Kuala Lumpur, 6 Disember- Satu majlis sempena Meraikan Penjawat Awam yang Bersara 2011 telah diadakan di Bilik Gerakan, Tingkat 6, Blok A, Kompleks Kerja Raya. Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan ikhlas di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan selama berkhidmat dalam perkhidmatan awam khususnya di Kementerian Kerja Raya.
Pesara-pesara yang diraikan terdiri daripada seorang kakitangan profesional dan kakitangan sokongan. Majlis turut mengucapkan takziah di atas pemergian salah seorang pesara kementerian iaitu Allahyarham Mahamud Bin Ahmad yang telah kembali ke rahmatullah ketika menunaikan haji. Hadir sebagai wakil adalah isteri Allahyarham.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Y.Bhg. Datuk Himmat Singh, turut memberi ucapan dalam majlis tersebut. Beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada semua pesara yang diraikan di atas bakti yang telah diberikan bermula dari awal dilantik sehingga ke akhir perkhidmatan. Sesungguhnya, jasa yang ditaburkan di kementerian ini amat besar maknanya dan akan terus dikenang. Y.Bhg. Datuk Himmat Singh turut berbesar hati menyampaikan cenderahati daripada warga Kementerian Kerja Raya kepada pesara-pesara.
Turut hadir, Y.Bhg. Puan Sri Dato’ Zaiton Binti Mhad Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Y.Bhg. Dato’ Hj Nasir Mat Dam, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), pegawai-pegawai kanan serta kakitangan kementerian.
|Galeri Foto|