Langkau ke kandungan utama

Berita KKR

 

 

Image removed.Kuala Lumpur,9 Mei - Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama pihak Bomba dan Penyelamat telah mengadakan latihan kebakaran pada 9 Mei 2012.

Dalam latihan tersebut sebanyak 30 anggota dari Balai Bomba Jalan Hang Tuah dan Sentul telah terlibat berserta kelengkapan 4 jentera Bomba. Simulasi kebakaran berlaku di tempat letak kereta tingkat 2 Blok B, Kompleks Kerja Raya. Pengumuman pengosongan bangunan Kompleks Kerja Raya dibuat pada jam 9.45 pagi dan Bangunan Kompleks Kerja Raya berjaya di kosongkan pada jam 9.52 pagi. Seramai 3 mangsa diselamatkan oleh pihak Bomba dan 4 mangsa telah diselamatkan oleh Pasukan Penyelamat Kawasan Kementerian. Demonstrasi pemadaman api menggunakan 'water tower' turut dijalankan. Pihak Bomba mengisytiharkan bahawa bangunan selamat diduduki pada jam 10.12 pagi diikuti Warga KKR juga turut diberi taklimat ringkas oleh pasukan bomba teknik penggunaan alat pemadam kebakaran. Hasil dari post mortem yang dilaksanakan, pihak Bomba telah memaklumkan bahawa latihan kebakaran yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kerja Raya berjaya dengan catatan masa pengosongan bangunan kurang dari tempoh masa yang ditetapkan iaitu 14 minit.

 

|Foto Galeri|

Image removed.Image removed.TAMPIN, 5 Mei - Beberapa buah syarikat konsesi telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi memansuhkan atau mengurangkan kadar tol di beberapa buah lebuh raya untuk meringankan beban pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Shaziman Abu Mansor berkata, cadangan lain ialah membekukan kenaikan kadar tol dan mengekalkan kadar tol sedia ada untuk tempoh yang lebih lama.

"Kesemua cadangan itu akan dinilai oleh kementerian bersama Lembaga Lebuh Raya Malaysia serta dibincangkan di peringkat Majlis Tindakan Ekonomi negara sebelum dirujuk kepada Kabinet.

"Cadangan-cadangan ini juga akan dinilai secara berasingan kerana ia perlu bersesuaian dengan kemampuan kerajaan selain mengelak syarikat-syarikat konsesi rugi kerana mereka juga perlu jaga kepentingan perniagaan serta pemegang saham masing-masing," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Kem Syed Sirajuddin Bersama Warga Tampin di Gemas dekat sini semalam.

Shaziman bagaimanapun enggan memberitahu jumlah dan nama syarikat konsesi yang menghantar cadangan itu kerana ia masih dikaji.

[Galeri Foto]

Image removed.Image removed.Bukit Tinggi, 19 April - Kementerian kerja raya telah mengadakan Bengkel Kajian Semula Pelan Strategik KKR 2011 - 2012 dan Penetapan Hala Tuju KKR 2013 - 2014 bertempat di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi dari 19 - 21 April 2012. Bengkel yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk mengkaji pencapaian pelan strategik KKR sepanjang  tahun 2011 hingga 2012. Pada masa yang sama, bengkel ini juga menjadi platform bagi semua pegawai kanan Kementerian dan agensi untuk berdiskusi dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung isu-isu utama Kementerian. Objektif ke-3 bengkel ini ialah untuk menetapkan hala tuju Kementerian bagi 3 tahun akan datang iaitu dari tahun 2-13 - 2015 agar matlamat tersebut bersesuaian serta bergerak selari dengan tatacara Outcome Based Budgetting (OBB).

Bengkel kali ini dihadiri oleh seramai 103 orang pegawai kanan Kementerian dan agensi di bawah KKR. Sebanyak 6 program kerja telah dibentuk dengan mengambil kira struktur program dibawah teras strategik Kementerian serta aktiviti OBB KKR. Enam program tersebut ialah Pembangunan Infrastruktur Jalan & Pengurusan Penswastaan Lebuh Raya, Pembangunan Industri Binaan, Pengurusan Penyelenggaraan Infrastruktur Jalan & Bangunan, Pembangunan Keupayaan & Kapasiti Sumber Manusia Industri Binaan, Penglibatan Penggiat Industri Binaan di Peringkat Global serta Pengurusan Kementerian Kerja Raya.

 

|Galeri Foto|

Image removed.Image removed.Subang Jaya, 18 April – Forum dan Pameran Asia Pasifik Intelligent Transport System (ITS) ke-12 yang diadakan di Malaysia telah membuka lembaran baru dalam bidang industri ITS. Timbalan Menteri Kementerian Kerja Raya (KKR) Y.B. Dato’ Yong Khoon Seng berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutup Forum dan Pameran ITS. Program yang diadakan selama dua hari tersebut telah disertai oleh pakar ITS dari dalam dan luar negara. 

Peserta dari 20 negara telah diterapkan dengan maklumat mengenai teknologi terkini. Forum & Pameran ITS tersebut diliputi dengan 13 Sesi Teknikal (66 kertas kerja), 3 Sesi ‘Plenary’, 2 Sesi Eksekutif dan 1 Sesi Panel. Isu dan cabaran yang berkait rapat dengan Jalan ITS dalam sektor pengangkutan telah dibincangkan.

Dalam Forum & Pameran ITS tersebut, sebanyak 50 ‘booth’ disediakan menawarkan peluang untuk syarikat dari dalam dan luar negara supaya dapat mempamerkan pelbagai perkhidmatan dan produk yang berkait dengan industri ITS.

Antara yang hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan Forum & Pameran ITS adalah Y.Bhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Y.Bhg. Dato’ Ir. Mohd Noor Yaacob, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Y. Bhg Dato’ Ir Mohamad Husin, Timbalan Pengarah JKR dan Presiden ITS, Y. Bhg. Dato’ Ir. Ismail Salleh, Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), dan En. Hajime Amino.  

 

|Galeri Foto|

Image removed.Image removed.Subang Jaya, 16 April – Kerajaan telah mewujudkan Pelan Induk ITS beberapa tahun yang lalu sebagai panduan komprehensif kepada pelaksanaan aplikasi ITS di negara ini. Penggunaan aplikasi ITS, merangkumi kawalan lalu lintas, sistem pemantauan dan sistem kutipan tol elektronik di lebuh raya.

Menurut YB. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman bin Abu Mansor, aplikasi ITS mampu mempromosikan konsep pembangunan mapan dalam sektor pengangkutan selain membantu kerajaan menggunakan sumber kewangannya secara optimum. Dalam ucapan perasmian beliau yang dibacakan oleh Y.Bhg. Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Himmat Singh, YB. Menteri juga berharap dengan aplikasi tersebut, ITS Malaysia akan menjadi jambatan yang menghubungkan sektor kerajaan dan sektor swasta dalam usaha membangunkan aplikasi ITS di negara ini.

Majlis Perasmian 12th Asia Pacific ITS Forum & Exhibition 2012 yang diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Subang Jaya telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 16 April 2012 sehingga 18 April 2012. Seramai 700 peserta dari 20 negara telah menyertai program tersebut.

 

|Galeri Foto|

Image removed.Image removed.Sik, 14 April – Menteri Kerja Raya (KKR) YB. Datuk Seri Shaziman Abu Mansor telah mengadakan lawatan kerja sehari ke Sik, Kedah pada 14 April 2012. YB. Menteri telah memulakan lawatannya dengan bersarapan “Menu 1 Malaysia” bersama penduduk Kampung di Warung Tip Top Corner di Sik, Kedah.

Kemudian, beliau telah turut serta dalam aktiviti gotong-royong di kawasan Masjid Ah Madiah di Belantik. Salah satu aktiviti penting dalam lawatan Menteri KKR adalah penyerahan kunci projek rumah rakyat termiskin melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KKR dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Kunci rumah tersebut diserahkan kepada En. Ridzuan Hashim, yang merupakan seorang penoreh getah. Rumah ini dibina oleh pelajar Akademi Binaan Malaysia (ABM), CIDB dengan kos RM15,000.00.

Beliau juga telah melawat jambatan sempit Charok Tenang yang berusia lebih daripada 40 tahun. Jambatan itu bakal dibina semula dengan segera dengan kos RM3.5 juta untuk kegunaan penduduk Sik.

YB. Menteri seterusnya melawat Wat siam, Kampung Batu Seketul dan mengakhiri program beliau dengan perlawanan bola sepak di Sekolah Kebangsaan Gulau. Pada tengaharinya pula YB. Menteri makan bersama penduduk Sik dalam kenduri kampung.

 

|Galeri Foto|

1

Miri, 9 April – Lebuhraya Pan Borneo dari Sabah ke Sarawak akan dinaik taraf dengan peruntukkan RM 423 juta. Menteri Kerja Raya Y.B. Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata Kerajaan Persekutuan akan mengeluarkan peruntukkan sebanyak RM 100 juta untuk peringkat permulaan.

Jalan dari Sibu ke Bintulu sepanjang 217 kilometer dan jalan dari Bintulu ke Miri sepanjang RM 207 akan menjadi keutamaan kerana banyak kenderaan termasuk kenderaan berat menuju ke Bintulu dan lain-lain pelabuhan setiap hari.

Kata Y.B. Menteri, Kementerian Kerja Raya akan membina seberapa banyak lorong memotong di kawasan bahaya termasuk di kawasan curam dan gunung. Tambah Menteri, cadangan ini akan dilaksanakan dengan segera tanpa menunggu hasil kajian Unit Perancang Ekonomi dan laluan itu akan ditar semula.

Menurut Y.B. Menteri, Kerajaan Persekutuan akan terus menaik taraf jalan di negeri tersebut jika wujud keperluan untuk berbuat demikian. Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat yang memberi tumpuan khusus kepada usaha menaik taraf laluan sibu-Bintulu-Miri.

1

Image removed.Image removed.Kuala Lumpur , 3 April – Sesi “Town Hall” Y.Bhg Tan Sri Sidek Hasan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) bersama warga KKR telah berlangsung pada 3 April 2012, jam 2.30 petang bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Sesi “hati dan hati” bersama KSN selama satu jam memfokuskan kepada topik keberkesanan dalam sistem penyampaian kerajaan. Y.Bhg. Tan Sri KSN mengajak semua penjawat awam terutama warga KKR supaya lebih menitik beratkan dan impak terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat. Beliau menegaskan bahawa, output mahupun kuantiti bukan lagi menjadi penanda aras kepada tahap kecemerlangan dalam organisasi sebaliknya penjawat awam perlu berusaha menjadikan setiap tugas yang dilaksanakan akan memberikan impak yang besar kepada rakyat dan negara.

Dianggarkan lebih 500 warga KKR memenuhi ruang dewan Tan Sri Mahfoz untuk bersama-sama mendengar amanat dan nasihat daripada Y.Bhg. Tan Sri KSN. Majlis ini berakhir pada jam 3.30 petang dan keberangkatan pulang Y.Bhg. Tan Sri KSN diiringi oleh Y.Bhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha KKR dan pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi.

 

|Galeri Foto|

Kuala Lumpur, 16 Mac – Program pementoran peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) dan agensi dianjurkan untuk memberi latihan dan panduan serta pengalaman kepada pegawai dan kakitangan yang baru berkhidmat di KKR.

Program dua hari tersebut akan diadakan pada 19 dan 20 Mac 2012. Antara kakitangan yang telah menyertai program ini adalah daripada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Mentor serta menti untuk program ini yang telah dikenalpasti akan diberi pendedahan melalui kursus ini pada dua hari program tersebut. Program ini bertujuan untuk membangunkan potensi dan kecemerlangan kerja individu serta pemindahan pengetahuan secara langsung dan tidak langsung.

Majlis Perasmian Pementoran telah dirasmikan oleh Y. Bhg. Datuk Himmat Singh, Ketua Setiausaha KKR di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Beliau telah menyampaikan sijil kepada semua mentor menti yang telah dipilih.

Hadir sama ke majlis perasmian tersebut Y. Bhg. Puan Sri Dato’ Zaiton bt. Mhd Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KKR, Encik Hassan Bin Mat Daud, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan agensi.

Image removed.Image removed.Kuala Lipis, 7 Mac – Menteri Kerja Raya, YB. Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor berkata, Kementerian Kerja Raya telah mendapat peruntukan sebanyak RM67 juta daripada Kementerian Kewangan baru-baru ini bagi membaiki semua jambatan di jalan persekutuan yang sudah uzur dan usang di seluruh negara.

Jambatan tersebut perlu diganti segera kerana dikhuatiri boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya, katanya kepada pemberita selepas melawat kejadian tanah mendap di Jalan Bentong-Jerantut, Pahang. Empat daripada jambatan usang tersebut terletak di negeri Pahang. YB. Menteri turut memberitahu, setiap jambatan akan mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kerja Raya, Dato’ Haji Nasir Bin Mat Dam, Ketua Pengarah Kerja Raya, Y.Bhg. Dato’ Ir. Hj Mohd Noor bin Yaacob serta pegawai-pegawai kanan kementerian.