Langkau ke kandungan utama

SEREMBAN: Cadangan supaya kerajaan membeli keseluruhan saham pengendali lebuh raya tol terbesar negara, Plus Expressway Berhad (Plus) sebagai langkah menangani kenaikan tol tidak boleh dilakukan kerana ia membabitkan perbelanjaan berbilion ringgit. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata kementerian tidak mempunyai rancangan membeli saham syarikat itu kerana ia membebankan kewangan kerajaan dan saham Plus sudah dibeli dan dimiliki syarikat swasta lain. 

"Saya tidak boleh cakap berapa kos yang diperlukan kerana kos yang diperlukan bukan yang sama rata, sebaliknya kos yang lebih tinggi. Apatah lagi, membabitkan syarikat yang mempunyai pegangan saham. Saya percaya kerajaan tidak boleh melakukannya kerana ia membabitkan perbelanjaan berbilion ringgit," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Ladang Seremban di Sungai Gadut, dekat sini petang semalam. 

Kelmarin, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta kerajaan mengambil alih pegangan aset swasta dengan menjadikannya pegangan aset awam sebagai langkah penstrukturan semula sistem subsidi bagi manfaat rakyat. 

Pengerusinya, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata pengambilalihan aset swasta boleh ditumpukan kepada syarikat konsesi lebuh raya dan pengeluar tenaga bebas (IPP) supaya rakyat tidak terus dibebani kenaikan tol dan kos bekalan elektrik. 

Samy Vellu bagaimanapun berkata, kementerian mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan berhubung kenaikan kadar tol di sembilan lebuh raya sebelum diputuskan dalam mesyuarat Kabinet esok. 

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh mengumumkan cadangan itu kerana menunggu keputusan Kabinet sama ada menaikkan kadar tol baru mulai tahun depan atau kerajaan terpaksa membayar pampasan RM380 juta. 

"Kementerian mengemukakan tiga cadangan dan sudah diserahkan kepada jemaah menteri untuk diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, Rabu ini. Saya mahu mereka melihat dan mengambil perhatian serta memberi arahan kepada saya apa yang perlu dibuat. 

"Saya tahu apa cadangan itu, tetapi saya tidak boleh bagi tahu dan pada dasarnya cadangan itu mengambil kira secara keseluruhannya termasuk kesan daripada pihak kerajaan, syarikat konsesi dan kepentingan rakyat," katanya. 

Ditanya mengenai langkah lain yang boleh dilaksanakan bagi menurunkan tol, Samy Vellu berkata, pihaknya sudah mengkaji segenap aspek dalam menangani masalah itu tetapi masih gagal mencari jalan penyelesaian. 

"Sebenarnya, rundingan dan perjanjian dengan Plus dilakukan oleh Kementerian Kewangan. 

Jadi, semua keputusan sudah ditandatangani lama sebelum ini dan apabila kita mahu membuat pindaan, kita terpaksa bayar duit...bila kita sebut perkataan P (pindaan), syarikat itu juga kata P (pampasan). Jadi, ada dua P. Jika kita mahu buat pindaan, bermakna kita perlu membayar pampasan," katanya. 

 

Tarikh
Surat Khabar
Berita Harian