Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

1

Jelajah TVET Pembinaan – Edisi Terengganu & Pertandingan WSMB Akhir 2019

KUALA BERANG, TERENGGANU, 19 OKTOBER 2019 - Pembangunan modal insan adalah sumber penting dalam memacu dan mengekalkan pembangunan negara. Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi salah satu pemacu utama dalam usaha Kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.

Ini selaras dengan pembentangan Belanjawan 2020 yang akan memperkenalkan program #WatanKerja (Locals@Work) sebagai insentif yang dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

Justeru, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Timur mengambil inisiatif dengan menganjurkan Jelajah TVET Pembinaan Edisi Terengganu dan Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2019 Peringkat Akhir bertempat di ABM Wilayah Timur. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian.

Siri program Jelajah TVET Pembinaan Edisi Terengganu ini bertujuan mempromosikan program-program dalam bidang TVET, melengkapkan dan melahirkan lebih banyak tenaga mahir tempatan, khususnya dalam kalangan belia dari luar bandar serta memenuhi keperluan pasaran kerja semasa, sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja-pekerja asing.

Secara keseluruhannya lebih daripada lebih 250 ribu belia dan personel binaan di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program latihan yang dilaksanakan oleh CIDB ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 11,472 belia dan 26,688 personel binaan telah dilatih di ABM Wilayah Timur.

WSMB 2019 pula merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh KKR bersama Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KSM) sejak tahun 2010. Pertandingan kemahiran ini bertujuan mencungkil dan menggilap bakat kemahiran belia untuk pertandingan kemahiran peringkat antarabangsa khususnya Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASEAN Skills Competition – ASC), World Skills Asia (WSA) dan Pertandingan Kemahiran Sedunia (World Skills Competition – WSC).

KKR merupakan urusetia bagi 12 bidang kemahiran sektor pembinaan iaitu welding, electrical installations, plumbing & heating, bricklaying, painting & decorating, joinery, wall & floor tiling, refrigeration & air conditioning, mechanical engineering (CAD), landscape gardening, plastering & drywall systems dan carpentry.

Pertandingan ini dibuka kepada belia berusia 18 hingga 21 tahun dan ianya terbahagi kepada dua peringkat iaitu pra-kelayakan dan akhir. Tahun ini, peringkat pra-kelayakan telah diadakan pada bulan April yang lalu dan melibatkan seramai 360 orang peserta. Daripada jumlah tersebut, hanya 134 orang sahaja yang terpilih ke peringkat akhir yang mana peserta yang terbaik dalam setiap bidang kemahiran akan dipilih untuk mewakili Negara di peringkat ASEAN dan seterusnya peringkat dunia.

1

Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat KKR 2019

KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER 2019 - Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Kementerian Kerja Raya bagi tahun 2019 telah dilancarkan oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd. Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya.

Bulan Sukan Negara mensasarkan penglibatan keluarga, kanak-kanak, wanita, belia, warga emas, juga orang kurang upaya dan juga di tempat kerja seperti yang dilakukan oleh Kementerian Kerja Raya. Pada sebelah pagi telah diadakan empat pertandingan yang melibatkan penyertaan warga Kementerian dan Agensi bagi pertandingan Dart, Karom, Congkak dan Dam Aji.

Bulan Sukan Negara tahun ini telah dilancarkan pada 1 Oktober 2019 yang lalu dengan mensasarkan lima juta penyertaan dari seluruh negara, merangkumi pelbagai acara sukan di peringkat daerah dan negeri. Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Putrajaya.

Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 12 Oktober 2019 yang lalu, di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil dan telah dihadiri lebih 20,000 orang peserta. Bulan Sukan Negara yang telah dinaiktaraf pada tahun ini, merupakan edisi yang ke-5 dengan menampilkan kelainan, kerana dijayakan sepanjang bulan Oktober. Tahun-tahun yang lalu ianya disambut selama sehari iaitu pada hari sabtu minggu kedua bulan Oktober.

Lima objektif Bulan Sukan Negara telah digariskan oleh Kementerian Belia dan Sukan, iaitu Membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat, Memupuk semangat sukan, Membangunkan ekonomi negara, Meningkatkan pengetahuan sukan dan Pengiktirafan kepada rakyat.

1

Seminar Anti Rasuah Dan Penerangan Pindaan Akta SPRM 2018 Kepada Industri Pembinaan

KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER 2019 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menganjurkan satu seminar yang memberi peringatan dan kesedaran kepada pemain industri pembinaan berkenaan bahaya gejala rasuah dan sogokan.

Pembudayaan menolak amalan rasuah ini amat penting dalam memberikan gambaran dan keyakinan kepada masyarakat luar terhadap pihak yang terlibat sebagai pembuat keputusan dalam bidang pembinaan supaya kepentingan awam terus terpelihara.

Antara pengisian utama seminar yang bertajuk Seminar on Corporate Liability on Corruption In Construction – Enforcement Of Section 17A, MACC Amendment Act 2018 ini ialah penerangan terhadap pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2018 yang memberikan tumpuan terhadap tanggungjawab sosial organisasi komersial di Malaysia.

Perasmian seminar disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian yang turut menyampaikan ucaptama. Dalam ucapannya, beliau menyatakan hasrat Kementerian Kerja Raya untuk menjadi organisasi yang mengetuai industri pembinaan dalam usaha mempromosikan amalan integriti dan telus. Antara usaha yang sedang dilaksanakan adalah dengan membangunkan sistem perolehan digital sepenuhnya yang dinamakan E-Works untuk digunapakai pada tahun 2020.

1

KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER 2019 - Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian menerima kunjungan hormat daripada Duta Thailand Ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Mr. Narong Sasitorn bersama delegasi dari Pejabat Kedutaan Thailand di Malaysia.

Pertemuan singkat tersebut berlangsung di Aras 5 Kompleks Kerja Raya dan YB Menteri mengalu-alukan kehadiran beliau bersama delegasi dan turut berkesempatan membincangkan beberapa perkara melibatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

1

KOTA DAMANSARA, 15 OKTOBER 2019 - Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir telah menyampaikan ucaptama beliau bersempena Persidangan "MyIndustries 2019".  Persidangan ini merupakan persidangan dan pameran antarabangsa mega pertama anjuran Universiti SEGi khusus untuk Industri 4.0. 

Persidangan ini berlangsung selama tiga hari bermula dari 14 sehingga 16 Oktober 2019 dan pelancarannya telah disempurnakan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang turut menyertai sesi dialog khas bertajuk, “Mendorong Negara untuk menjadi Hab IR4.0 di Asia Tenggara”. 

Persidangan ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai Revolusi Industri 4.0 dan berfungsi sebagai platform pertukaran pengetahuan dan idea untuk meningkatkan kerjasama, membincangkan cabaran dan penyelesaian pelaksanaannya.  Universiti SEGi mengambil peluang ini untuk meningkatkan kurikulumnya, menawarkan program industri yang relevan kepada pelajar dan bekerjasama dengan pemain industri untuk memastikan para akademik bersedia menghadapi IR4.0.

Persidangan bertemakan "Revolusi Global dalam Perniagaan, Teknologi dan Produktiviti" ini menarik lebih daripada 1,000 peserta, pemain industri terkemuka dan akademik, penceramah tempatan dan antarabangsa, serta beberapa pemimpin negara.  Pameran tiga hari ini meliputi pelbagai industri termasuk pembuatan ICT, penjagaan kesihatan, elektronik, keselamatan, Komunikasi dan pendidikan.

1

Jerayawara Latihan Dan Pendidikan LJM Memfokuskan Kesedaran Keselamatan Kejuruteraan

KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER 2019 - Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) telah mengadakan siri program jerayawara BEM Training & Education Roadshow 2019 dengan bertemakan Kesedaran Keselamatan atau “Safety Awareness” dengan jayanya di enam lokasi termasuk Kuala Lumpur.

Lima lokasi lain ialah di zon Sarawak di Kuching, zon Sabah di Kota Kinabalu, zon selatan di Johor Bahru, zon timur di Kuala Terengganu dan zon utara di Seberang Perai, Pulau Pinang dengan kehadiran 872 orang peserta pelbagai profesion kejuruteraan.

Sepanjang jerayawara ini LJM memberi penerangan berkenaan laluan Jurutera Profesional, Perakuan Amalan dan Pemeriksaan Bertauliah serta penerangan pendaftaran Teknologis Kejuruteraan dan Pemeriksa Tapak yang merupakan Pindaan kepada Akta Pendaftaran Jurutera 1967 pada tahun 2015.

Sebanyak 11 topik khusus telah dipilih untuk dikongsi oleh para penceramah pakar kejuruteraan dan pembinaan bagi memastikan objektif siri jerayawara ini tercapai merangkumi topik keselamatan di dalam Akta Pendaftaran Jurutera 1967.

Perasmian siri zon tengah ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian yang turut melancarkan video korporat LJM serta memperkenalkan tagline Pelan Strategik LJM 2020-2024 iaitu Committed to Engineering Excellence.

1

Penyerahan Projek Menaiktaraf Perumahan Kompleks Penjara Kajang, Selangor

KAJANG, 10 OKTOBER 2019 - Cawangan Kerja Keselamatan Jabatan Kerja Raya (JKR), JKR Selangor, JKR Hulu Langat dengan kerjasama Agensi-agensi Kerajaan yang lain telah berjaya merealisasikan projek Menaiktaraf Perumahan Kompleks Penjara Kajang, Selangor. Dengan siapnya projek menaiktaraf ini, ianya dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada 75 keluarga warga penjara bagi memenuhi permintaan dan hasrat Kementerian Dalam Negeri untuk meningkatkan taraf perumahan bagi warganya khususnya bagi penjara Kajang.

Projek ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-11, dalam Rolling Plan Pertama dengan nilai RM16.6 juta dan telah disempurnakan oleh syarikat kontraktor Damaikon Sdn Bhd. beserta sub-kontraktor dinamakan yang telah dilantik.

Tempoh kontrak pembinaan adalah selama 96 minggu atau 22 bulan yang bermula pada 4 Januari 2018. Namun, dengan komitmen dan kesungguhan tinggi oleh pasukan projek ini, ia telah dapat disiapkan dua bulan lebih awal daripada jadual kerja iaitu pada 6 September 2019 dengan penjimatan sebanyak RM29 ribu.

Skop kerja bagi projek ini melibatkan 4 blok kuarters dan juga beberapa kemudahan lain seperti penggabungan 2 unit rumah kepada 1 unit rumah yang lebih luas dan selesa, astaka, dewan serbaguna, tiga unit rumah sampah, landskap dan taman permainan kanak-kanak dan lain-lain kemudahan seperti pemasangan pagar keselamatan di setiap blok, naiktaraf sistem saliran dan perparitan, naiktaraf sistem bekalan elektrik dan air dalaman, naiktaraf sistem pembentungan sediada, sistem perabot dalaman dan naiktaraf jalan raya yang terlibat.

Majlis penyerahan ini telah dihadiri YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Mohd. Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg Tuan Haji Jalil Husni Bin Yahaya, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan YBhg Dato Jamaludin Bin Saad, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia.

1

YB Baru Bian Mengetuai Delegasi Malaysia Ke 26th World Road Congress Di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

ABU DHABI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 10 OKTOBER 2019 - YB Baru Bian, Menteri Kerja Raya Malaysia telah mengetuai delegasi Malaysia ke 26th World Road Congress yang berlangsung dari 6 hingga 10 Oktober 2019 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. Program ini merupakan anjuran bersama World Road Association (PIARC) dan Jabatan Pengangkutan Abu Dhabi. Program ini turut disertai oleh delegasi daripada 144 negara dan sekurang-kurangnya 40 orang menteri turut menghadirinya.

YB Baru Bian turut menyertai Sesi Bersama Menteri yang bertajuk Artificial Intelligence For Future Road Development di mana beliau berkongsi tiga trend semasa yang semakin meningkat di Malaysia iaitu pergerakan kenderaan yang tinggi, peningkatan dalam pemilikan kenderaan dan peningkatan dalam perkongsian kenderaan. Kajian telah menunjukkan kekerapan rakyat Malaysia memperuntukan masa perjalanan setiap hari cenderung untuk meningkat daripada 40 juta kali perjalanan setiap hari pada tahun 2010 kepada anggaran 131 juta kali perjalanan setiap hari pada tahun 2030. Selain itu juga anggaran pemilikan kenderaan juga dijangka meningkat dari 25 juta pemilikan pada tahun 2015 kepada 31 juta pemilikan pada tahun 2030 seiring dengan perkembangan teknologi terkini dan peningkatan pengguna yang berkongsi kenderaan.

Kesan daripada kesemua peningkatan ini akan menyebabkan penggunaan infrastruktur sedia ada semakin tinggi. Walau bagaimanapun, pembinaan jalan raya baharu bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada masalah ini, sebaliknya melalui perkongsian maklumat dan pembelajaran dari negara-negara yang mempunyai teknologi yang lebih tinggi, penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI) dilihat dapat membantu menangani permasalahan ini. Sesi ini juga turut mengetengahkan pelbagai peluang dan kaedah penggunaan AI dalam proses pembangunan jalan dan infrastruktur.

Malaysia sedang bergerak ke arah penggunaan teknologi AI. Teknologi yang akan digunakan nanti haruslah mempunyai gangguan yang minimum kepada infrastruktur sedia ada, keupayaan untuk bertahan dalam persekitaran cuaca tempatan dan kos efektif. Kementerian Kerja Raya melalui polisi Pengangkutan Nasional, polisi Pembangunan Jalan Raya dan Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia (Intelligent Transport System, ITS) dilihat dapat mengguna pakai teknologi ini bagi mencapai keupayaan pengangkutan pintar yang lancar, pembangunan infrastruktur bebas kesesakan, peningkatan tahap keselamatan serta pengoperasian kenderaan komersial yang lebih cekap. ITS dijangka akan beroperasi secara sepenuhnya pada tahun 2023.

Sebagai langkah permulaan, Malaysia kan mewujudkan Sistem Kawalan Trafik dan sistem Multi Lane Free Flow (MLFF) bagi mengurangkan kesesakan lalulintas dan menggalakkan penggunaan sistem pegangkutan awam. Selain itu juga, penggunaan Weigh In-Motion (WIM) akan turut diperkenalkan oleh kerajaan bagi menghalang dan mengesan kenderaan-kenderaan berat yang lebih muatan daripada menggunakan jalanraya agar kondisi dan keadaan jalan raya dapat dipelihara.

Bersempena dengan kongres ini juga, YB Baru Bian turut melawat dan merasmikan Pavilion Malaysia di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC). Pameran ini turut memaparkan pelbagai industri pembinaan daripada Malaysia antaranya dalam bidang perundingan, penyelenggaraan dan pembangunan.

Sepanjang berlangsungnya kongres lima hari ini, YB Baru Bian juga terlibat dalam pelbagai lawatan teknikal dan mesyuarat dua hala. Kongres pada kali ini turut membincangkan Sistem Pengangkutan Pintar, Perubahan Iklim Industri, Penggunaan Building Information Modelling (BIM) untuk Lebuhraya, Kegagalan Infrastruktur Luar Jangka, Sistem Automated Vehicles dan Pembiayaan Inovatif.

1

18 Pemain Industri Diraikan Atas Kecemerlangan Pembinaan Dalam MCIEA 2019

KUALA LUMPUR, 4 OKTOBER 2019 - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah meraikan pencapaian 18 pemain industri pembinaan dalam satu majlis berprestij iaitu Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (Malaysian Construction Industry Excellence Awards, MCIEA) 2019.

MCIEA mengiktiraf dan menghargai kontraktor, konsultan dan pemaju pembinaan yang menunjukkan tahap kualiti, keselamatan dan kesihatan, produktiviti dan kemampanan dalam operasi pembinaan.

Tahun ini Sunway Construction Sdn. Bhd. telah dianugerahkan “Contractor of the Year Award”, sebagai pengiktirafan pencapaian cemerlang berterusan di dalam industri. Pencapaian tertinggi pada majlis tersebut pula iaitu “Prominent Player Award”, telah diberikan kepada Dato’ Sri Ir. Dr. Judin Abdul Karim, Naib Presiden Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

MCIEA 2019 merupakan tahun ke-19 penganjurannya dan mula diperkenalkan oleh CIDB pada tahun 2000 yang bertujuan untuk menggalakkan persaingan sihat dalam pelaksanaan projek di kalangan pemain industri binaan. Sebanyak 5 kategori dipertandingkan berbanding 10 kategori pada tahun 2018 dengan penjurian yang lebih menyeluruh bagi menggalakkan peningkatan piawai pembinaan di Malaysia selaras hasrat CITP.

Para pemenang dipilih oleh para juri yang terdiri daripada pakar dan veteran industri yang diketuai Tan Sri Dato’ Sri Ar. Haji Esa Haji Mohamed, Pengarah Urusan Akitek Jururancang (Malaysia) Sdn Bhd. Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan turut dihadiri oleh YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir, Timabalan Menteri Kerja Raya dan Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali, Pengerusi, CIDB Malaysia.

1

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER 2019 - Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian hadir ke Wisma Berita Angkasapuri, bagi siaran langsung Selamat Pagi Malaysia yang turut mengupas tajuk perbincangan "Memperkasa Industri Infrastruktur Negara" .

Selesai slot temubual di rancangan Selamat Pagi Malaysia, Menteri Kerja Raya turut mengisi undangan slot temubual di siaran radio milik RTM di Wisma Radio, Angkasapuri. Membicarakan topik "Memperkasa Industri Infrastruktur Negara", YB Menteri telah ditemubual oleh dua stesen radio iaitu Nasional FM yang menyediakan siaran berbahasa melayu dan TRAXX FM yang menyediakan siaran berbahasa inggeris.

YB Tuan Baru Bian kemudian dibawa melawat ke Bilik Berita RTM bertempat di Wisma Berita Angkasapuri dan diberi peluang menyantuni warga kerja di Bilik Berita serta meninjau sendiri fasiliti terkini yang dimiliki oleh agensi penyiaran nasional ini. Beliau turut berpeluang merasai pengalaman menyampaikan 'berita' di Studio Bilik Berita RTM.