Langkau ke kandungan utama

BUTTERWORTH 14 Sept. - Struktur rangkaian jalan raya, jambatan dan jejambat yang terdapat di negara ini mampu menahan kesan gegaran akibat gempa bumi yang berlaku di rantau Asia Tenggara sejak kebelakangan ini.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, infrastruktur itu dibina dengan mengambil kira faktor bebanan dinamik bagi menghadapi kemungkinan bencana tersebut.

"Bebanan dinamik merupakan salah satu perkiraan yang menjadi kemestian dalam kejuruteraan jalan raya dengan mengambil kira kemungkinan berlaku gegaran atau kejadian di luar jangkaan selain bebanan maksimum kenderaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, dua lagi gempa bumi berlaku di Indonesia iaitu di Padang pada pukul 6.49 pagi berukuran 7.8 pada skala Richter dan diikuti Sulawesi kira-kira pukul 5.48 petang dengan gegaran berukuran 6.4 Richter.

Ia merupakan gempa bumi susulan selepas Bengkulu, Sumatera dilanda gegaran berukuran 8.4 Richter kelmarin yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 penduduk maut manakala berpuluh-puluh lagi dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan bangunan. 

Ahmad Farhan berkata, walaupun Malaysia sebelum ini bebas daripada risiko tersebut, namun ketahanan menyerap gegaran turut diambil kira dalam mereka bentuk jalan raya dan lebuh raya. 

Beliau berkata, selain reka bentuk, masih terdapat faktor lain yang menyumbang kepada tahap kekukuhan sesuatu binaan bagi memastikan ia kalis gempa bumi.

Menurutnya, ini termasuk faktor tapak, bahan, penyelenggaraan dan langkah-langkah keselamatan sesuatu binaan. 

"Jalan raya yang menepati semua faktor itu mempunyai jangka hayat yang panjang serta ketahanan yang diperlukan untuk menyerap gegaran yang berpunca daripada gempa yang berlaku di negara jiran.

"Tetapi jika penyelenggaraan, misalnya, tidak dilakukan dengan baik maka sudah tentu rangkaian jalan raya tidak mampu menampung bebanan di luar jangkaan,"jelasnya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia