Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR- Terowong Pengurusan Air Banjir dan lalu Lintas (Smart) akan ditutup kepada semua kenderaan sekiranya tadahan air di Kolam Takungan Berembang Ampang meningkat melepasi paras 70 meter padu.

Pengarah Projek Tebatan Banjir, KJ John Abraham, berkata kemungkinan itu boleh berlaku dalam masa  terdekat ini jika hujan  berterusan sekali gus menaikkan kapasiti air di kolam takungan berkenaan.

Untuk itu, katanya semua tiga  bahagian dalam terowong Smart akan digunakan sepenuhnya bagi  melencongkan air sungai Ampang dan Klang yang berlebihan berbanding satu yang memang disediakan bagi tujuan itu.

"Jika hujan berterusan untuk  tempoh masa panjang kemungkinan besar terowong Smart akan ditutup daripada sebarang lalu lintas dan digunakan sepenuhnya untuk melencongkan  air lebihan.

"Sebaliknya, sekiranya hujan pada kadar sederhana, hanya satu daripada tiga laluan iaitu bahagian paling bawah terowong akan dibuka,' katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai fungsi terowong Smart dalam mengawal banjir lebih-lebih lagi ketika musim hujan.

Abraham berkata, proses melencongkan air banjir menggunakan tiga bahagian terowong Smart akan dimulakan pada peringkat pertama apabila air di kolam tadahan berada pada paras lebih 70 meter sepadu.

Seterusnya, apabila cuaca semakin buruk dan menggalakkan pertambahan air ke paras 150 meter sepadu, dua  lagi seksyen terowong akan dibuka sekali gus menutup aliran trafik.

"Bagaimanapun,perlu diingatkan terowong smart hanya boleh melencongkan lebihan air Sungai Ampang dan Klang saja, manakala sungai lain seperti Sungai Gombak dan Sungai Batu yang mengalir terus ke pusat bandar tidak terbabit," katanya.

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro