Langkau ke kandungan utama

Kuala Lumpur - Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengarahkan kontraktor Lebuh Raya Duta Ulu Klang Expressway (DUKE) memperbesarkan kelubung jalan berhampiran Taman Pelangi dan Kampung Bandar Dalam, Sentul bagi menangani masalah banjir.

 Kontraktor, Malaysian Resources Corp. Bhd. (MRCB) dan Eco Event Management and Consultancy Sdn.Bhd.,  turut diberi tempoh seminggu bermula semalam untuk melakukan projek itu.

KOSMO! Difahamkan sejak pembinaan lebuh raya itu, kawasan tersebut dilanda banjir tujuh kali dan kejadian terburuk pada 1 Syawal lalu yang menyebabkan banyak harta benda musnah.

Dalam kejadian itu, kira-kira 30 rumah dinaiki air sedalam semeter dan mengakibatkan mangsa kerugian purata RM10,000 setiap keluarga.

Keadaan banjir bertambah buruk apabila berlaku runtuhan cerun pada Mei lalu.

Lebuh Raya Duke sepanjang 18 kilometer itu merangkumi Jalan Sentul yang turut merentasi Jalan Segambut, Jalan Kuching, Jalan Ipoh, Jalan Pahang, Jalan Air Jerneh (Setapak), Jalan Semarak dan Jalan Setiawangsa dan dibina dengan kos RM750 juta di mulakan tahun lalu dan dijangka siap Disember 2008.

Samy Vellu yang melawat kawasan itu semalam turut meminta kontraktor mengalihkan jalan sementara sedia ada untuk kemudahan orang ramai, selain memohon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membantu membina semula rumah penduduk.

"Selain itu mereka (kontraktor) perlu memasang lampu dan menyediakan papan tanda keselamatan," katanya.

Samy vellu turut mengumumkan pemberian sagu hati kira-kira RM2,000 kepada setiap 30 keluarga terlibat. 

Tarikh
Surat Khabar
Kosmo