Langkau ke kandungan utama

Sebanyak RM 8.3 bilion daripada RM 20 bilion yang diperuntukkan bagi Kementerian Kerja Raya di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk projek infrastruktur telah dibelanjakan, kata Menterinya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Beliau berkata, RM8.3 billion itu yang merupakan 43.8 peratus daripada peruntukkan yang diberikan telah dibelanjakan sejak tahun lepas dengan sebanyak RM 5 bilion dibelanjakan sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam bagi menjelaskan kenyataan pada Isnin lepas bahawa kementerian itu sudah membelanjakan kira-kira 75 peratus dana yang diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek dibawah RMK-9.

"RM 3.7 bilion ini hanya merupakan 75 peratus daripada perbelanjaan untuk tahun 2007 dan kami berharap untuk membelanjakan 100 peratus peruntukan bagi tahun ini (2007) sebelum akhir tahun ini,' katanya.

Beliau yang berpuas hati dengan perbelanjaan peruntukkan tersebut berkata, Jabatan kerja Raya akan mengiklankan tender dalam akhbar tempatan bagi beberapa projek infrastruktur dari masa ke semasa.

'JKR sedang memantau projek-projek yang telahpun ditender dan saya sendiri meneliti laporan dan perkembangan terkini projek-projek tersebut," katanya.

Samy Vellu berkata,semua kerajaan negeri telah melantik seorang wakil yang akan memantau perkembangan terkini pelaksanaan pelbagai projek di bawah RMK9, dan mereka juga menganggotai Jawatankuasa Pemantau yang ditubuhkan oleh Kementerian Kerja Raya khusus untuk RMK-9.

Beliau berkata, individu yang dilantik itu juga bertanggungjawab berbincang dengan kementerian tersebut mengenai projek di negeri masing-masing.   

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian