Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Pengendali lebuh raya, Plus Expressways Bhd (Plus) akan mengesyorkan jadual perjalanan berperingkat di Lebuh Raya Utara-Selatan pada cuti Aidilfitri bulan depan bagi melancarkan laluan trafik. 

Ketua Pegawai Operasi Plus, Nik Airina Nik Jaffar, berkata syor berkenaan antara lain mencadangkan waktu perjalanan paling sesuai bagi pengguna yang mahu ke destinasi tertentu untuk kemudahan serta keselesaan pengguna. 

Katanya, Plus melaksanakan jadual perjalanan berperingkat selepas melihat kejayaan pelaksanaan konsep yang sama menerusi projek perintis ketika musim cuti Hari Kemerdekaan ke-50 negara pada 30 dan 31 Ogos serta 2 September lalu. 

"Penelitian mendapati kesesakan lalu lintas di sepanjang laluan utara pada tempoh berkenaan dapat dikurangkan dan pengguna menikmati perjalanan lancar pada 30 dan 31 Ogos lalu, walaupun jumlah kenderaan agak tinggi," katanya di sini, semalam. 

Nik Airina berkata, pihaknya sedang meneliti masa dan jadual projek perintis dan kesesakan lalu lintas pada Aidilfitri tahun lalu sebelum mengumumkan jadual perjalanan untuk hari raya nanti. 

Katanya, jadual perjalanan berperingkat berkenaan bukan hanya mengatasi masalah kesesakan, tetapi memberikan keselesaan kepada pengguna selain memastikan aspek keselamatan diutamakan ketika pulang berhari raya. 

"Plus cuma mengesyorkan jadual perjalanan, tetapi terpulang kepada pengguna untuk mengikutinya atau tidak. Namun, jika pengguna mahukan keselesaan dan sampai ke kampung tanpa melalui kesesakan lalu lintas, mereka wajar mengikuti jadual perjalanan yang kita syorkan," katanya 

Nik Airina berkata, Plus akan mengumumkan jadual perjalanan untuk Aidilfitri pada 2 Oktober ini dan orang ramai boleh mendapatkan jadual berkenaan menerusi hebahan di rangkaian radio AMP Radio Network, atau risalah yang diedarkan di plaza tol serta maklumat di akhbar. 

Sementara itu, katanya Plus sudah mengambil beberapa langkah bagi memberi keselesaan kepada pengguna termasuk menjalankan kerja pelebaran dua lorong kepada tiga lorong di antara laluan Seremban-Ayer Keroh dan Rawang-Slim River yang dijangka dibuka seminggu sebelum Aidilfitri. 

"Kerja menaik taraf laluan juga dijangka selesai dalam masa terdekat dan dibuka kepada pengguna sebelum Aidilfitri. Laluan itu termasuk Pedas Linggi-Ayer Keroh (arah utara dan selatan) dan Slim River-Rawang (arah selatan)," katanya. 

Beliau berkata, pada masa sama, Plus akan melaksanakan sistem laluan kontra untuk arah utara bermula dari Kuala Lumpur hingga Tanjung Malim. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian