Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Sembilan kontraktor yang gagal menyiapkan projek termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 2, akan ditamatkan kontrak keseluruhan bernilai RM518 juta jika tidak menunjukkan sebarang kemajuan projek dalam tempoh sebulan, bermula semalam. 

Amaran keras itu adalah tindakan drastik dan terbesar Kementerian Kerjaraya menangani kerenah kontraktor yang gagal menepati jadual pembinaan hingga menyebabkan banyak projek terbengkalai walaupun sudah menerima notis amaran. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata kontraktor itu menunjukkan prestasi lembap dan tidak menepati tempoh masa ditetapkan dan pihaknya mengambil tindakan serius memastikan projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dilaksanakan mengikut jadual. 

Katanya, kementerian sudah berusaha meningkatkan pemantauan rapi ke atas pelaksanaan projek kementerian dan kementerian pelanggan. 

"Kita perlu mengamalkan budaya kerja kelas pertama bagi memastikan kejayaan projek dan mempertahankan kepercayaan diberikan. 

"Bagi projek yang gagal, kita bagi mereka (kontraktor) sebulan untuk buktikan mereka memang mampu jalankan projek dan mesti ada pembaharuan," katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Pagi bersama Warga Kerjaraya dan Pelancaran Budaya Kerja Kelas Pertama Kementerian, di sini, semalam.

Sembilan projek yang bakal ditamatkan kontrak ialah pembinaan Jalan Lingkaran Alor Star-Tasek Pedu, Gurun-Kuala Muda, Sik, Kedah dan pembinaan jejantas jalan kaki di Jalan Morib, Kuala Langat, Selangor.

Projek lain ialah membaiki pulih tiga jambatan Jalan Persekutuan Johor dan Kelantan (satu); menaik taraf Jalan Benta ke Maran, Pahang; pembinaan Jalan Tok Adis, Kuala Terengganu, Terengganu dan pembinaan Herbarium Nasional di Pusat Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim), Kepong, Selangor. 

Bagaimanapun, kontraktor projek Trans Eastern Kedah Interland Highway dari Durian Burung ke Kupang, Kedah dikecualikan daripada tindakan selepas menunjukkan peningkatan baik serta disokong Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian