Langkau ke kandungan utama

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Jambatan Pulau Pinang adalah selamat dan tidak mengalami sebarang keretakan serius yang boleh mengancam keselamatan jambatan dan pengguna, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini.

Katanya, struktur jambatan tersebut adalah kukuh dan pengguna boleh menggunakan jambatan dengan selamat pada bila-bila masa.

"Pihak jurutera perunding yang dilantik telah mengesahkan bahawa keteguhan keseluruhan struktur dan keselamatan jambatan berada pada tahap baik,? kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Semalam, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Anggota DUN (ADUN) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamed telah mendakwa bahawa berlakunya keretakan serius pada Jambatan Pulau Pinang.

Samy Vellu berkata, pihak pengendali jambatan, Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB), juga sentiasa memantau kerja-kerja pengawasan secara rutin mengikut jadual untuk memastikan struktur jambatan dalam keadaan selamat bagi digunakan oleh semua jenis kenderaan.

"Tiada apa yang perlu dirisaukan dan pengguna tidak seharusnya merasa takut untuk menggunakan jambatan," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja penanaman cerucuk bagi projek pelebaran jambatan juga dijalankan dengan berhati-hati bagi memastikan ia memenuhi segala spesifikasi yang telah diperakui serta tahap keselamatan yang ditetapkan.

"Jadi, kaedah-kaedah pembinaan setiap cerucuk yang diguna pakai tidak akan menjejaskan struktur jambatan sedia ada," kata beliau.

Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf jambatan tersebut kini sedang giat dijalankan untuk kemudahan pengguna di masa hadapan.

Jambatan Pulau Pinang merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. 

Ia adalah sepanjang 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut. Ia menghubungkan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, dengan tanah besar Semenanjung di Seberang Prai.

Kerja pembinaan jambatan tersebut bermula pada 1982 dan siap dibina pada 1985 dengan perbelanjaan sebanyak RM850 juta. 

Jambatan tersebut diiktiraf sebagai pencapaian kejuruteraan yang cemerlang di dunia. Ini adalah kerana struktur tengahnya merupakan antara jambatan kabel-penahan yang terawal di dunia.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Utusan Malaysia