Langkau ke kandungan utama

PENGGUNA boleh menggunakan Jambatan Pulau Pinang pada bila-bila masa tanpa rasa takut kerana jambatan berkenaan selamat digunakan untuk semua kenderaan.

Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu memberi jaminan Jambatan Pulau Pinang tidak mengalami sebarang keretakan serius yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Menurutnya, struktur Jambatan Pulau Pinang masih kukuh dan tiada sebarang masalah yang boleh menghalang pengguna untuk melalui jambatan berkenaan pada bila-bila masa.

"Jurutera perunding yang dilantik juga mengesahkan keteguhan keseluruhan struktur dan keselamatan jambatan ini berada pada tahap baik," katanya.

Samy berkata, pengendali urusan Jambatan Pulau Pinang iaitu Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) sentiasa memantau keadaan jambatan.

"Mereka membuat pemantauan dan melakukan pengawasan secara berkala untuk memastikan struktur jambatan dalam keadaan selamat.

"Tidak ada apa yang perlu dirisaukan dan pengguna tidak seharusnya berasa takut untuk menggunakan Jambatan Pulau Pinang,'' katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, semalam.

Kelmarin, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon turut berkata, kerajaan tidak menerima sebarang laporan mengenai keretakan yang kononnya berlaku pada jambatan itu.

Isu keretakan itu dibangkitkan Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Pembangunan 2008 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, kelmarin.

Menurut Samy, kerja penanaman cerucuk bagi projek pelebaran jambatan juga dijalankan dengan berhati-hati bagi memastikan ia memenuhi segala spesifikasi yang diperakui.

"Kaedah pembinaan setiap cerucuk mengikut spesifikasi ditetapkan di mana ia tidak akan menjejaskan struktur jambatan sedia ada," katanya.

Selain itu katanya, kerja menaik taraf jambatan itu sedang giat dijalankan.

 

 

Tarikh
Surat Khabar
Harian Metro