Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Lawatan Kerja Menteri Ke Jalan Persekutuan FT50 Batu Pahat - Kluang

BATU PAHAT, 25 APRIL 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah mengadakan lawatan kerja di Jalan Persekutuan FT50 jajaran Negeri Johor iaitu Jalan Batu Pahat – Ayer Hitam – Kluang.

Laluan 4 lorong dua hala berpiawai R5 ini sedang ditambahbaik kerana kapasiti pengguna yang semakin bertambah. Kerja-kerja menaiktaraf laluan ini adalah secara berfasa melibatkan pembinaan median, pusingan U dan kerja-kerja lain yang berkaitan.

Lawatan turut diiringi oleh YBhg. Datuk Abdul Razak Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, YBhg. Dato, Ir. Dr. Meor Abdul Aziz Hj. Osman, Ketua Pengarah Kerja Raya dan YBrs,. Ir. Haji Mohamad Salleh bin Abu Bakar, Pengarah Kerja Raya Negeri Johor.

Turut hadir sama ialah YB Dato’ Mohd Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Batu Pahat bersama YB Puan Wong Shu Qi, Ahli Parlimen Kluang.

1

Perasmian Laluan FT51, Dari Kampung Sawah Liat Ke Kampung Gedang, Negeri Sembilan

KUALA PILAH, 18 APRIL 2019 - Laluan FT51 dari Kampung Sawah Liat ke Kampung Gedang, Daerah Kuala Pilah telah siap dibina dan merupakan jajaran Jalan Persekutuan di Negeri Sembilan.

Projek ini mula dibina pada 16 November 2015 dan telah siap pada 17 Disember 2018 dan telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian hari ini. Projek yang menelan kos sebanyak RM16.8 juta (kos kontrak) ini diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan dan direkabentuk oleh Perunding Wan Husin & Associated Sdn. Bhd. Kontraktor utama projek ini adalah Landasan Kapital (M) Sdn. Bhd dimana skop terlibat adalah menaiktaraf jalan sepanjang 1.5 kilometer dengan penambahbaikan selekoh berbahaya, menaiktaraf bahu jalan berturap 2.0 meter dan tidak berturap 1.0 meter, pembinaan dua buah box culvert, pengambilan tanah, pengalihan utiliti dan juga pengalihan sungai.

Projek ini merupakan projek yang diluluskan dalam Rolling Plan 4 (2015), Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10). Jajaran jalan ini menjadi laluan penting menyambungkan Negeri Sembilan Barat dan Negeri Sembilan Timur yang meliputi Daerah Kuala Pilah, Daerah Jempol dan Daerah Tampin. Projek menaiktaraf ini merupakan kesinambungan kepada projek Jalan Seremban - Kuala Pilah Fasa 1 (tahun 2009), Fasa 1A (tahun 2010) dan Fasa 2 (tahun 2013).

Laluan FT51 ini secara purata dilalui sebanyak 25,000 unit kenderaan sehari pada hari bekerja (Isnin – Jumaat) dan hampir 29,000 unit kenderaan sehari pada hujung minggu. Pelaksanaan pembaikan laluan ini amat penting bagi melancarkan perjalanan pengguna yang disebabkan oleh jalan yang sempit dan berselekoh. Di samping itu, naiktaraf ini juga bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan (blackspot) yang tinggi di kawasan tersebut dengan membaiki geometri jalan yang memenuhi piawai Jalan R5, dua lorong dua hala.

1

Pelancaran Road To World Skills Competition (WSC) Kazan 2019 GOLD

KUALA LUMPUR, 16 APRIL 2019 – Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Road to World Skills Competition (WSC) Kazan 2019 Gold yang bertempat di Ruang Legar Aras 2, Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur.

WSC dianjurkan setiap dua tahun sekali oleh World Skills International (WSI) dan kali ini dijangka 1,600 belia dari 60 buah negara akan mengambil bahagian dalam 56 bidang kemahiran yang akan dipertandingkan.

Seramai 20 orang peserta akan membawa nama Malaysia ke Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) Kazan 2019 yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 26 Ogos 2019 di Kazan, Rusia. Peserta terdiri daripada pelajar institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Pertandingan ini sebagai penanda aras tahap kemahiran peserta negara di peringkat dunia dan akan memartabatkan TVET Malaysia di peringkat antarabangsa dan bakal dapat melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir negara bertaraf dunia.

Majlis ini telah YB Tuan Haji Mohd. Anuar bin Mohd. Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya yang turut menyampaikan cenderahati kepada penaja. Turut hadir ialah YB Tuan M. Kulasegaran, Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Mahfuz bin Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia dan juga Ketua Setiausaha KKR, Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan.

1

Program ‘Well For Life’ Menggalak Warga Kerja Raya Amal Hidup Sihat

KUALA LUMPUR, 12 APRIL 2019 – Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menganjurkan satu program kesihatan iaitu Program “ Well For Life” yang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz, Kompleks Kerja Raya.

Program “Well For Life” ini telah dianjurkan bagi menggalakkan warga Kementerian mengamalkan cara hidup yang lebih sihat. Program ini juga bertujuan bagi menanam kesedaran mengenai amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga KKR, memastikan warga KKR dalam keadaan sihat dan ceria supaya menjadi lebih produktif untuk menjamin kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat melalui keseimbangan kesihatan minda dan fizikal.

Program ini bermula dengan perasmian yang telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin b. Syed Ikhsan. Kemudian ia diteruskan dengan Sesi Forum “Dental Myth dan Fiqh Pergigian”yang disampaikan oleh panel jemputan daripada iCare Dental Damansara dan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Sesi kedua forum diteruskan dengan ceramah mengenai “Health & Diet” yang disampaikan oleh Pakar Pemakanan (Dietition). Program ini turut menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan pameran kesihatan sepanjang program berlangsung.

1

Lawatan Kerja KSU Ke Projek Lebuhraya SUKE

SELANGOR, 10 APRIL 2019 –Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, Dato’ Dr Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan telah mengadakan lawatan kerja rasmi meninjau projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE). Projek Lebuhraya SUKE ini dibawah seliaan konsesi Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dan bakal memberi manfaat kepada hampir 18,000 pengguna kenderaan setiap hari.

Lebuhraya ini bakal memendekkan jarak perjalanan dan juga dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas kritikal di Lembah Klang, terutama di Lebuh Raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) dan dijangka siap pada tahun 2020. Selain MRR2, Lebuhraya SUKE turut menghubungkan beberapa lebuh raya lain di antaranya Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Cheras-Kajang.

Pembinaan sambungan lebuh raya sepanjang 24.4 kilometer ini menelan belanja sebanyak RM5.2 billion dan ia mempunyai 14 persimpangan bermula di Sri Petaling dan berakhir di Bukit Antarabangsa. Jajaran Lebuhraya SUKE turut melibatkan laluan di Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, pekan Ampang, pusat beli-belah Ampang Point, Hulu Kelang dan Taman Hillview.

Sewaktu sesi lawatan tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia telah diberikan taklimat berkenaan kemajuan projek yang terkini dan seterusnya di bawa untuk meninjau dua lokasi tapak projek iaitu di Bukit Teratai dan Casting Yard Pakej CA4.

1

Majlis Penyampaian Sijil Kontraktor Penyiap Kementerian Kerja Raya

KUALA LUMPUR, 2 APRIL 2019 - Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah menyampaikan Sijil Kontraktor Penyiap kepada 96 kontraktor penyiap dalam satu majlis di Bilik Tanjung, Kompleks Kerja Raya, Kementerian Kerja Raya (KKR).

Majlis ini merupakan majlis penyampaian sijil siri kedua, yang mana sebelum ini, majlis yang serupa telah diadakan pada 27 Mac 2018 semasa Minggu Pembinaan Antarabangsa (International Construction Week - ICW) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sewaktu Pra Kelayakan Siri Kedua Kontraktor Penyiap yang dibuka bermula pada 23 Mei 2018 hingga 28 Julai 2018 kepada 301 kontraktor, kesemua kontraktor penyiap perlu melepasi tiga (3) peringkat saringan dan seterusnya dinilai berdasarkan kriteria-kriteria yang ditetapkan.

Hasil daripada peringkat saringan ini, 96 kontraktor penyiap telah berjaya dan menerima pengiktirafan pada hari ini serta akan berpeluang untuk menyertai pelawaan perolehan secara tender terbuka bagi Projek - projek Sakit oleh semua Agensi Kerajaan.

Turut hadir pada Majlis ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Infra, Jabatan Kerja Raya (JKR), YBhg Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Bangunan, JKR, Tuan Ar. Zairul Azidin bin Badri dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar, JKR, Tuan Ir. Kamaluddin bin Abdul Rashid.

1

Seminar Antarabangsa Teknologi Dan Bahan Binaan Kejuruteraan Jambatan PIARC

KUALA LUMPUR, 1 APRIL 2019 - Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan World Road Association (PIARC) dengan kerjasama Road Engineering Association Malaysia (REAM) telah menganjurkan Seminar Antarabangsa PIARC dan telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian.

Seminar yang bertemakan “Towards Advanced Technology and Material in Bridge Engineering” ini dihadiri oleh 300 profesional daripada 16 negara yang terdiri daripada para pegawai kanan sektor awam, pakar dan pemain industri dalam bidang kejuruteraan jambatan. Seramai 23 orang pakar telah dijemput untuk berkongsi ilmu dan kepakaran.

Kejuruteraan jambatan merupakan antara cabang kejuruteraan struktur yang penting kepada masyarakat kerana merupakan binaan yang menjadi penghubung pengangkutan malahan boleh menjadi simbol ikonik kepada sesuatu tempat. Penganjuran seminar ini diharap dapat mempertingkatkan ilmu berhubung teknologi dan bahan binaan kejuruteraan jambatan.

1

Lawatan Kerja Timbalan Menteri Ke JKR Langkawi PULAU LANGKAWI, 31 MAC 2019 – YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya telah melakukan satu lawatan kerja ke Pejabat JKR Daerah Langkawi. Dalam rangka lawatan kerja tersebut, beliau telah menyampaikan amanat kepada warga kerja JKR Daerah Langkawi.

Beliau kemudiannya telah dibawa melihat tapak projek Discovery Centre Langkawi UNESCO Global Geopark. Projek ini merupakan milik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan diselia oleh JKR Daerah Langkawi serta dijangka siap November 2019.

Geopark merupakan tapak warisan geologi yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara lestari/mapan dan tapak ini diiktiraf oleh UNESCO dalam senarai geopark dunia.

1

Tinjauan Penyenggaraan Jalan Persekutuan Temerloh Oleh Timbalan Menteri Kerja Raya

TEMERLOH, 29 MAC 2019 – Satu lawatan kerja telah dilakukan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir di tiga lokasi tapak penyenggaraan jalan persekutuan sekitar daerah Temerloh, Pahang.

Lawatan ini susulan kelulusan peruntukan tambahan oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM200 juta untuk penyenggaraan bagi Jalan-Jalan Persekutuan di seluruh Malaysia. Daripada jumlah peruntukan RM200 juta tersebut, sebanyak RM150 juta diperuntukan untuk penyenggaraan berkala pavemen.

Bagi negeri Pahang, jumlah yang telah diperuntukan adalah sebanyak RM22.22 juta dan sebanyak RM3.73 juta diperuntukan bagi tujuan membaiki kerosakan di beberapa lokasi jalan-jalan persekutuan di dalam daerah Temerloh.

Tiga lokasi yang dilawati adalah Jalan Kuala Lumpur – Kuantan (FT02) : Seksyen 234.50 – 235.50 (Membaik pulih permukaan jalan laluan motosikal di Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah), Jalan Gemas – Temerloh (FT10) (pembaikan menggunakan kaedah Mill and Pave, Reconstruction) : Seksyen 119.00 – 123.00 (Kampung Pengkalan Jaya) dan Seksyen 123.00 – 126.00 (Kampung Buntut Pulau). Kos anggaran yang telah diperuntukkan untuk penyenggaraan ketiga-tiga lokasi ini adalah sebanyak RM1.78 juta.

Kementerian Kerja Raya sentiasa komited untuk memastikan keadaan jalan Persekutuan berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa untuk digunakan oleh pengguna jalan raya dan akan terus memberi fokus kepada isu-isu penyenggaraan tertunggak (backlog maintenance) berdasarkan peruntukan yang akan disalurkan oleh Kementerian Kewangan secara berperingkat kelak.

1

Audit Dalaman EKSA Dan Pertandingan Mini EKSA KKR Siri 1/2019

KUALA LUMPUR, 26 MAC 2019 – Audit Dalaman EKSA Siri 1/2019 dan Pertandingan Mini EKSA KKR telah berlangsung selama dua (2) hari pada 26 dan 27 Mac 2019. Pertandingan Mini EKSA KKR pula telah melibatkan empat (4) kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Zon Terbaik, Stor Terbaik, Go Green Terbaik dan Ketua Zon Terbaik.

YBhg. Dato' Dr. Ong Gua Pak, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) telah turun padang bertemu para juruaudit dan turut serta membuat tinjauan audit ke beberapa bahagian sebagai tanda sokongan pihak Pengurusan Atasan terhadap aktiviti ini.

EKSA telah diperkenalkan sebagai inisiatif penjenamaan semula Amalan 5S Sektor Awam oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan mengambil kira keperluan untuk mengetengahkan persekitaran tempat kerja yang sistematik, selesa dan kondusif supaya lebih releven kepada jabatan/agensi sektor awam di Malaysia. KKR telah membuat peralihan daripada Amalan 5S kepada EKSA mulai Januari 2017 dalam usaha untuk merealisasikan program transformasi dan pemantapan perkhidmatan awam.