Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

PULAU PINANG, 3 OKTOBER 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir memulakan aktiviti lawatan kerja dengan mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Sakit Kementerian Kerja Raya dan Agensi Pelanggan bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Pulau Pinang. Projek-projek tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya.

Timbalan Menteri Kerja Raya kemudiannya mengadakan satu lawatan kerja meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Balai Polis Simpang Ampat. Projek pembinaan ini merupakan pecahan daripada projek naik taraf dan pelebaran jalan dari Persimpangan Permatang Keling (sek. 720) ke jambatan di atas Sungai Junjung, Simpang Ampat (sek. 740), Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Pembinaan balai baharu adalah bagi menggantikan balai polis sedia ada yang bakal dirobohkan kerana terletak dalam jajaran rizab yang dinaiktaraf tersebut. Balai baharu dibina mengikut piawaian dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan perkhidmatan Kerajaan.

Selepas sahaja selesai lawatan tapak projek, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, menghadiri Majlis Penyerahan Balai Polis Bayan Lepas bertempat di Aras 1, Balai Polis Bayan Lepas.

Balai polis ini dibina semula bagi menggantikan balai polis yang telah dirobohkan kerana berada dalam jajaran projek menaiktaraf Jalan Persekutuan FT006 dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang merangkumi pembinaan jalan sepanjang 3 kilometer. Bangunan yang dibina mempunyai tiga tingkat dengan keluasan lantai keseluruhan 1553.7 meter persegi.

1

Bicara Politikonomi Bersama Menteri Kerja Raya Malaysia.

KUALA LUMPUR, 2 OKTOBER 2019 - Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian telah ditemuramah di rancangan bual bicara iaitu Bicara Politikonomi yang disiarkan secara langsung di RTM 1 bertempat di Wisma Berita, Angkasapuri.

Program selama satu jam ini mengupas tajuk "Memperkasa Industri Infrastruktur Negara" yang dihoskan oleh Sayed Munawar Sayed Mustar serta dibantu oleh Hafez Dolson.

Pelbagai topik berkisar pembangunan infrastruktur negara, penyenggaraan jalan raya hinggalah kepada topik politik telah dikongsikan oleh Menteri Kerja Raya. Tumpuan utama adalah perancangan mega Kementerian Kerja Raya yang komited dalam melaksanakan Projek Sarawak – Sabah Link Road yang bakal memberikan jalan perhubungan kepada penduduk kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.

1

Majlis Persaraan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia.

KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER 2019 – Bagi mengenang jasa dan bakti sepanjang perkhidmatan YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Osman sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, satu Majlis meraikan Persaraan beliau telah diadakan bertempat di Dewan Tan Sri Abu Zahar, Lembaga Pertubuhan Peladang dengan tema "Sedetik Bersama, Seabad Mesra".

Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Dato' Dr. Ong Gua Pak serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan), YBhg. Datuk Abdul Razak Jaafar hadir bagi meraikan majlis tersebut.

YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor telah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia sejak 24 April 2019. Sebelum ini, beliau merupakan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Infra, Jabatan Kerja Raya Malaysia.

1

Lawatan Kerja Timbalan Menteri Ke JKR Negeri Johor.

KOTA ISKANDAR, 30 SEPTEMBER 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir hadir membuat Lawatan Kerja Rasmi Ke Ibupejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Johor (JKR JOHOR).

Ketibaan beliau disambut oleh YB Tuan Mohd. Solihan Bin Badri, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur Negeri Johor bersama Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri Johor, Ybrs. Ir. Haji Mohd Said Bin Sidik bersama pengurusan tertinggi jabatan dan warga kerja raya JKR Johor.

YB Timbalan Menteri dibawa melawat ke cawangan-cawangan dan bahagian dan turut menyantuni warga kerja yang turut sama meraikan dan meluahkan rasa gembira atas kesudiannya hadir membuat lawatan kerja ke JKR Johor.

Seterusnya YB Timbalan Menteri turut meluangkan masa menyampaikan amanat kepada warga kerja JKR Johor dan majlis diakhiri dengan sesi foto kenangan berkumpulan.

1

Perasmian Jajaran Jalan Persekutuan Di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang

PENGERANG, JOHOR, 26 SEPTEMBER 2019 - Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) terus giat melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur Negara. Jajaran Jalan Persekutuan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Negeri Johor adalah antara jalan baharu yang dibangunkan.

Jajaran jalan di PIPC telah mula dibina pada bulan Jun 2016 dan telah siap pada September 2019. Projek ini menelan kos sebanyak RM1.139 bilion (kos keseluruhan) dan diselia oleh Pasukan Projek Khas PIPC Jabatan Kerja Raya Malaysia. Skop yang terlibat adalah membina jalan baharu empat (4) lorong dua (2) hala bagi empat pakej meliputi jajaran jalan sepanjang 23.8km termasuk pengambilan tanah (PBT).

Perasmian pembukaannya telah disempurnakan secara bersama oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan YAB Dato’ Dr. Sahruddin Bin Jamal, Menteri Besar Johor. Jajaran jalan di sepanjang PIPC merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan untuk menyediakan infrastruktur sokongan bermutu tinggi di Negeri Johor. Pembinaan jajaran ini dapat mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan sedia ada terutamanya pada waktu puncak.

Pada masa yang sama projek ini juga akan menjana perkembangan pesat kepada pembangunan sosio ekonomi di kawasan sekitar khususnya kepada sektor industri pemprosesan minyak, industri pelancongan dan industri kecil sederhana.

1

Lawatan Kerja Timbalan Menteri Kerja Raya ke JKR Negeri Selangor.

SHAH ALAM, 26 SEPTEMBER 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir meneruskan rangka kunjungan mahabbah beliau dengan mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor.

JKR Negeri Selangor sebelum ini beroperasi di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah namun telah berpindah ke lokasi baharu iaitu di Seksyen 17, Shah Alam yang dinamakan Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor bermula 2 Januari 2018.

Kehadiran YB Timbalan Menteri disambut ceria oleh Warga kerja JKR Negeri Selangor dan beliau berpeluang merakamkan gambar kenangan bersama model kereta lama Land Rover keluaran tahun 1984.

1

Program Pembudayan Inovasi Lembaga Lebuhraya Malaysia.

PUTRAJAYA, 26 SEPTEMBER 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir hadir merasmikan Program Pembudayaan Inovasi dan Majlis Penganugerahan Pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ISO 37001:2016) bertempat di Hotel Palm Garden Putrajaya.

Program kali ini bertemakan "Kreativiti Dan Integriti Teras Keunggulan Organisasi”. Sambutan Program Pembudayaan Inovasi yang diadakan saban tahun oleh LLM ini mencerminkan akan kepentingan pembudayaan kreativiti dan inovasi di dalam kerja harian untuk sentiasa meletakkan kementerian dan jabatan di landasan yang paling efisen dan efektif.

Ia juga mampu mencipta dan menyerlahkan keunikan sesuatu produk dan perkhidmatan, seterusnya meningkatkan keberhasilan inovasi di agensi-agensi Kerajaan.

1

Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) Menawarkan Pelbagai Kemudahan

SHAH ALAM, 24 SEPTEMBER 2019 – Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian hadir melakukan lawatan kerja ke Kuarters Pekerja Berpusat atau lebih dikenali sebagai Centralised Labour Quarters atau CLQ.

Pusat penempatan berkenaan dibina atas tapak seluas 2.02 hektar dan mempunyai enam blok bangunan yang mengandungi 144 bilik asrama yang boleh disewa oleh syarikat pembinaan di sekitar Lembah Klang.

Kuarters ini boleh memuatkan 864 pekerja pada satu masa dan dilengkapi pelbagai kemudahan seperti sistem kad akses, kedai runcit, surau, dapur, kafe, tempat rekreasi serta fasiliti perubatan setaraf dengan CLQ di negara maju lain. CLAB CLQ V menyediakan pelbagai kemudahan dengan sewa bulanan bermula RM150 sebulan kepada setiap pekerja.

CLQ adalah titik permulaan dalam mentransformasikan industri pembinaan negara ke arah yang lebih berkualiti, selamat dan produktif. Syarikat pembinaan di negara ini digalakkan membina Penempatan Pekerja Berpusat (CLQ) masing-masing bagi memastikan pekerja dapat menikmati kemudahan standard seperti yang ditetapkan.

Menerusi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) satu lagi inisiatif diperkenalkan iaitu pindaan kepada Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990) bagi memasukkan standard minimum penempatan pekerja industri binaan.

Turut hadir ialah Ybhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bersama Ybhg. Dato' Dr. Ong Gua Pak, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Kerja Raya.

1

Pembukaan Jajaran Seksyen 9 & 10 Dari Persimpangan Kg. Lekir Ke Persimpangan Beruas Di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE)

LEKIR, PERAK, 23 SEPTEMBER 2019 - Jajaran Seksyen 9 dari Persimpangan Kg. Lekir ke Persimpangan Changkat Chermin dan Seksyen 10 dari Persimpangan Changkat Chermin ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) telah dirasmikan hari ini oleh Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Ini adalah pembukaan jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang kedua setelah pembukaan pertama melibatkan jajaran Seksyen 8 dari Persimpangan Hutan Melintang ke Persimpangan Teluk Intan pada 31 Mei 2019 yang lalu.

Pembukaan jajaran dari Persimpangan Kg. Lekir ke Persimpangan Beruas sepanjang 45 kilometer dengan anggaran kos pembinaan bagi jajaran ini sebanyak RM 917 juta bakal menjadi laluan pintas kepada penduduk tempatan di sekitar Teluk Intan, Kg. Lekir, Sitiawan, Beruas dan Sri Iskandar.

Jajaran bagi Seksyen 9 dan 10 ini, dijangka mampu menjimatkan masa perjalanan selama 30 minit dari Kg Lekir ke Beruas dan sebaliknya. Selain daripada membantu memendekkan masa perjalanan, lebuh raya ini juga dilengkapi kemudahan awam seperti surau dan tandas yang disediakan di setiap plaza tol. Terdapat 5 persimpangan keluar masuk yang terlibat di jajaran ini iaitu Persimpangan Kg. Lekir, Persimpangan Sitiawan, Persimpangan Sitiawan Utara, Persimpangan Changkat Chermin dan Persimpangan Beruas.

Pembukaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) apabila siap sepenuhnya dijangka mampu menjadi pemangkin ekonomi, perindustrian, perdagangan, peningkatan nilai hartanah dan membantu meningkatkan potensi pembangunan sepadu di kawasan pesisiran pantai barat Negeri Selangor dan Perak. Jajaran Seksyen 9 dan 10 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) ini dibuka kepada pengguna jalan raya bermula jam 10.00 malam. Buat masa ini, pengguna tidak akan dikenakan bayaran tol sehingga pihak Kerajaan membuat keputusan berkenaan polisi pengenaan tol serta kadar tol bagi lebuh raya ini.

1

CIDB Lancar TVET Pembinaan Gesa Belia Sertai Industri Pembinaan

Kuching, 21 September 2019: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini melancarkan TVET Pembinaan sebagai inisiatif menarik lebih ramai belia khususnya yang menetap di luar bandar untuk meminati dan menceburi kerjaya dalam bidang pembinaan.

Pelancaran Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan pembinaan yang disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian itu, akan menjadi pusat setempat kepada para belia di seluruh negara mendapatkan maklumat, kursus dan peluang-peluang kemahiran berkaitan industri pembinaan.

Golongan belia digalakkan untuk mengambil peluang bagi menyertai TVET Pembinaan yang dilihat mempunyai prospek besar disamping akan menjadi gerbang setempat dalam laluan kerjaya dan keusahawanan berkaitan industri pembinaan.

Program ini amat penting terutamanya kepada belia melengkapkan diri dengan ilmu kemahiran untuk mereka terus relevan dalam pasaran kerja yang semakin kompetetif. Ini penting, bagi memastikan survival dan aktiviti ekonomi dalam negara akan dapat diteruskan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing yang kurang berkemahiran tinggi.

CIDB memperkenalkan TVET Pembinaan kerana dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) dan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) menerusi Teras Produktiviti ditekankan bahawa Malaysia bermatlamat untuk menghasilkan modal insan berpengetahuan, berkemahiran dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Hadir sama dalam upacara pelancaran TVET Pembinaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB Sarawak (CCCS) ialah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR, Dato’ Dr. Ong Gua Pak; Pengurus Besar Kanan, Sektor Personel Binaan CIDB, Megat Kamil Azmi Megat Ruskamarani; Pengarah CIDB Negeri Sarawak, Hj. Mohd Merzan Hashim dan Ketua Pegawai Operasi, Akademi Binaan Malaysia Sarawak, Abdul Rahman Ahmad.

Turut dilancarkan pada majlis yang dihadiri oleh lebih 300 belia tempatan dari Kuching, Sarawak itu ialah, Jelajah TVET Pembinaan yang bermula di Sarawak kemudian Terengganu dan berakhir di Pahang pada tahun ini.

Program Jelajah TVET Pembinaan yang bermula di Kuching, Sarawak ini adalah buat pertama kalinya dianjurkan oleh CIDB dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya (KKR). Buat masa ini, belia yang berminat untuk menyertai program TVET Pembinaan akan disalurkan ke pusat-pusat latihan Akademi Binaan Malaysia (ABM) di seluruh negara. Kemudian, akan dipanjangkan ke pusat-pusat TVET lain yang turut menyediakan kursus-kursus berkaitan pembinaan.

Sejak Akademi Binaan Malaysia (ABM) diwujudkan 23 tahun lalu, bilangan belia di Negeri Sarawak yang telah dilatih oleh ABM adalah seramai 7,731 manakala personel binaan adalah seramai 29,973 pelatih. Sepanjang tempoh tersebut, ABM secara keseluruhannya telah melatih seramai 54,831 belia dan melahirkan 200,283 personel binaan di seluruh Malaysia.

Maklumat dan kursus-kursus berkaitan TVET Pembinaan termasuk borang pendaftaran dan jadual Jelajah TVET Pembinaan boleh diperolehi di www.tvetconstruction.my atau www.tvetpembinaan.my