Langkau ke kandungan utama

Kementerian Kerja Raya mengarahkan kontraktor yang terlibat dalam pembinaan projek lebuh raya Duta-Ulu Kelang (Duke) supaya mempercepatkan pembesaran kelubung untuk menggelakkan banjir berlaku.

Menterinya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, konsesi Konsortium Lebuh raya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn Bhd (Kesturi) yang menerajui projek tersebut diberi masa tujuh hari untuk menyelesaikan masalah tersebut, berikutan banjir di kawasan perumahan Taman Pelangi di Sentul semasa Aidilfitri Sabtu lepas.

"Kami mendapati masalah banjir ini adalah disebabkan kelubung yang tidak mencukupi untuk mengalirkan air banjir ke sungai. 

"Jadi, saya telah mengarah kontraktor supaya pasang lebih banyak lampu untuk menerangi sekitar kawasan pembinaan projek ini pada waktu malam selain memasang tiga papan tanda untuk mengingati pengguna jalan raya mengenai ada projek pembinaan di hadapan," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan tersebut  di sini.

Katanya kelubung yang bersaiz 0.6 meter tersebut akan dibesarkan sehingga 3.04 meter bagi melancarkan pengaliran air hujan.

Samy Vellu berkata, beliau juga akan meminta kerjasama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk memberikan bantuan Ehsan kepada 27 keluarga terlibat.

"Saya akan pastikan supaya penduduk terlibat mendapat sedikit sagu hati memandangkan rumah mereka teruk kena banjir dan ada harta yang telah rosak akibat air bah yang memasuki rumah mereka," katanya.

Samy Vellu juga berkata pembinaan projek lebuh raya DUKE itu dijangka siap akhir tahun depan.

"Lebuh raya ini penting kerana ia akan menyambung beberapa jalan utama dan ia mampu menjimatkan masa pengguna jalan raya setelah ia beroperasi nanti," katanya.

Projek lebuh raya sepanjang 18km yang menelan belanja RM750 juta itu dimulakan pada 18 Oktober 2005.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian