Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Kuala Lumpur mendedahkan kontraktor kelas F tempatan kini semakin terancam berikutan kebanjiran jumlah pekerja asing yang mendominasi sektor pembinaan kecil sejak kebelakangan ini.

Yang Dipertuanya, Ahmad Awang, berkata pihaknya menerima banyak rungutan daripada kontraktor kelas F mengenai membabitkan pekerja asing termasuk tanpa permit yang semakin ramai menyertai bidang pembinaan, khususnya dalam kerja ubah suai rumah.

"Fenomena ini satu ancaman besar jika tidak ditangani dari sekarang kerana ramai pekerja asing terutama warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar melakukan kerja ubah suai rumah yang tidak diketahui masuk secara sah atau tidak," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian mesyuarat agung PERKOBF oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Zin Mohamed, di sini, semalam.   

Hadir sama, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Roslan Awang Chik.

Ahmad berkata, katanya PERKOBF mahu kerajaan mewujudkan dasar yang hanya membenarkan pekerja kontrak bertauliah untuk bekerja di sektor pembinaan kecil bagi mengekang kebanjiran pekerja asing.

Ahmad berkata, pihaknya juga meminta kerajaan mengekalkan agihan kerja penyelenggaraan kecil kepada kontraktor kelas F dan tidak membuka tender kontrak kerja penyelenggaraan kepada kontraktor kelas lain yang mempunyai peluang kerja lebih besar.

Sementara itu, Zin berkata, daripada 40,000 kontraktor kelas F di seluruh negara, hanya 13,000 di dapati aktif dan selebihnya tidak pandai mencari peluang niaga. 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian