Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perak, Johor dan Melaka dinaiki air sedalam antara 0.5 meter hingga satu meter akibat hujan lebat, pagi kelmarin dan semalam.

Di NIBONG TEBAL, lebih 800 orang di sekitar Seberang Prai Selatan (SPS) dan Seberang Prai Tengah (SPT) terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat awal pagi kelmarin.

Kawasan terbabit ialah Kampung Baru, Taman Mas, Taman Sri Tambun, Kampung Lapan, Taman Enggang dan Kampung Kepala Gajah, yang dinaiki air sedalam satu meter.

Sehingga petang semalam, seramai 675 orang membabitkan 164 keluarga ditempatkan di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan sebuah kuil di Kampung Baru, Simpang Ampat.

Seramai 78 orang membabitkan 18 keluarga pula ditempatkan di pusat pemindahan Kampung Kepala Gajah manakala seramai 60 orang atau 18 keluarga penduduk Taman Enggang berlindung di surau berdekatan, selain lebih 100 orang terpaksa dipindahkan pusat pemindahan Kampung Manggis.

Pengerusi JKKK Kampung Baru, Shahrudin Ahmad, berkata hujan lebat sejak petang hingga tengah malam, fenomena air pasang dan dua benteng pecah dipercayai menjadi punca banjir kali ini. Beliau berkata, air pasang menyebabkan pintu air di Tanjung Ketupat tidak dibuka bagi mengelakkan limpahan air lebih besar manakala pam air hanya boleh digunakan selama maksimum tiga jam saja.

Di BATU PAHAT, hampir 500 rumah di beberapa kawasan dinaiki air sedalam satu meter akibat hujan lebat awal pagi semalam.

Kawasan terbabit ialah Taman Tanah Merah dan Kampung Johor, di Jalan Limpoon dan Kampung Sri Jasa, Sri Medan.

Memburukkan lagi keadaan, beberapa rumah terutama yang berhampiran dengan kawasan bukit yang terbabit dengan pembangunan dilanda banjir lumpur.

Seorang penduduk di Kampung Sri Jasa, Sri Medan berkata, rumahnya dinaiki air sedalam 0.5 meter akibat hujan lebat yang bermula kira-kira jam 2 pagi menyebabkan semua barangannya termasuk tiga kereta gagal diselamatkan.

Beliau berkata, selepas air surut pagi semalam, lumpur tanah merah yang dipercayai akibat hakisan dari Bukit Belah yang teruk diteroka, memenuhi setiap ruang rumahnya.

Di SUNGAI SIPUT, kira-kira 700 rumah dan premis perniagaan di sini dan Tanjung Rambutan ditenggelami air akibat banjir kilat selepas hujan lebat yang bermula jam 3 petang kelmarin berlarutan sehingga tengah malam semalam.

Lapan kampung membabitkan lebih 200 keluarga yang terjejas teruk di sini, ialah Kampung Lintang, Kampung Tok Sirat, Kampung Lintang Pekan, Kampung Pondok, Kampung Sungai Durian, Kampung Darat, Kampung Ceropoh dan Kampung Sungai.

Di Tanjung Rambutan, kawasan yang teruk dilanda banjir ialah Taman Rambutan, North Ward, Kampung Cheh, Jalan Chemor-Tanjung Rambutan dan Kampung Masjid.

Di MELAKA, tiga kawasan di Tanjung Minyak dan dua kawasan di Klebang, dinaiki air sedalam antara setengah hingga satu meter semalam, berikutan hujan lebat lebih dua jam bermula jam 2.30 pagi.

Kawasan terbabit ialah Taman Rambai Utama, Taman Rambai Indah dan Kawasan Perindustrian MBMB Tanjung Minyak, manakala di Klebang, dua ladang pertanian masing-masing di Kampung Pinang dan Batang Tiga, turut terjejas.

Kira-kira 50 rumah ditenggelami air sehingga satu meter di Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Indah berikutan Sungai Air Salak yang terletak berdekatan dengan penempatan berkenaan melimpah.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zaini Md Nor yang melawat lokasi kejadian berkata, kawasan Bukit Rambai dan Tanjung Minyak sepatutnya kawasan bebas banjir kerana ia tidak terjejas ketika krisis banjir melanda Melaka tahun lalu.

Katanya, kali terakhir kawasan terbabit dilanda banjir adalah kira-kira dua tahun lalu dan banjir yang berlaku semalam kemungkinan disebabkan tiga pembetung di sekitar Tanjung Minyak tidak dapat menampung kuantiti air hujan di kawasan itu. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian