Langkau ke kandungan utama

Kontraktor utama sudah siapkan kajian struktur tanah tapak projek di Pulau Pinang 

CHINA Harbour Engineering Company Ltd (CHEC), kontraktor utama untuk projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, sudah bersedia untuk memulakan kerja ujian cerucuk untuk jambatan yang menjadi ikon itu pada 5 November ini. 

Presiden CHEC, Sun Ziyu, berkata syarikat berpangkalan di Beijing itu yang sudah hampir melengkapkan kajian dan ujian terhadap tanah di tapak projek di Pulau Pinang, sedang mencuba untuk melakukan ujian percubaan cerucuk terutama di bahagian penting jambatan baru itu. 

"Projek ini adalah keutamaan bagi kami mengambil kira tekanan yang diberikan terhadap CHEC oleh kerajaan China untuk menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan dan kami telah berjanji untuk menyiapkannya menjelang akhir 2010. 

"Kami juga sedar mengenai kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang sekarang dan keperluan untuk menyiapkan jambatan kedua ini kerana ia adalah satu daripada projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara," katanya kepada Business Times. 

Sun berada di Pulau Pinang hujung minggu lalu untuk memeriksa sendiri perkembangan projek berkenaan. Turut hadir Pengarah Pengurusan Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang CHEC, Chang Yunbo. 

Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 22.5 kilometer (km) itu (yang mana 17 km akan berada di atas air) bakal menjadi jambatan kedua menghubungkan Pulau Pinang dan Seberang Prai selepas Jambatan Pulau Pinang sedia ada, dan adalah projek terbesar CHEC daripada segi nilai projek. 

Apabila siap pada 2011, jambatan itu, yang mempunyai 294 tiang dan 9,364 bahagian, akan menjadi jambatan terpanjang di Asia Tenggara. 

CHEC yang yang dimiliki kerajaan China, dan juga dalam senarai syarikat Fortune 500, mempunyai kehadiran menerusi 15 syarikat dan 20 pejabat residen di luar negara di mana ia beroperasi. 

Ia adalah satu unit daripada China Communications Construction Co Ltd, syarikat pembina pelabuhan utama China. 

China menyediakan Malaysia pinjaman sebanyak AS$800 juta (RM2.69 bilion), jumlah terbesar diberikan China untuk projek tunggal di negara luar. 

UEM Construction Sdn Bhd telah menamakan CHEC sebagai kontraktor utamanya untuk projek jambatan itu dan sebuah konsortium dinamakan CHEC-UEMC, ditubuhkan untuk usaha sama itu yang mana CHEC memegang 51 peratus kepentingan dan baki 49 peratus oleh UEM. 

CHEC sudah pun menubuhkan pejabat tapak di Pulau Pinang yang mana seramai 120 orang, 45 daripadanya rakyat Malaysia, telah diambil bekerja untuk projek jambatan itu. 

Sun berkata, CHEC sudah pun membelanjakan AS$10 juta (RM34 juta) untuk kos berkaitan pembinaan jambatan itu sejak pertengahan 2005. 

"Kami ketika ini sedang mengenal pasti pembekal tempatan untuk bahan yang akan kami gunakan untuk jambatan laut dan sudah pun memulakan membandingkan harga tempatan unit bahan itu berbanding mengimportnya dari China," tambahnya

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian