Langkau ke kandungan utama

SERDANG RAYA - Lebuh raya menghubungkan Putrajaya ke Kuala Lumpur yang bakal dibuka kepada orang ramai sebelum hujung tahun ini dijangka mampu mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di Seri Kembangan kini.

Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Serdang, Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal, Berkata, dengan menggunakan laluan itu, orang ramai dapat menjimatkan masa antara 15 hingga 20 minit untuk menuju ke Kuala Lumpur.

"Kesesakan jalan raya yang berlaku pada waktu puncak di Seri Kembangan berpunca daripada kedegilan orang ramai meletakkan kereta secara berlapis.

"Ini menyebabkan laluan dua lorong menjadi satu dan sesak terutama pada waktu pagi, tengah hari dan petang.

"Apabila lebuh raya ini dibuka, kesesakan yang berlaku, dapat dikurangkan kerana saya yakin lebih 10,000 pengguna menggunakan laluan dari Taman Equine, Taman Universiti dan Seri Kembangan sebelum ini," katanya selepas majlis Sambutan Rumah Terbuka UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan di Kompleks 3K MPSJ, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Naib Presiden UMNO Malaysia.

Majlis dihadiri oleh lebih 1,000 pengunjung yang terdiri daripada penduduk pelbagai bangsa yang sama-sama memeriahkan acara dengan pertunjukan bunga api.

Salleh berkata, acara julung kali diadakan itu bagi meraikan penduduk sekitar dan bakal menjadikan ia satu acara tahunan.

"Kadangkala apabila kita mengadakan rumah terbuka di rumah sendiri mungkin tidak ramail yang dapat kita jemput kerana masalah ruang rumah yang terhad dan sebagainya.

"Namun apabila kita menganjurkan Rumah Tebuka secara besar-besaran ini mungkin lebih ramai yang dapat kita jemput dan mengenali lebih ramai penduduk," katanya. 

Menurut Salleh mungkin ia tidak dapat menandingi kemeriahan merayakan bulan Syawal di kampung-kampung, namun sudah menjadi lumrah orang Bandar pasti ada suatu hari yang diluangkan untuk bertemu rakan-rakan setelah sibuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab seharian.

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian