Langkau ke kandungan utama

TAMAN CHERAS JAYA - Kesesakan lalu lintas di Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan (SMART) Selasa lalu adalah disebabkan penutupan laluan tersebut bagi mengalirkan air memasukinya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Kiezrul Abdullah berkata, tindakan itu diambil setelah kuantiti air ketika itu mencecah kira-kira 750,000 meter padu.

"Hujan tanpa henti melanda sejak jam 5 petang dan bagi mengelakkan banjir teruk, kami menutup terowong terbabit pada jam 6 petang.

"Kuantiti air yang disalirkan ke dalam terowong dicatatkan pada ketika itu ialah kira-kira 750,000 meter padu. Disebabkan SMART beroperasi, Banjir besar dapat dielakkan.

"Terowong yang mula beroperasi seminggu lebih awal dari jadual ditetapkan itu mengalirkan air hujan ke Sungai Ampang dan Sungai Klang dan sudah tiga kali digunakan bagi tujuan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan melancarkan Briged Pemantauan Sungai Langat di Tasik Kawasan Rekreasi di sini semalam.

Beliau diminta mengulas rungutan orang ramai berhubung masalah kesesakan teruk ekoran penutupan terowong terbabit.

"Tujuan utama SMART dibina ialah untuk mengelakkan banjir besar daripada terjadi, penutupan SMART adalah langkah terbaik walaupun pengguna jalan raya terpaksa berdepan kesesakan yang teruk.

"Terowong tersebut dibuka semula jam 6 petang semalam dan lalu lintas kembali lancar," jelasnya.

Sementara itu, Keizrul mengucapkan tahniah dengan penubuhan Briged Pemantau Sungai Langat yang diasaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan balakong. Datuk Hoh Hee lee.

"Ia adalah usaha yang baik untuk menjadikan kawasan ini sebagai tempat rekreasi dan riadah penduduk kawasan setempat dan JPS sendiri akan bekerjasama memberi latihan jika terdapat sebarang program dianjurkan.

"Kami juga akan cuba membina landskap dan perangkap sampah supaya air yang mengalir ke dalam tasik ini bersih untuk dijadikan kolam takungan air kawasan rekreasi di sini," ujarnya.

Beliau berpendapat, pembinaan kawasan rekreasi seperti itu sekali gus mampu mengelakkan pembaziran tanah.    

 

Tarikh
Surat Khabar
Sinar Harian