Langkau ke kandungan utama

JAMBATAN Pulau Pinang adalah selamat dan tidak mengalami sebarang keretakan serius yang boleh mengancam keselamatan jambatan dan pengguna, kata Menteri kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Katanya, struktur jambatan tersebut adalah kukuh dan pengguna boleh menggunakan jambatan dengan selamat pada bila-bila masa.

"Pihak Jurutera Perunding yang dilantik telah mengesahkan bahawa keteguhan keseluruhan struktur dan keselamatan jambatan berada pada tahap baik," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Dua Datuk Jasmin Mohamed telah mendakwa bahawa berlakunya keretakan serius pada Jambatan Pulau Pinang.

Samy Vellu berkata, pihak pengendali jambatan, Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB), juga sentiasa memantau kerja-kerja pengawasan secara rutin mengikut jadual untuk memastikan struktur jambatan dalam keadaan selamat bagi digunakan oleh semua jenis kenderaan.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan dan pengguna tidak seharusnya merasa takut untuk menggunakan jambatan," katanya.

Katanya, Kerja-kerja penanaman cerucuk bagi projek pelebaran jambatan juga dijalankan dengan berhati-hati bagi memastikan ia memenuhi segala spesifikasi yang telah diperakui.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian