Langkau ke kandungan utama

SEMENYIH 13 Sept. - Jabatan Kerja Raya (JKR) sepatutnya mengutamakan pelebaran Jalan Kajang-Semenyih sebelum melakukan kerja menaik taraf beberapa jalan lain di kawasan berhampiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Datuk Ahamad Kuris Mohd. Nor berkata, masalah kesesakan di bandar itu tidak akan selesai selagi jalan utama di situ tidak dilebarkan.

"Punca masalah kesesakan ialah kerana jalannya mengembang dan menguncup. Sepatutnya JKR utamakan kerja-kerja di sini dan bukannya di tempat lain seperti Jalan Semenyih-Broga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai masalah kesesakan di Jalan Semenyih-Kajang yang telah berlarutan sejak tujuh tahun lalu.

Ahamad Kuris berkata, JKR tidak sepatutnya menunggu peruntukan RM40 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk melaksanakan kerja-kerja pelebaran Jalan Kajang-Semenyih itu.

??Kami menganggarkan hanya RM8 juta diperlukan untuk melebarkan bahu jalan termasuk melebarkan jambatan di pekan Semenyih,?? katanya.

Beliau menambah, jika JKR mahu menaik taraf Jalan Kajang-Semenyih menggunakan peruntukan di bawah RMK-9, sudah tentu ia akan memakan masa yang lama.

Ahamad Kuris berkata, beliau telah menghantar surat permohonan kepada JKR untuk menyegerakan projek di laluan tersebut namun ia masih tidak mendapat jawapan daripada JKR.

Mengenai kesesakan di hadapan Stesen Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), beliau berkata, isu itu terletak di bawah tanggungjawab Lebuh Raya Kajang-Seremban Sdn. Bhd. (LEKAS).

"LEKAS bertanggungjawab melebarkan jalan di kawasan berhampiran projek pembinaan lebuh raya sejauh tiga kilometer," kata beliau.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia