Langkau ke kandungan utama

Kuala Lumpur 16 Okt. -  Kerajaan akan membina bangunan baru bernilai RM650,000 bagi menggantikan bangunan Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil Ladang Bukit Jalil dalam tempoh sebulan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pelan untuk sekolah baru itu telah diluluskan dan lokasi tapak baru untuk bangunan sekolah tersebut terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi asal serta berdekatan dengan kuil.

Katanya, Pejabat Tanah dan Galian telah bersetuju menyediakan tanah seluas 0.4 hektar di kawasan yang lebih selamat untuk tujuan tersebut.

"Pembinaan bangunan sekolah dua tingkat dengan 12 bilik darjah itu akan dilaksanakan secepat mungkin dan ia dijangka boleh digunakan menjelang Mac tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan tarian antarabangsa Aattam 100 Vagai ke-3 anjuran bersama saluran AstroVaanavil, stesen THR Ragaa dan Da Ma Cai di sini hari ini.

Mengenai punca banjir tersebut yang dikatakan berlaku akibat sistem perparitan yang tidak berfungsi, Samy Vellu berkata, beliau telah meminta Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Alam Sekitar, Datuk S. Sothinathan untuk menyiasat perkara itu.

Banjir tersebut, katanya, berlaku ekoran sikap tidak bertanggung seorang peniaga yang melakukan kerja pembesaran kedai sehingga merosakkan parit asal yang terletak di situ. 

"Asalnya terdapat sebuah parit besar berfungsi mengalirkan limpahan air hujan dengan baik tetapi ia telah digantikan dengan longkang yang terlalu kecil," katanya.

Samy Vellu meminta Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL) menyiasat sama ada peniaga itu mendapat kelulusan atau tidak sebelum melakukan pengubahsuaian tersebut.

"DBKL perlu menyiasat dan mengambil tindakan tegas kerana kerosakan sekolah itu melibatkan kos yang sangat mahal," tegurnya.

Kelmarin, sekolah itu ditenggelami banjir setinggi satu meter hingga menyebabkan peperiksaan akhir yang dijadualkan bermula esok terpaksa ditunda.

Banjir tersebut telah merosakkan kesemua 30 komputer sekolah berharga RM137,000 serta menyebabkan enam bilik darjah, pusat sumber, bilik sukan serta kantin dipenuhi lumpur.

Kali pertama ia dilanda banjir pada paras yang sama ialah semasa hari kedua peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Sebelum ini, sekolah yang telah dibina sejak 60 tahun yang lalu tidak pernah menghadapi masalah banjir. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia