Langkau ke kandungan utama

NIBONG TEBAL 2 Okt. - Kira-kira 800 nelayan dan pengusaha ternakan ikan dan kerang di sekitar Sungai Acheh di sini mendakwa pendapatan mereka terancam akibat kerja-kerja pembinaan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang yang dijalankan berhampiran kawasan mereka. 

Sehubungan itu, mereka meminta supaya syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek itu, UEM Builders Bhd. mengadakan sesi taklimat bagi menerangkan kesan projek tersebut kepada mereka secepat mungkin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Mohd. Foad Mat Isa berkata, golongan penternak bimbang kerja-kerja pembinaan tersebut akan menyebabkan kemunculan rumpai laut yang menguasai oksigen dalam air dan sekali gus mengancam ternakan ikan dan kerang.

"Masalah ini pernah berlaku pada Disember 2004 apabila dasar laut terjejas akibat bencana tsunami dan mereka percaya rumpai laut itu boleh muncul semula apabila berlaku gegaran di dasar laut akibat kerja-kerja pembinaan itu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Kawasan Sungai Acheh terbahagi kepada kawasan nelayan Sungai Udang dan Sungai Chenaam yang mempunyai kira-kira 112 penternak ikan, 30 penternak kerang, 118 nelayan pantai, 300 nelayan pukat hanyut dan 200 nelayan pukat ikan temenung. 

Beliau berkata, lebih 80 peratus pengusaha terbabit kini yakin masalah mungkin boleh timbul semula apabila projek jambatan sepanjang 24 kilometer itu dilaksanakan dengan lebih giat.

Mohd. Foad memberitahu, masalah kedua ialah kerja-kerja pembinaan sedia ada telah menyebabkan kemalangan apabila bot-bot nelayan terlanggar tong besi dan bahan binaan terapung yang digunakan untuk projek tersebut.

Menurutnya, setakat ini terdapat empat kes kemalangan mengakibatkan kerosakan bot dan enjin dengan kerugian dianggarkan RM5,000 bagi setiap satu kes. 

"Bot-bot ini bergerak pada tengah malam hingga 5 pagi dan apabila ia melalui perairan Sungai Acheh maka bahan binaan terapung ini tidak dapat dilihat pada waktu gelap.

'Sepatutnya bahan-bahan ini dipasang tanda keselamatan yang jelas dan terang bagi mengelakkan bot-bot ini terlanggar," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan itu juga mengakibatkan hasil tangkapan nelayan pantai berkurangan dan ini memaksa nelayan pukat temenung menangkap ikan di kawasan yang lebih jauh. 

Mohd. Foad berkata, masalah itu menyebabkan bekalan diesel subsidi sebanyak 2,000 liter sebulan yang disediakan kerajaan tidak mencukupi.

Justeru, mereka meminta supaya subsidi minyak itu ditambah sebanyak 500 hingga 1,000 liter lagi sebulan bagi menampung keperluan menangkap ikan golongan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Sangkar Sungai Udang, Chew Thong Tai berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung kes pelanggaran bot itu bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, jarak di antara perairan Sungai Udang dengan kawasan perairan yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan jambatan itu ialah kira-kira dua kilometer namun terdapat kira-kira 200 objek terapung atau tong besi di kawasan itu.

"Nelayan yang bergerak pada sebelah malam biasanya tidak dapat melihat dengan jelas objek itu menyebabkan ia terlanggar oleh bot-bot," jelasnya.

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia