan elektrikal, 1 blok rumah sampah, 1 unit setor mudah terbakar dan beberapa keperluan lain bagi melengkapi sebuah unit hospital dengan kemudahan 76 katil.

Hospital yang dibina di atas kawasan seluas 21 hektar (53 ekar) ini bakal menempatkan wad perubatan, pembedahan, orthopedik, pediatrik, wad ibu bersalin dan high dependency unit. Hospital ini turut dilengkapi dengan kemudahan makmal pathology dan x-ray serta bilik untuk melakukan pembedahan.

Antara kemudahan-kemudahan perawatan lain yang bakal disediakan oleh Hospital Parit Buntar apabila dibuka kelak ialah rawatan untuk pesakit luar, temasuk bahagian kecemasan, rehabilitasi dan hemodialisis.

1

PARIT BUNTAR, 20 Februari 2018: Masalah banjir kilat yang kerap melanda Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang, di sini sejak sepuluh tahun lalu bakal diselesaikan menerusi perlaksanaan projek tebatan banjir bernilai RM2 juta di kawasan sekolah berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, perlaksanaan projek sistem perparitan lebih efektif sepanjang 800 meter dijangka mampu menyelesaikan masalah banjir kerap melanda bangunan kelas dan bilik guru SMK Panglima Bukit Gantang dengan segera.

Menurutnya, projek dijangka disiapkan pada Julai 2018 ini juga bukan sahaja bakal menyelesaikan masalah banjir melibatkan sekolah berkenaan, malah turut memberi manfaat kepada kawasan perumahan dan kampung berhampiran yang turut terjejas banjir sebelum ini.

Hasil lawatan kerja ke sekolah itu sebelum ini, beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengkaji semula keberkesanan sistem perparitan di SMK Panglima Bukit Gantang, serta pusat komersil dan taman perumahan berdekatan.

Berikutan itu, kerajaan pusat meluluskan perlaksaan projek tebatan banjir yang turut dilengkapi kolam takungan air hujan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mat Lazim Idris. Dalam pada itu, Pengetua SMK Panglima Bukit Gantang, Mohd Saad Hashim turut bersyukur di atas inisiatif kerajaan pusat membantu menyelesaikan masalah banjir yang sering menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran guru-guru dan pelajar sekolah itu sebelum ini.

1

KUALA LUMPUR, 20 Februari 2018: Hari ini telah berlangsung Program Pemerkasaan Wanita anjuran Kementerian Kerja Raya yang diadakan di Pusat Konvensyen CIDB.

Program ini diadakan adalah bersempena dengan Tahun Memperkasa Wanita 2018 yang telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 17 Januari yang lepas. "Wanita Gemilang" telah dipilih sebagai slogan bagi Tahun Memperkasa Wanita 2018.

Buat julung kalinya program ini diadakan oleh Kementerian Kerja Raya, ianya telah berjaya mengumpul semua warga wanita dalam bidang pembinaan.

Objektif program ini adalah untuk memberi inspirasi kepada wanita mendepani cabaran terutama wanita yang sama-sama bersaing dalam industri pembinaan. Selain itu ianya juga sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang ‘equality for women’; memandangkan pada hari ini ramai wanita yang memberi fokus dalam mengejar kerjaya. Pendedahan juga diberikan tentang isu wanita dan ‘good multitasking’ dalam mencapai keseimbangan kehidupan menerusi kemampuan mental, fizikal dan rohani.

Antara pengisian program ini ialah perkongsian pengalaman daripada Puan Low Ngai Yuen bekas pengacara rancangan 3R, gerai-gerai jualan dan pertunjukan fesyen. Program ini telah dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah bt Abdul Rashid Shirlin.

1

PERAK, 19 Februari 2018: YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan kerja meninjau kemajuan kerja projek membina Blok Wanita dan Kanak-Kanak, Pusat Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak. Skop kerja projek ini meliputi pembinaan Neonatal Intensive Care Unit, Paediatric Intensive Care Unit, Special Care Nursery, Wad Umum Paediatrik, Wad Cardiac Rehabilitation, Klinik dan Wad Kardiologi.

Hospital ini dijangka siap pada tahun ini dan akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia selaku Kementerian Pelanggan.

KOTA BHARU, 15 Februari 2018: Seminar Memperkasa dan Padanan (Matchmaking) Kontraktor Bumiputera Kelantan telah berlangsung di Dewan Puteri Saadong 3, Grand Riverview Kota Bharu, Kelantan anjuran Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kontraktor dan usahawan binaan bumiputera untuk meluaskan jaringan perniagaan di samping mempromosi produk-produk syarikat mereka. Selain itu, program ini juga menjadi medium penyampaian maklumat tentang barangan dan produk terkini kepada kontraktor Bumiputera dan memberi peluang kepada mereka untuk memajukan perniagaan serta melahirkan kontraktor lebih kompeten dan berdaya saing.

BPKU dan CIDB telah mengambil langkah pro-aktif untuk menjalin usahasama dalam membudayakan konsep 'kebajikan tanggungjawab bersama' untuk kepentingan sosial negara. Menerusi program ini juga ianya memberi laluan networking sesama kontraktor untuk mengembangkan perniagaan.

Majlis ini disempurnakan oleh YB Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya.

1

SUBANG JAYA, 15 Februari 2018:  YB Dato' Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya telah mengadakan lawatan Tinjauan Trafik di Lebuhraya Utara Selatan sempena Sambutan Tahun Baru Cina 2018 di Persada PLUS, Subang Jaya. Semasa sesi lawatan tersebut beliau menyatakan bahawa kerajaan sedang merancang untuk melaksanakan Pusat Kawalan Trafik Kebangsaan bagi menguruskan aliran trafik di lebuhraya seluruh negara termasuk Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuhraya Persekutuan di negara ini.

Tambah beliau lagi, secara prinsip perancangan mengenai pusat itu itu telah dibincangkan diperingkat jemaah menteri. Manakala, diperingkat Kementerian Kerja Raya menerusi sekretariat cuba melaksanakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) yang diwakili semua kementerian khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis dengan mewujudkan Pusat Kawalan Trafik Kebangsaan.

Menurut beliau lagi cadangan itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun iaitu menjelang tahun 2020 dan keberkesanannya pengurusan trafik di seluruh lebuhraya boleh dijangka dalam masa lima tahun selepas pelaksanaannya.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir. Ismail Md. Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail.

1

KUALA LUMPUR, 15 Februari 2018: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Haji Fadilah Yusof telah mengadakan lawatan ke Mercu UEM bagi mendengar taklimat mengenai Do-IDS-Lab (A Public - Private Collaboration To Accelerate IBS Implementation) sebelum mengadakan perbincangan bersama pemimpin industri.

Turut serta pada sesi taklimat pada pagi itu Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid Ketua Eksekutif CIDB serta Dato´ Izzaddin Idris Group Managing Director/Chief Executive Officer UEM.

1

JOHOR, 11 Februari 2018: Kementerian Kerja Raya sebagai peneraju utama pembangunan infrastruktur negara meneruskan agenda kesejahteraan rakyat melalui inovasi penggunaan getah dalam teknologi projek pembinaan jalan raya. Ini dibuktikan dalam Projek Membina Semula Jalan Persekutuan FT01 Yong Peng Segamat daripada Kampung Desa Temu Jodoh hingga Kampung Kwong Sai, Segamat apabila 10 kilometer (km) daripada keseluruhan 40 km jajaran projek ini telah terpilih sebagai projek perintis berskala besar penggunaan campuran getah asli cup lumps sebagai bahan tambah (additive) dalam campuran asphalt (CMA) iaitu bahan dalam pembinaan jalan raya.

Antara objektif utama kajian perintis ini ialah untuk menguji keberkesanan dan prestasi CMA dalam pelbagai jenis asphalt dan membangunkan garis panduan pembinaan jalan dengan menggunakan CMA. Usaha ini merupakan kesinambungan usahasama antara Kementerian Kerja Raya menerusi Jabatan Kerja Raya dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang telah menandatangani satu Memorandum Perjanjian (MoA) yang bertajuk Research Collaboration on Cuplump Modified Asphalt (CMA) In Road Pavement Construction pada 24 Jun 2015. Terdahulu, tiga lokasi kajian perintis telah dipilih iaitu Seksyen 5.4 hingga 6.4 Laluan FT10 Jalan Gemas Rompin, Daerah Tampin, Negeri Sembilan (siap pada November 2015); Seksyen 53.3 hingga 53.9 Laluan FT4 Jalan Gerik Kupang, Daerah Baling, Kedah (siap pada Oktober 2016); dan Seksyen 199.5 hingga 200.5 Laluan FT2 Jalan Kuala Lumpur Kuantan, Daerah Temerloh, Pahang (siap pada November 2016).

Tapak kajian dipilih berdasarkan jenis kerosakan jalan sedia ada seperti retak, rutting, surface delamination, stripping dan excessive patching. Kajian perintis yang bermula tahun 2015 hingga 2018 ini melibatkan ujian pra pembinaan, semasa pembinaan dan selepas pembinaan. Ujian ke atas turapan dibuat secara berkala sehingga tempoh dua (2) tahun bagi menentukan prestasi turapan CMA. Berdasarkan pemerhatian awal, kajian CMA secara keseluruhannya menunjukkan kesan positif dan dijangka dapat meningkatkan ketahanan permukaan jalan.

Penggunaan CMA dalam turapan jalan juga dilihat mampu untuk meningkatkan prestasi jalan berbanding turapan asphalt konvensional. Kos penyenggaraan dijangka dapat dikurangkan dalam tempoh kitaran hayat jalan yang dipercayai lebih berketahanan tinggi dengan penggunaan CMA. Selain itu, penggunaan CMA dalam pembinaan jalan dapat memperbanyakkan pilihan terhadap bahan asas tempatan dan sekaligus dapat meningkatkan permintaan getah asli.

Selain itu, penggunaan getah dalam pembinaan jalan mampu untuk meningkatkan penggunaan getah negara dan tidak lagi bergantung kepada perdagangan luar semata-mata. Kepelbagaian penggunaan getah terutamanya dalam sektor pembinaan dapat meningkatkan harga komoditi tersebut. Pengkomersialan secara tidak langsung membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan mereka. Berhubung Projek Membina Semula Jalan Persekutuan FT01 Yong Peng Segamat, ia merupakan tanda keprihatinan Kerajaan dalam menaiktaraf jalan raya demi keselesaan dan keselamatan pengguna dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM92.3 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMKe-11). Projek jalan raya yang dibina dengan piawaian R5 ini bermula pada 23 Oktober 2017 (tarikh pemilikan tapak) dan dijadual siap pada April 2020.

Antara skop kerja bagi projek ini ialah membaiki jalan, membina jalan tuju sepanjang 1 km, menggantikan tiga buah jambatan sedia ada, membina semula roadside drain dan shoulder drain, pengalihan utiliti, pemasangan lampu jalan di tiga buah jambatan serta kerja-kerja tanah dan geoteknikal jalan tuju untuk tiga jambatan. Perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri. Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah YAB Dato Seri Haji Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Johor, YB Dato Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya dan YB Datuk Chua Tee Yong, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Labis.

1

KUALA LUMPUR, 6 Februari 2018: Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan sokongan pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menganjurkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya menjelang perayaan Tahun Baru Cina di Hentian Sebelah Ayer Hitam (arah Selatan), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang dilancarkan oleh wakil Menteri Kerja Raya iaitu YBhg Datuk Haji Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya.

Kempen ini merupakan siri kempen kesinambungan advokasi keselamatan lebuh raya terdahulu yang memberi penekanan khusus kepada generasi Y untuk dihebahkan menerusi platform media sosial dengan menggunapakai hashtag #Respeklabro. Kempen Advokasi ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna lebuh raya, pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah dan bertimbang rasa di lebuh raya, di samping itu ianya sebahagian daripada usaha murni untuk mengurangkan kadar kemalangan yang kian meningkat saban tahun.

LLM dan PDRM dengan kerjasama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya seluruh negara telah bersedia untuk membantu pengguna dengan langkah-langkah proaktif dalam melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan mereka sewaktu musim perayaan nanti. Antaranya dengan menempatkan anggota RELA di kawasan lalulintas di plaza tol dan kawasan R&R untuk tujuan kawalan trafik, mengaktifkan laluan contra flow di beberapa lokasi lebuh raya yang telah dikenalpasti, menempatkan kren di lokasi-lokasi strategik bagi memindah kenderaan yang rosak atau kemalangan dan pelbagai lagi.

Pengguna dinasihatkan untuk merancang perjalan lebih awal dengan mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (Travel Time Advisory) yang telah disediakan oleh pihak PLUS Berhad dan ANIH Berhad. Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini daripada pusat pengurusan trafik TMC LLM yang beroperasi 24 jam sehari melalui talian 1800-88-7752 atau akaun Twitter @LLMinfotrafik.

1

KUALA LUMPUR, 6 Februari 2018: Kementerian Kerja Raya telah menganjurkan Program Well4Life: ‘Aspire For A Better Health’. Program ini merupakan salah satu program bagi menggalakkan warga Kerja Raya mengamalkan cara hidup sihat. Program telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Haji Sarani bin Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan).

Objektif utama bagi program ini menanam kesedaran mengenai amalan gaya hidup sihat di kalangan warga Kerja Raya. Objektif kedua bagi memastikan warga Kerja Raya sentiasa sihat dan ceria supaya menjadi lebih produktif dan objektif ketiga bagi menggalakan semua warga Kerja Raya melakukan perubahan dan mengamalkan cara hidup sihat sebagai rutin kehidupan untuk menjamin kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat KKR melalui keseimbangan kesihatan minda dan fizikal.

Antara aturcara program yang diadakan iaitu tips penjagaan gigi dan mulut, program diteruskan dengan taklimat bertajuk Non Communicable Disease (NCD): Dilema Penyakit Tidak Berjankit Penjawat Awam Di Malaysia serta program Kesedaran Berkaitan Kanser Serviks. Rawatan kesihatan dan pameran dari agensi berkaitan juga turut serta pada program tersebut.