Langkau ke kandungan utama

SEREMBAN - Siling bocor di Kompleks Penyiaran Negeri Sembilan yang bernilai RM38.51 juta berpunca daripada kecuaian kontraktor yang tidak melakukan penyelenggaraan secara berkala.

Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Malaysia, Datuk Kamaruddin Siaraf  berkta, Penyelenggaraan yang tidak sempurna mengakibatkan paip buangan air daripada  sistem pendingin hawa tersumbat.

"Saya percaya kerja-kerja penyelenggaraan sudah lama tidak dilakukan berikutan jumlah air yang mengalir begitu banyak keluar.

"Saya telah mengarahkan Pengarah Penyiaran Negeri, Mohd. Roslee Mohd. Salleh untuk memastikan kontraktor terbabit melakukan penyelenggaraan berkala selepas ini termasuklah menghantar pegawai untuk memantau kerja-kerja terbabit," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke kompleks berkenaan ekoran laporan berhubung kejadian siling bocor di bangunan yang baru sahaja 50 hari diduduki Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Kompleks Penyiaran Negeri Sembilan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos selepas 17 tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) negeri ini beroperasi di jalan Raja Ali, di sini.

Kompleks canggih tersebut turut menempatkan stesen radio negeri FM yang kini bersiaran menggunakan sistem digital sepenuhnya dan sebuah auditorium canggih yang mempunyai kapasiti 1,000 tempat duduk penonton.

Kamaruddin menambah, beliau telah melakukan lawatan dan mendapati masalah ini berpunca daripada air buangan pendingin hawa yang terkumpul kerana sistem paipnya tersumbat, melimpah keluar, merebak ke lantai dan mengalir ke tingkat bawah.

Katanya, beliau melahirkan rasa bersyukur kerana peralatan canggih yang bernilai lebih RM10 juta tidak mengalami sebarang kerosakan akibat kebocoran kelmarin.

"RTM tidak wajar dipersalahkan dalam kejadian  siling bocor itu kerana ia merupakan tanggungjawab Kontraktor. Kompleks berkenaan masih lagi dalam tempoh jaminan bebas kecacatan dan apa jua masalah berkaitan struktur yang berlaku sehingga 12 Januari 2009 adalah tanggungjawab kontraktor termasuklah kos pembaikan.

"Kerja-kerja penyelenggaraan bukannya tanggungjawab RTM, kita ada rekod yang biak dalam menyelenggara bangunan contohnya Aangkasapuri, walaupun sudah lama masalah sebegini tidak timbul,"katanya.

Katanya, selain masalah kebocoran itu, pihaknya turut mengenal pasti pelbagai kekurangan dalam pembinaan kompleks tersebut yang perlu dibaiki oleh kontraktor.    

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo