Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Pelebaran laluan tertentu di Lebuhraya Utara Selatan daripada dua lorong kepada tiga lorong akan dirancang dari semasa ke semasa berdasarkan kadar aliran trafik dan sama ada cukup ruang tanah bagi kerja menaik taraf itu. 

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata syarikat konsesi lebuh raya itu, PLUS Expressway Bhd (Plus), perlu mempertimbangkan kos pengambilan tanah dan tambahan belanja penyenggaraan sebelum membuat keputusan mengenainya. 

"Saya difahamkan, Plus melabur kira-kira RM20 juta tahun ini bagi kerja pelebaran laluan dan menaikkan taraf kemudahan yang disediakan di lebuh raya kendaliannya untuk memastikan pelanggan menikmati keselesaan sepanjang perjalanan mereka. 

 

"Antara langkah yang dilaksana ialah melebarkan dua lorong kepada tiga lorong antara laluan Seremban-Ayer Keroh dan Rawang-Slim River. 

"Lokasi lain yang perlu dilebarkan akan ditentukan berdasarkan kadar aliran trafik," katanya ketika dihubungi semalam. 

Buat masa sekarang, laluan Plus antara Bukit Kayu Hitam ke Sungai Dua, Juru ke Rawang dan Seremban Utara ke Johor Bahru masih kekal dua lorong setiap hala. 

Sementara itu, lebuh raya menghubungkan Sungai Besi ke Seremban Utara, Lembah Klang hingga ke Rawang serta Juru ke Sungai Dua dilengkapi tiga lorong setiap hala. 

Kata Samy Vellu, Plus juga dijangka membelanjakan kira-kira RM1 bilion bagi menaik taraf lebuh raya sepanjang 773 kilometer di bawah penyelenggaraannya, termasuk memperbaiki 74 plaza tol dan 353 persimpangan. 

Selain pelebaran jalan, perubahan jajaran jalan dan pemindahan plaza tol ke lokasi lebih strategik akan dilakukan bagi memastikan perjalanan lebih licin dari Bukit Kayu Hitam di utara hingga ke sempadan di utara Johor Bahru di selatan tanah air.

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian