Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Projek Central Spine Road Pakej 5: Raub Ke Bentong, Pahang, Alternatif Atasi Kesesakan Lalulintas

BENTONG, PAHANG, 3 SEPTEMBER – Keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang terus diberikan perhatian oleh Kerajaan apabila Projek Central Spine Road (CSR) sepanjang 351.3 kilometer dilaksanakan secara berperingkat.

Keutamaan kerajaan pada masa ini ialah untuk melaksanakan tiga pakej daripada enam pakej utama Projek CSR. Pakej tersebut ialah Pakej 3 dari Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Kuala Lipis, Pahang sejauh 93.8km atas faktor kawasan kemalangan, Pakej 4 dari Kg. Relong, Kuala Lipis ke Raub, Pahang sejauh 50km atas faktor kesinambungan jajaran dan Pakej 5 dari Raub ke Bentong, Pahang sejauh 54km atas faktor kesesakan lalu lintas.

Lawatan kerja oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohamad Anuar bin Mohd Tahir hari ini memfokuskan status kemajuan projek Pakej 5, jajaran daripada Kg. Asap ke Kg. Sertik dan Bentong Bypass. Skop projek Kg. Asap ke Kg. Sertik dan Bentong Bypass ini melibatkan membina jalan baharu empat lorong dua hala dengan piawaian JKR R5 sepanjang 28.5km.

Bentong Bypass merupakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT08 sedia ada yang dapat memberikan keselesaan kepada pengguna dan mengurangkan kesesakan lalu lintas seterusnya menjimatkan masa perjalanan terutamanya sewaktu musim perayaan. Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Pakej 5 ini bermula pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dengan kos yang diluluskan sebanyak RM631.98 juta. Pakej 5 dibahagikan kepada tiga (3) Seksyen Pembinaan iaitu Seksyen 5C1, Seksyen 5C2 dan Seskyen 5D yang telah dimulakan secara berperingkat mulai November 2015 dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) iaitu pada tahun 2020.

Secara keseluruhan, Projek CSR dibahagikan kepada enam (6) pakej utama iaitu:

Pakej 1: Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan (47km)

Pakej 2: Jambatan Sg. Lakit ke Gua Musang, Kelantan (59km)

Pakej 3: Gua Musang ke Kg. Relong, Kuala Lipis, Pahang (93.8km)

Pakej 4: Kg. Relong, Kuala Lipis ke Raub, Pahang (50km)

Pakej 5: Raub ke Bentong, Pahang (54km)

Pakej 6: Bentong ke Simpang Pelangai, Pahang (47.5km )

1

Lawatan Timbalan Menteri Kerja Raya Ke Cawangan Kejuruteraan Geoteknik JKR Malaysia.

KUALA LUMPUR, 19 OGOS 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir hadir membuat lawatan kerja ke Cawangan Kejuruteraan Geoteknik (CKG), JKR Malaysia bertempat di Menara PJD Jalan Tun Razak.

Ketibaan beliau disambut oleh YBrs. Ir. Abdul Hadi Bin Abdul Aziz, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Geoteknik bersama pegawai-pegawai kanan serta warga CKG. Timbalan Menteri diberikan taklimat mengenai struktur dan organisasi cawangan serta amanat daripada YB Timbalan Menteri disusuli dengan ucapan penutup serta penyampaian cenderahati kenangan serta sessi foto bersama seluruh warga CKG dan diakhiri dengan lawatan ke bahagian-bahagian yang terdapat di cawangan ini.

Secara umumnya, Cawangan Kejuruteraan Geoteknik ini memberi khidmat pakar serta perundingan teknikal dalam bidang geoteknikal kepada semua pihak yang memerlukannya dengan tumpuan kepada kualiti, kos dan masa yang ditetapkan.

1

Majlis Perlepasan Kontinjen Negara Ke WSC Kazan, Rusia.

SEPANG, 18 OGOS 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir hadir ke Majlis Perlepasan Kontinjen Negara ke Pertandingan Kemahiran Dunia (Worldskills Competition) WSC Kazan Rusia 2019 bertempat di Aras 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, YB Dato' Mahfuz Omar.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YBhg. Dato' Amir Omar, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, YBrs. Tuan Haji Zaihan Shukri serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar dan Antarabangsa, Encik Azman Ibrahim.

Malaysia telah menyertai WSC sejak tahun 1993. WSC Kazan 2019 merupakan penganjuran ke-45 yang akan diadakan di Kazan, Rusia dari 22 hingga 28 Ogos 2019.

Pertandingan ini melibatkan penyertaan dari 63 buah negara yang bakal bertanding dalam 56 bidang kemahiran. Malaysia akan menyertai 19 bidang kemahiran peringkat belia dan 3 bidang kemahiran peringkat junior.

Dari 19 buah bidang kemahiran, 8 daripadanya diurusetiakan oleh Kementerian Kerja Raya iaitu ;

1. Bricklaying

2. Electrical Installation

3. Joinery

4. Mechanical Engineering - CADD

5. Painting and Decorating

6. Refrigeration and Air-conditioning

7. Wall and Floor Tilling

8. Welding

1

Ziarah Merdeka Bersama Timbalan Menteri Kerja Raya

TEMERLOH, 17 OGOS 2019 – Program Ziarah Merdeka 2019 Bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir telah diadakan yang turut disertai oleh konvoi bermotosikal dari 'KKR Club Ride' dan 'Rakan Ride Temerloh'. Hadir sama ialah YBhg. Dato' Dr. Ong Gua Pak, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Pengurusan bersama YBhg. Dato' Zahrul Hakim Abdullah, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Dan Penswastaan, Kementerian Kerja Raya yang turut mengetuai konvoi bermotosikal pada hari ini.

Konvoi berlepas dari Bandar Temerloh dan menuju ke Kampung Mempatih, Kampung Teris dan Kampung Jergoh di sekitar Lanchang bagi menyantuni warga yang kurang bernasib baik dan turut menyampaikan bantuan barangan keperluan asas bagi meringankan beban para penerima yang terpilih.

Konvoi seterusnya menuju ke Felda Lakum dan YB Timbalan Menteri turut menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada warga Felda Lakum yang terpilih dan turut dijemput untuk merasmikan majlis penutup Program Kesedaran Kanser anjuran bersama Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

1

Lawatan Teknikal Ke Metro De Santiago – Rangkaian Keretapi Chile

SANTIAGO, CHILE, 16 OGOS 2019 - YB Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan delegasi yang sedang menghadiri Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang dihoskan oleh Ministry of Public Works, Chile telah mengadakan satu Lawatan Teknikal ke Metro De Santiago, Chile.

YB Menteri dan delegasi disambut oleh Presiden Metro De Santiago, Mr Louis De Grange Concha. Metro De Santiago adalah rangkaian transit yang pesat merentasi kota Santiago, Chile. Ia merupakan rangkaian keretapi ke-7 laju di dunia dan kini mempunyai tujuh landasan, 136 stesen, dengan jumlah panjang sejauh 140 kilometer. Perkhidmatan ini dikendalikan oleh Metro S.A. dan merupakan sistem keretapi yang pertama di Chile.

Menteri Kerja Raya, Malaysia turut mengadakan perjumpaan dengan Datuk Juan Ilharreborde, seorang warga Chile yang memainkan peranan penting dalam perwujudan hubungan kerjasama Malaysia-Chile dalam Malaysia South South Cooperation (Chile).

1

PETALING JAYA, 15 OGOS 2019 - Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan telah membuat lawatan kerja rasmi ke Plus Malaysia Berhad (PLUS), syarikat konsesi pengusaha lebuh raya bertol terbesar di Malaysia dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara.

Ketibaan beliau di Persada PLUS disambut oleh YBhg. Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS. Turut hadir ialah YBhg. Dato' Zahrul Hakim Abdullah, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Dan Penswastaan Kementerian Kerja Raya bersama Ybhg. Dato' Ir. Mohd Shuhaimi Bin Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Delegasi KSU telah diberi taklimat mengenai struktur dan organisasi PLUS serta dibawa melawat ke Traffic Monitoring Centre atau lebih dikenali sebagai 'TMC' dan lawatan diakhiri di Hentian Rehat dan Rawat Rawang Arah Utara yang mana hentian ini baru siap dibaikpulih serta dinaiktaraf dengan pelbagai kemudahan serta fasiliti yang menjanjikan keselesaan kepada semua pengguna lebuhraya PLUS khususnya.

1

Delegasi Kementerian Kerja Raya Ke Sidang APEC, Jalin Hubungan Diplomatik Malaysia-Chile

13 OGOS 2019- SANTIAGO, CHILE: Delegasi Kementerian Kerja Raya yang diketuai oleh Menteri, YB Baru Bian telah hadir ke Persidangan APEC yang berlangsung selama dua hari iaitu 14-15 Ogos 2019 di Santiago, Chile. Tema persidangan ini ialah ‘From Latin America to APEC: Reality and Challenges for a Quality Infrastructure Through PPP's'.

YB Baru Bian juga berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Kerja Raya Chile, Mr Alfredo Moreno. Kedua-dua Menteri membincangkan potensi kerjasama Malaysia-Chile dalam bidang infrastruktur dan pembinaan. YB Baru turut menghadiahkan buku tulisan beliau, The Long Awakening kepada Alfredo sebagai tanda persahabatan diplomatik.

Pada Persidangan APEC tersebut, YB Baru Bian telah menyertai sesi meja bulat bertajuk: Promoting Private Investment in Quality, Sustainable and Resilient Infrastructure pada 13 Ogos, manakala pada keesokan harinya, YB Baru Bian sekali lagi menyertai sesi meja bulat dengan tajuk: Quality Infrastructure for the Regional Development of Logistics.

YB Baru Bian dan para delegasi persidangan kemudian dibawa ke satu Lawatan Teknikal di Gran Torre Santiago (Great Santiago Tower), sebuah bangunan pencakar langit setinggi 64 tingkat dan merupakan bangunan tertinggi di Amerika Latin. Bangunan tersebut juga merupakan yang kedua tertinggi di hemisfera Selatan. Salah seorang arkitek bangunan ini ialah César Pelli, arkitek daripada Argentina yang turut merekabentuk Menara Berkembar Petronas.

1

Menteri Kerja Raya Meninjau Pejabat Operasi Lebuhraya SMART.

KUALA LUMPUR, 01 Ogos 2019 - Satu lawatan kerja telah diadakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian bagi melihat Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART) bertempat di Pejabat Operasi Lebuhraya SMART, Cheras.

YB Menteri diberikan taklimat oleh wakil dari Lebuhraya SMART seterusnya merasmikan Bangunan Depoh Penyelenggaraan Baharu Lebuhraya SMART. Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama warga kerja Lebuhraya SMART.

1

Lawatan Kerja Rasmi Timbalan Menteri Ke Kelantan

KOTA BHARU, 1 OGOS 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir mengadakan Lawatan Kerja Rasmi Ke Negeri Kelantan Darul Naim yang dimulakan dengan lawatan ke Ibu pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan. Delegasi disambut oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Kelantan, YBhg. Dato’ Ir. Haji Razani Ab. Lazid bersama para pegawai dan kakitangan JKR Kelantan.

Siri lawatan diteruskan ke Tapak Projek Pembinaan Ibu pejabat baharu Polis Daerah Pasir Mas yang melibatkan pembinaan Blok Pentadbiran, Blok Cawangan Kenderaan, Dewan Serbaguna, Stor Barang Kes, Stor Peluru, Surau dan Kuarters Kelas ‘F’, Taska serta bangunan Perkep. Ia dijangka siap sepenuhnya pada September 2019 dan melibatkan kos sebanyak RM60 juta dan dikendalikan oleh kontraktor Mansashi Sdn. Bhd.

Timbalan Menteri kemudian melawat Unit JKR KESEDAR yang memberikan kepakaran teknikal dan khidmat perunding kepada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) sebelum mengakhiri siri lawatan ke tapak projek Pembinaan Persimpangan Bertingkat T (Elevated T-Junction) berhampiran Stesyen Keretapi Tanah Merah.

1

Upacara Flag-Off Program Ride Amal KKR 1.0

KUALA LUMPUR, 20 JULAI 2019 - Upacara Flag-Off Sempena Program Ride Amal KKR 1.0 telah berlangsung dan disempurnakan oleh Presiden Kelab Sukan Dan Kebajikan Kementerian Kerja Raya (KSKKKR), YBrs. Encik Izamael Zamzuri bin Ismail.

Program dua hari ini adalah julung kali dianjurkan oleh KSKKKR melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lumut, Perak Darul Ridzuan dan akan singgah ke dua destinasi utama iaitu Kompleks Pendidikan Manabi'ul Ulum, Lekir dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Addin 12, Kg.Changkat Chermin, Ayer Tawar bagi menyampaikan sumbangan.

Program Ride Amal KKR 1.0 ini juga melibatkan penyertaan dari kalangan warga kerja raya pelbagai lapisan dan konvoi pada kali ini diketuai oleh YBhg. Dato' Zahrul Hakim Bin Abdullah, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Dan Penswastaan merangkap Pengerusi Surau Kementerian Kerja Raya Malaysia