Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kementerian Kerja Raya hari ini menghantar notis amaran terakhir kepada sembilan kontraktor yang gagal menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan. 

Menterinya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, notis itu memberi amaran yang perkhidmatan mereka akan ditamatkan jika gagal memperbaiki prestasi kerja masing-masing. 

"Kontraktor terlibat diberi masa sebulan bermula hari ini untuk meningkatkan prestasi kerja di tapak atau menghadapi risiko ditamatkan kontrak mereka.

"Kami mengambil langkah drastik ini bagi memastikan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Budaya Kerja Kelas Pertama kementerian itu di sini hari ini.

Sembilan projek bernilai RM518 juta yang diberikan notis amaran itu ialah:

* Jalan Lingkaran Alor Star-Tasik Pedu-Gurun dari pekan Gurun ke pekan Sik, Kedah.

* Jejantas pejalan kaki di Laluan Persekutuan 5, Kuala Langat, Selangor.

* Program menilai, membaiki, mengganti jambatan di Jalan Persekutuan di Sungai Semerah, Batu Pahat dan Sungai Parit Jamil serta Sungai Parit Bulat di Muar, Johor.

* Program membaiki dan menggantikan jambatan di Jalan Persekutuan di Kelantan melibatkan Sungai Ketereh.

* Menaik taraf Jalan Benta-Jerantut-Maran di Pahang bagi fasa satu, segmen tujuh.

* Projek Lebuh Raya Pantai Timur fasa dua iaitu pembinaan persimpangan bertingkat Cheneh di Ladang Ketengah Perwira, Kemaman, Terengganu.

* Pembinaan Jalan Tuju ke Jambatan Baru Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan.

* Pelaksanaan projek Jalan Tok Adis, fasa dua, Kuala Terengganu; dan

* Pembinaan Herbarium Nasional di Pusat Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor.

Samy Vellu memberitahu, kontraktor projek Trans Eastern Kedah Interland Highway (TEKIH) yang sebelum ini telah diberi amaran, tidak tersenarai kerana telah menunjukkan peningkatan dalam menjayakan projek itu.

Katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut memberi sokongan supaya kontraktor itu dibenarkan meneruskan projek yang lewat daripada jadual itu.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, sehingga Julai lalu, sebanyak 163 projek pembangunan telah disiapkan manakala 512 lagi dalam pembinaan. 

"Sebanyak 863 projek telah ditender dan masih dalam peringkat penilaian manakala 206 projek sedia untuk dianugerahkan tender.

"Pada tahun depan, kementerian merancang untuk melaksanakan 4,827 projek daripada 6,436 projek yang dirancang di bawah RMK-9," ujarnya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, beliau mahukan agensi-agensi di bawah kementerian itu mengamalkan budaya kerja kelas pertama untuk meningkatkan mutu kerja dan operasi khususnya Jabatan Kerja Raya.

"Kita semua harus peka dengan kehendak pelanggan, berusaha memberikan perkhidmatan dengan cepat dan terbaik serta memajukan diri untuk lebih berdaya saing," katanya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia